THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, August 13, 2009

Sistem Sosial Masyarakat Melayu Tradisional


UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
PUSAT PENGAJIAN SEJARAH, POLITIK DAN STRATEGI
FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN

SKSE1033: KERAJAAN DAN MASYARAKAT MELAYU

SESI 2008/2009
SEMESTER 1

SOALAN:
BINCANGKAN SISTEM SOSIAL MASYARAKAT MELAYU PADA ZAMAN TRADISIONAL

NAMA PENSYARAH:
PROF NORDIN HUSSAIN
PROF MADYA DR. KHAZIN BIN MOHD TAMRIN
DR RAHILAH BINTI OMAR

NAMA PELAJAR:
SAH REZAN BIN ABDUL SALAM A130115

TARIKH HANTAR:
14 OGOS 2009
1.0 PENDAHULUAN

Secara umumnya, istilah “sistem” dapatlah diertikan sebagai
‘A set arrangement of things so related or connected as to form a unity or organic whole… A set of facts, principles, rule etc. Classified or arranged in regular, orderly form so as to show a logical plan linking the varios part.”[1]

Sekiranya dirujuk kepada pengertian ini, maka secara tidak langsung istilah sistem dapatlah diertikan sebagai sesuatu set fakta, prinsip dan peraturan yang wujud tersusun dan mempunyai perkembangan. Apabila fakta atau bukti, prinsip dan peraturan yang membawa perkembangan ini digabungkan dengan bahagian-bahagian kecil dalam sosial masyarakat Melayu, maka dapatlah kita ikuti akan sistem atau peraturan dalam masyarakat Melayu pada zaman tradisional dahulu.

Daripada pandangan lain pula, istilah ‘sistem’ dirujuk sebagai satu set fakta, prinsip dan peraturan yang wujud secara tersusun dan teratur. Apabila fakta, prinsip dan peraturan ini digabungkan ia akan membentuk suatu penyatuan yang menyeluruh. Dalam konteks kemasyarakatan pula, dengan adanya sistem maka anggota masyarakat boleh hidup teratur dan tersusun kerana dipandu oleh fakta, pentadbiran dan politik[2]. Manakala, menurut Kamus Dewan ‘sistem’ dapatlah diertikan sebagai cara atau kaedah untuk melakukan sesuatu aturan.

Perkataan ‘sosial’ dari segi kebudayaan membawa maksud yang sangat luas meliputi segala aspek yang berrkaitan dengan masyarakat. Sosial dalam pendefinisian ini merangkumi sistem sosial, stratifikasi sosial, struktur sosial, perhubungan antara anggota masyarakat, mobiliti sosial dan bentuk kepercayaan.[3] Dalam konteks masyarakat tradisional, sistem sosialnya merupakan struktur masyarakat yang belum menerima pengaruh peradaban Barat.


2.0 ASAL-USUL MELAYU

Orang Melayu Asli atau orang Melayu Pesisir berhijrah dari Yunan ke Tamnah Melayu pada penghujung zaman Gangsa Besi (300 SM). Kumpulan pendatang ini dikenali sebagai orang ‘Deutro-Malaya’. Orang ‘Detro-Malaya’ ini berketurunan bangsa Mongol yang tergolong dalam bangsa Austronesia. Golongan ini memulakan perpindahan dari Yunan melalui lautan Asia Tenggara serta lautan Oceania ke Filipina dan Timur Indonesia lalu tiba ke Borneo sebelum tibanya di Tanah Melayu. Melalui sejarah kewujudan bangsa Melayu ini, dapatlah kita simpulkan sebagai bangsa Melayu ini tersebar secara meluas di kawasan Nusantara sehingga terbentuknya beberapa kawasan yang menjadi kediaman orang Melayu sehingga hari ini seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Dari aspek arkeologi pula membuktikan bahawa sebelum terjadinya zaman Batu, semua kawasan Nusantara adalah bercantum. Pada zaman ini, migrasi tela dilakukan oleh masyarakat sebelum kejadian perubahan iklim berlaku yang mengakibatkan Nusantara itu terurai. Semasa zaman Neolitik (2500 SM), manusia yang dikenali sebagai Proto-Malaya dan Mongolid Indonesia telah wujud di Nusantara sebelum kehadiran kumpulan ‘Deutro-Malaya’.

Kajian ini dikuatkan lagi dengan fakta daripada Sejarah Melayu yang menyatakan memang wujud Kerajaan Melayu di Nusantara seperti Kerajaan Srivijaya (abad ke-5), Kerajaan Majapahit (abad ke-14) dan Kerajaan Melaka (abad ke-15). Kesemua kerajaan tersebut dikatakan ditadbir oleh orang Melayu. Jadi, dapatlah dikatakan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Nusantara.

3.0 HERARKI SOSIAL MASYARAKAT MELAYU

Herarki merupakan susunan sesebuah masyarakat yang bakal membentuk pentadbiran. Herarki ini menggambarkan kedudukan sesuatu golongan atau kelompok dalam masyarakat. Bagi masyarakat Melayu tradisional, sistem sosial atau herarkinya bersifat feudal. Raja atau Sultan berkuasa dan menduduki tempat tertinggi dalam sistem sosial masyarakat Melayu tradisional. Herarki masyarakat Melayu tradisional dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu keturunan, hubungan kekeluargaan, pangkat dan kedudukan yang disandang, tugas dan sebagainya. Dari aspek demografi pula, kedudukan masyarakat dapat dikategorikan mengikut jumlah pemilikan harta, reka bentuk rumah, gaya pakaian dan penggunaan istilah dalam pertuturan.

GOLONGAN YANG MEMERINTAH

3.1 Raja/Sultan/Yang Dipertuan

Pada zaman Melayu tradisional, raja dianggap sebagai pemerintah yang berdaulat dan amat mulia. Daulat ini dikaitkan dengan spiritual dan kepercayaan tradisi. Melalui pengagungan Raja ini maka timbullah konsep Daulat dan Derhaka. Sesiapa yang ingkar kepada perintah Raja akan dihukum bunuh akibat tulah yang mereka hadapi. Contohnya, Tun Hussien yang merupakan seorang pembesar Sultan telah dibunuh kerana didapati ingin menderhakai sultan, walhal, beliau bertindak atas dasar kemanusiaan yang cuba untuk menegakkan keadilan untuk menuntut bela kematian ayahnya[4].

Secara umumnya, Sultan berperanan penting dalam tiga aspek utama iaitu politik, sosial dan ekonomi. Dari segi politik, Sultan berperanan sebagai ketua kerajaan yang memerintah secara mutlak dan dibantu oleh pembesar yang bertindak sebagai penasihat. Selain itu, baginda juga berperanan sebagai pemimpin utama angkatan tentera di mana baginda akan mengepalai angkatan tentera bagi mempertahankan negeri dan meluaskan jajahan taklukan. Di samping itu, baginda juga merupakan ketua Agama Islam dan penggubal undang-undang.

Daripada aspek sosial pula, baginda bertindak sebagai penyelesai masalah rakyat dengan menjalankan pemerintahan dan hukuman yang adil kepada rakyat. Oleh sebab itu, Sultan menjadi tempat mengadu masalah dan dijadikan simbol perpaduan. Seterusnya, bagi aspek ekonomi pula. Sultan berperanan penting dalam mengawal kewangan kerajaan. Maka dengan itu, Sultan telah meminta rakyat agar memberikan hasil kegiatan ekonomi kepada kerajaan. Hasil ini dikutip melalui sistem cukai yang telah diperkenalkan.
3.2 Keluarga dan Kerabat Diraja

Kedudukan dan status kedua tertinggi selepas Sultan ialah golongan anak raja dan kerabat diraja. Mereka merupakan golongan yang mempunyai jurai keturunan Sultan yang memerintah sesebuah kerajaan. Mereka ini diberi gelaran sebagai Raja atau Tengku. Anak raja sebenarnya tidak semestinya seorang putera kepada Sultan yang sedang memerintah. Anak raja atau putera puteri raja Sultan juga mempunyai keistimewaan yang sama dengan Sultan. Namun demikian, keistimewaan yang diberikan kepada anak raja tidak melebihi keistimewaan Sultan sebagai ketua kerajaan. Antara keistimewaan anak raja ialah mempunyai payung putih dan menggunakan ‘bahasa dalam’. Dalam kalangan golongan keluarga dan kerabat diraja ini, terdapat beberapa orang yang mempunyai kedudukan yang lebih istimewa hasil daripada hubungan yang rapat dengan Sultan. Antaranya ialah hak keistimewaan dalam politik negeri.

3.3 Pembesar

Anggota masyarakat yang paling hampir dengan pihak bangsawan ialah golongan pembesar. Secara umumnya, masyarakat melayu tradisional menggunakan sistem pembesar empat lipatan yang tediri daripada Bendahara, Penghulu Bandahari, Temenggung dan Laksamana.

3.3.1 Bendahara

Bendahara merupakan ketua eksekutif seluruh mekanisme pentadbiran melayu tradisional. Jika Sultan mempunyai kuasa spiritual dan divine. Bendahara pula mempunyai pemerintahan secara fizikal. Taraf Bendahara lebih tinggi berbanding pembesar yang lain apabila beliau merupakan golongan ketiga selepas kedudukan Sultan. Semasa ketiadaan Sultan, Bendahara mempunyai hak untuk memangku tugas dan peranan Sultan[5], dengan dibantu oleh Seri Nara Diraja(Penghulu Bendahari) dan Seri Bija Diraja. Beliau akan menjadi ketua turus tentera, ketua hakim dam ketua ‘di balai sendiri’ kedudukan Bendahara dibuktikan melalui kedudukan beliau semasa di balairung istana di mana beliau duduk di sebelah kanan Sultan[6]. Selain itu, Bendahara juga turut dianugerahkan usungan untuk berjalan-jalan. Keistimewaan Bendahara telah disentuh dalam Sejarah Melayu yang menerangkan seperti berikut;

“…jikalau Tun Perpatih Permuka Berjajar (Bendahara) duduk di balai, jikalau anak-anak raja datang, tiada dituruninya, melainkan anak raja yang akan ganti kerajaan maka turuninya; dan jikalau Bendahara masuk mengadap, tempatnya duduk itu akan dibentangi permaidani; jikalau raja masuk maka Bendahara pulang, dan segala orang besar-besar dan orang kaya-kaya pergi menghantar Bendahara kembali ke rumahnya…”[7]

Dalam jawatan Bendahara, tiada sistem yang tetap dalam perlantikan jawatan ini. Oleh sebab itu, Bendahara selalunya akan dilantik daripada pembesar kanan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sultan. Kebiasaannya, Bendahara adalah merupakan bapa saudara Sultan sendiri.

3.3.2 Penghulu Bendahari

Penghulu Bendahari menduduki tempat kedua selepas Bendahara dalam golongan pembesar dalam sistem sosial masyarakat Melayu tradisional. Penghulu Bendahari mempunyai peranan utama dalam memegang harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Para pembesar yang berada di bawah bidang kuasanya ialah bendahari-bendahari, pemegang hasil negeri, syahbandar-syahbandar dan hamba-hamba raja[8]. Penghulu sebenarnya merupakan ‘Menteri Kewangan’ dan beliau menjalankan tugas dengan menjadi wakil yang menerima ufti daripada kawasan taklukan kerajaan. Selain itu, penghulu Bendahari juga boleh dititahkan untuk menjadi ketua angkatan tentera perang untuk menyerang negeri asing seperti Melaka menentang Kampar.



3.3.3 Temenggung

Pembesar yang ketiga ialah Temenggung. Temenggung berperanan sebagai Ketua Keamanan Negeri[9]. Temenggung juga menjadi ‘pengatur’ orang makan di balai istana. Menghakimkan perbicaraan yang besar sebagai Timbalan Ketua Hakim, menangkap orang yang melakukan kesalahan, membaiki keadaan pasar dan pekan, dan ketua perancang bandar dan jalan raya. Kecuaian yang dilakukan oleh Temenggung akan menjadikan sesebuah negeri huru-hara. Sebenarnya, tugas temenggung ada dibicarakan dalam Undang-undang Melaka seperti berikut;
“Adapun hukum yang diserahkan kepada Temenggung itu barang yang dihukumkan di dalam negeri seperti tahafus-mentafahus dan seperti tengkap-menangkap orang yang jahat di dalam negeri.”[10]

Selalunya, Temenggung dilantik daripada kalangan keluarga pembesar-pembesar itu sendiri. Umpamanya, Tun Mutahir yang menjadi Temenggung Melaka adalah anak kepada Seri Nara Diraja Tun Ali dan anak saudara kepada Tun Perak.

3.3.4 Laksamana

Jawatan terakhir dalam sistem empat lipatan dalam herarki zaman tradisional Melayu ialah Laksamana. Sebelum jawatan ini wujud, jawatan sebagai ketua angkaatan tentera laut dipegang oleh Hulubalang Besar. Jawatan ini merupakan monopoli orang melayu dari Bentan yang bergelar Seri Bija Diraja. Tokoh yang terkenal ialah Tun Hamzah (Datuk Bongkok) dan Tun Ketuyup (yang dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah).

Apabila jawatan Laksamana diperkenalkan oleh Sultan Mansor Syah, jawatan ini mula dipegang oleh Laksaman Hang Tuah yang merupakan golongan kebanyakan. Pada awalnya, taraf Hulubalang dan Laksamana adalah sama tetapi lama-kelamaan ianya berbeza. Dalam acara pencercaan, Laksamana dan Temenggung ditugaskan untuk mengawal keselamatan Bendahara. Dalam hal ini dapat menunjukkan kedudukan kedua-dua pembesar ini hampir sama. Rakyat yang biadap menentang Bendahara akan dibunuh oleh Temenggung atau Laksamana.

Tugas-tugas utama Laksamana ialah ketua organisasi angkatan laut, pembawa utusan diraja dan pengawal peribadi Bendahara.

Bagi jawatan Laksamana, ia diganti mengikut lunas kekeluargaan. Contohnya, pengganti-pengganti kepada Laksaman Hang Tuah ialah Laksamana Khawaja Hassan, iaitu menantunya, dan kemudian Hang Nadim yang juga menantu beliau. Seperti Bendahara, Laksamana juga dikurniakan usungan.

3.3.5 Syahbandar

Syahbandar juga merupakan pembesar yang terpenting pada zaman Melayu tradisional walaupun tidak tergolong dalam pembesar empat lipatan. Syahbandar bererti ‘pemerintah pelabuhan’ yang diambil daripada perkataan Parsi. Syahbandar menjadi ketua organisasi pelabuhan dan wakil saudagar-saudagar asing. Syahbandar diletakkan di bawah bidang kuasa Penghulu Bendahari. Menurut Tome Pires[11], kehadiran empat orang Syahbandar di Melaka menandakan kehadiran ramai pedagang daripada berbagai-bagai kumpulan etnik.

Sebenarnya, jawatan Laksamana dan Syahbandar adalah kerana keperluan semasa. Hal ini kerana sumber ekonomi zaman tradisional Melayu pada ketika itu bergantung kepada kegiatan laut, terutama perdagangan dan perniagaan. Oleh itu, Laksamana diperlukan untuk mengawal keselamatan laut. Manakala, kelancaran dan kepimpinan diperlukan di kawasan pelabuhan untuk memudahkan urusniaga sehingga terciptanya jawatan Syahbandar. Keadaan ini sehinggakan menyifatkan Laksamana sebagai ‘raja di laut’ dan syahbandar sebagai ‘raja di pelabuhan’.



3.4 Ulama

Golongan yang dikatakan penting dalam masyarakat tradisional Melayu ialah golongan ulama. Golongan ini merupakan golongan intelek dan alim ulam yang pakar dalam hal ehwal agama Islam. Ekoran daripada kepentingannya dalam sistem sosial masyarakat Melayu, maka golongan ini telah diangkat darjatnya dalam susun lapis masyarakat Melayu tradisional. Biasanya, golongan ini terdiri daripada masyarakat yang mempunyai keturunan Arab-Melayu. Golongan ini digelar sebagai maulana, makhdum, kadi dan pendeta tasawuf. Lazimnya, mereka juga turut menggunakan gelaran kebesaran seperti Maharaja Kadi, Dato’ Mufti Seri Utama dan Imam Maharaja. Golongan ini sebenarnya hanya mula memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Melayu selepas tersebarnya Islam ke Nusantara. Pada mulanya, mereka mengajar asas agama Islam. Namun, apabila Islam berkembang dengan pesat, mereka mula mengajar ilmu dalam bidang tasawwuf, tafsir, dan hadis.

Selain itu, golongan ini juga telah dilantik oleh Sultan untuk menjadi guru, ketua agama, kadi dan bertugas menasihati Sultan dalam bidang hukum syarak. Oleh itu, golongan ulama ini dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Sultan.

Seterusnya, pendeta pula merupakan golongan yang pakar dalam bidang kesenian, kebudayaan, kesusasteraan, adat istiadat dan salasilah raja. Golongan ini mempunyai bilangan yang sedikit dalam masyarakat Melayu. Namun begitu, mereka menjadi rujukan Sultan dan golongan istana selain menjadi perawi Sultan.

GOLONGAN DIPERINTAH

3.5 Rakyat

Rakyat merupakan lapisan pertama dalam golongan yang diperintah dalam sistem sosial masyarakat Melayu. Rakyat merupakan golongan yang terbesar dalam masyarakat Melayu. Fungsi utama rakyat adalah dari aspek mental, fizikal, dan tradisi ialah menyokong dan patuh kepada institusi raja dan pembesar. Sebahagian besar daripada golongan rakyat adalah orang Melayu dan selebihnya adalah orang asing dan Orang Laut yang terlibat dalam kegiatan ekonomi sebagai pedagang, peniaga, pedagang-mubaligh dan senteri yang menyebarkan agama Islam.

Rakyat kebiasaannya menjadi pengikut atau pengiring pembesar-pembesar dan raja sebagai hulubalang. Mereka juga terlibat secara langsung dalam apa jua jenis perang yang melibatkan kerajaan. Sejarah Melayu ada menyebut bahawa orang asing juga terlibat dalam kumpulan ini seperti Khawaja Baba, Naina Isahak dan Sayyid Ahmad[12].

Selain itu, rakyat biasa juga terdiri daripada golongan peniaga dan saudagar. Mereka ini mempunyai taraf ekonomi yang lebih rendah daripada golongan buruh kasar dan tukang mahir.

3.6 Orang Asing

Selain daripada empat golongan yang terdapat dalam herarki masyarakat tradisional Melayu, terdapat lagi sebuah golongan yang turut terlibat dalam masyarakat sosial pada zaman tradisional Melayu iaitu golongan ‘orang asing’. ‘orang asing’ turut dikenali sebagai ‘orang dagang’ dan ‘orang perantau’ yang terdiri daripada dua jenis utama. Pertama, golongan yang terlibat dalam pelbagai jenis kegiatan sosial seperti tentera upahan yang kebanyakannya daripada Jawa dan Pasai selain sebagai mubaligh. Kedua, mereka yang terlibat dalam aspek ekonomi seperti peniaga kecil-kecilan sehingga menjadi pemborong dan peniaga besar. Golongan yang terlibat dalam kerja mahir juga dipelopori oleh golongan asing seperti dalam perlombongan bijih yang didominasi oleh golongan Cina.

Secara umumnya, ‘orang asing’ ini dikategorikan kepada dua kumpulan. Pertama mereka yang menetap terus di Tanah Melayu. Manakala, golongan kedua adalah mereka yang menjadi pengunjung sekali-sekala untuk tujuan perdagangan dan perniagaan. Antara golongan ‘orang asing’ pada zaman tradisional Melayu ialah orang Cina, Keling (Tamil), Gujerat, suku-suku dari Arab, Ghori, Parsi dan Siam.


3.7 Hamba

Institusi perhambaan di dalam masyarakat tradisional Melayu dikaitkan dengan tradisi perhambaan di Tanah Arab atau Islam dan wujudnya sistem kasta dalam kepercayaan Hindu. Sebenarnya, institusi perhambaan ini wujud akibat daripada dorongan keperluan dan kepentingan sosial serta ekonomi masyarakat melayu. Hamba berfungsi menyediakan tenaga manusia bagi menyokong dan menjalankan pelbagai jenis kerja yang wujud dalam masyarakat. Hamba dikatakan mampu meningkatkan taraf hidup pemiliknya kerana semakin ramai hamba yang dimiliki oleh seseorang, semakin tinggi taraf hidup dan kukuh ekonominya. Contoh yang paling ketara ialah Tun Mutahir yang mempunyai ratusan hamba dan dianggap sebagai orang terkaya pada ketika itu.

Hamba terbahagi kepada tiga golongan utama iaitu hamba biasa hamba berhutang dan hamba raja.

3.7.1 Hamba Raja

Pertama sekali adalah golongan hamba raja. Mereka terdiri daripada orang yang merdeka yang telah melakukan kesalahan jenayah, kemudian tertangkap lalu mendapat keampunan daripada sultan, dan berjanji akan menjadi hamba turun temurun.dengan cara ini mereka kan terlepas daripada menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan. Selain itu, golongan ini juga terdiri daripada tawanan perang atau banduan. Haamba raja juga dikenali sebagai ‘biduanda’ yang melakukan hampir kesemua jenis pekerjaan. Hamba raja ini mendapat perlindungan daripada pihak pemerintah.[13] Golongan hamba raja ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding dua kelompok hamba yang lain sehingga sesiapa yang membunuh hamba raja akan mendapat hukuman yang berat seperti yang dinyatakan dalam Hukum Kanun Melaka sebagai:

“Adapun jikalau hamba rajin dan segala hartanya (si pencuri) itu dirampas. Jikalau nakhoda sekalipun demikian juga hukumannya”.[14]

3.7.2 Hamba Biasa

Hamba biasa terdiri daripada tiga kelompok kecil iaitu abdi, dengan dan hamba. Hamba daripada golongan ini biasa diperoleh melalui pembelian dan pertukaran tuan. Golongan ini menjadi hamba seumur hidup secara turun-temurun.

Hamba abdi terbahagi pula kepada beberapa jenis. Hamba abdi yang pertama ialah hamba tawanan yang menjadi hamba apabila tertawan dalam sesebuah peperangan. Kedua ialah hamba diranggah iaitu hamba yang bukan daripada orang Islam yang ditawan seperti Batak dan orang asli atau penduduk Islam lain di rantau ini yang diculik dan dijual oleh peniaga hamba abdi termasuk mereka yang ditawan oleh lanun dan menjadi hamba. Hamba abdi yang ketiga ialah kamba habsyi iaitu hamba yang diimport dari Afrika. Kebanyakan mereka merupakan orang kulit hitam yang dibeli oleh orang Melayu semasa menunaikan haji di Makkah. Terdapat juga hamba afrika yang dibawa oleh penjajah Eropah.

Selain itu, dalam hamba abdi juga terdapat hamba hulur. Hamba hulur merupakan mereka yang melakukan kesalahan jenayah dan mereka yang menyerah diri kepada pemerintah kerana tidak mampu untuk membayar semula hutang darah atau denda. Manakala, hamba serah pula mereka yang menghadapi kesukaran hidup dan menjadi hamba dengan menyerah diri kepada mereka yang sanggup memberikan makanan atau nafkah hidup. Akhir sekali ialah hamba keluarga atau anak hamba yang merupakan anak dan isteri kepada hamba abdi.[15]

3.7.3 Hamba Berhutang

Hamba yang kedua iaitu hamba berhutang merupakan golongan yang tidak dapat membayar hutang kepada si pemiutang. Golongan hamba berhutang ini pada asalnya merupakan golongan orang yang merdeka. Oleh kerana tidak mampu membayar hutang, maka mereka terpaksa menjadi hamba berhutang untuk melunaskan hutan-hutang mereka. Lebih memeritkan lagi apabila bukan sahaja mereka yang menjadi hamba, tetapi turut dialami oleh anak-anak dan isteri sebagai hamba tebusan. Tempoh perkhidmatan hamba berhutang adalah sehingga hutang tersebut telah selesai dibayar seperti yang telah dijanjikan. Hamba berhutang melakukan pelbagai jenis kerja termasuklah bercucuk tanam, melombong, kerja-kerja domestik dan lain-lain.

Hamba berhutang sebenarnya terbahagi kepada empat bahagian yang kecil. Pertama ialah orang berhutang. Orang berhutang merupakan orang yang terikat dengan hutang dan akan dibebaskan selepas menjelaskan hutang tersebut. Kedua ialah anak emas yang merupakan orang yang menjadi hamba melalui perkahwinan iaitu hamba lelaki yang berkahwin dengan hamba wanita dan terikat kepada tuannya. Seterusnya merupakan hamba waris yang merupakan isteri dan anak-anak hamkba orang berhutang. Akhir sekali ialah hamba bayar yang merupakan abdi yang diserahkan oleh tuannya kepada orang lain untuk tujuan membayar hutang tuannya kepada pemiutang.

Sesuatu yang menarik dalam golongan hamba ialah mereka dilindungi oleh Hukum Kanun Melaka yang menyebut bahawa hamba terlindung daripada kezaliman. Hamba bebas untuk bergerak seperti mengambil upah daripada orang lain.[16] Hasil pendapatan boleh disimpan sendiri atau diberikan kepada tuan mereka. Kedudukan sosial hamba ini dibicarakan secara panjang lebar dalam Hukum Kanun Melaka.[17]

4.0 KEBUDAYAAN MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL

4.1 Adat Resam

Adat resam merupakan suatu perbuatan yang menjadi kebiasaan tetap dan dihormati oleh masyarakat. Perbuatan yang diikuti tadi akan menjadi adat dan amalan dalam kehidupan harian mereka. Adat resam masyarakat Melayu bertujuan untuk mengawal tingkah laku masyarakat untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Adat dalam masyarakat Melayu ialah segala yang berkaitan dengan proses kehidupan manusia bermula ketika sesorang dilahirkan sehinggalah beliau menemui ajal.[18] Adat resam terbahagi kepada dua iaitu adat golongan bangsawan dan adat rakyat biasa.

4.1.1 Adat Istiadat Raja

Terdapat pelbagai jenis adat istiadat raja pada zaman Melayu tradisional. Antara adat istiadat tersebut ialah adat mengadap dan menyembah Sultan di balairung, adat pertabalan dan pelbagai lagi jenis adat yang lain. Kepercayaan terhadap kemuliaan dan keagungan Sultan telah membawa kepada adat menyembah Sultan yang dikenali sebagai ‘adat menjunjung duli’. Adat ini dilakukan oleh pembesar negeri bagi menunjukkan kedaulatan Sultan dan taat setia mereka kepada pemerintah. Kebiasaannya, adat ini hanya dilakukan dalam balairung.

Selain itu, pertabalan sultan juga mempunyai adat yang tersendiri. Terdapat pelbagai protokol dalam perlantikan Sultan. Adat ini dimulakan dengan membersihkan kawasan istana dan seluruh kawasan negeri. Setelah itu, pertabalan Sultan ini akan dihebahkan ke segenap pelosok negeri agar rakyat mengetahui bahawa terdapat pertabalan Sultan yang akan berlangsung. Pertabalan Sultan akan berlangsung dengan penuh adat istiadat dan berakhir dengan majlis santapan. Seperkara yang perlu diingat ialah adat melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali berturut-turut terdapat dalam adat pertabalan Sultan.

4.1.2 Adat Resam Rakyat Biasa

Adat resam rakyat biasa amat penting bagi megawal tingkah laku rakyat demi keharmonian masyarakat pada zaman Melayu tradisional. Adat yang diamalkan oleh rakyat biasa lazimnya seperti adat perkahwinan dan adat menyambut kelahiran. Selain itu, terdapat juga adat lain seperti adat serumah tangga. Adat serumah tangga ialah adat yang berkaitan dengan cara kelakuan dalam rumah dan bersama keluarga. Selain itu, adat menziarahi tetamu juga diamalkan dalam masyarakat Melayu tradisional. Adat ini dimulakan dengan memberi salam kepada tuan rumah, membuka kasut dan membasuh kami sebelum bersalaman dengan tuan rumah. Tetamu yang datang pula perlu diberi hidangan.

Dalam adat perkahwinan pula terbahagi kepada beberapa peringkat. Peringkat yang pertama ialah merisik anak gadis sebelum majlis meminang dengan pihak lelaki memberikan sebentuk cincin kepada perempuan sebagai tanda pertunangan. Selepas itu, barulah tarikh pernikahan akan ditetapkan. Kemuncak perkahwinan adalah adat bersanding dan setelah itu pihak perempuan akan dibawa ke rumah lelaki untuk beberapa hari. Akhir sekali adalah adat kelahiran yang juga mempunyai beberapa peringkat. Semasa tujuh bulan mengandung, adat melenggang akan diadakan dan apabila sudah lahir upacara bercukur rambut akan diadakan menandakan anak tersebut diterima oleh masyarakat.

5.0 PENDIDIKAN

Pendidikan merupakan aspek yang penting dalam masyarakat Melayu tradisional. Pendidikan pada umumnya bercorak pendidikan tidak rasmi dan pendidikan rasmi . pendidikan tidak rasmi termasuklah mengaji Al-Quran, pertukangan, kepahlawanan dan yang berkaitan dengan adat resam Melayu. Corak ini bermula di rumah. Nilai-nilai murni dan budaya selalunya disampaikan melalui cerita lisan, pantun, peribahasa dan gurindam. Apabila Tanah Melayu menerima pengaruh daripada agama Islam, maka terdapat banyak surau dan masjid telah dibina untuk mengajar ilmu agama dan membaca Al-Quran. Dengan itu, bermulalah pendidikan formal. Asas rujukan utama pendidikan zaman dahulu ialah Muqaddam dan Al-Quran. Setelah selesai mengaji Muqaddam dan Al-Quran, majlis khatam Al-Quran akan dilakukan. Selain itu, pelajar juga mempelajari ilmu fardhu ain serta pendidikan akhlak yang berlandaskan ajaran Islam di samping ilmu mengira, menulis tulisan jawi, tajwid, rukun Islam dan rukun Iman.

6.0 AGAMA DAN KEPERCAYAAN

Pada awalnya, masyarakat Melayu menganut kefahaman animisme. Kepercayaan ini telah dianut oleh masyarakat Melayu sejak sebelum kedatangan agama Hindu lagi. Animisme merupakan suatu kepercayaan masyarakat Melayu terhadap makhluk-makhluk halus dan kuasa-kuasa ghaib. Seterusnya, pada abad ke-4 masihi, pengaruh Hindu-Buddha telah mula bertapak di Tanah Melayu. Maka, bermula abad ke-4, masyarakat Melayu tradisional mula menganut agama ini. Terdapat dua tempat yang menjadi tapak tersebarnya agama ini di Tanah Melayu iaitu kawasan Kedah Tua dan Langkasuka. Kedatangan agama ini membawa pengaruh dalam kebudayaan masyarakat ketika itu seperti adat bersanding dalam perkahwinan masyarakat Melayu. Akhir sekali ialah agama Islam yang mula bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-7. Agama Islam ini datang ke Tanah melayu melalui pedagang daripada China, India dan Tanah Arab. Kedatangan agama ini telah membawa kepada bermulanya sistem pendidikan secara formal dan peraturan yang menjadi garis panduan masyrakat Melayu. Seperkara yang pasti, agama Islam membawa kepada perubahan dalam sistem sosial masyarakat Melayu seperti pentadbiran, pendidikan dan adat budaya.

7.0 KEGIATAN EKONOMI

Kegiatan ekonomi yang dijalankan pada zaman Melayu tradisional terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu ekonomi sara diri dan ekonomi komersil. Ekonomi sara diri adalah berbentuk pertanian. Pertanian ini dijalankan untuk memenuhi keperluan hidup semata-mata dan bukannya untuk tujuan jualan atau perniagaan. Antara tanaman yang paling popular ketika itu ialah penanaman padi. Dalam sistem ekonomi sara diri ini, pekerja atau buruh yang menjalankan aktiviti pertanian terdiri daripada golongan keluarga sahaja. Selain daripada pertanian, pencarian hasil hutan, penternakan, perikanan, perlombongan dan kerja-kerja kemahiran juga terdapat dalam kegiatan sosio-ekonomi masyarakat Melayu tradisional.

Seterusnya, kegiatan komersil adalah kegiatan ekonomi yang bukan sahaja untuk keperluan diri sendiri tetapi juga melibatkan aktiviti perniagaan dan perdagangan. Hasil daripada pertanian yang mempunyai lebihan akan diniagakan. Begitu juga dengan kutipan hasil hutan dan perikanan. Lebih menarik lagi apabila kegiatan ekonomi komersil yang berbentuk perdagangan ini merupakan sumber kewangan utama kerajaan dan masyarakat Melayu tradisional.



8.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, sistem sosial masyarakat Melayu tradisional merupakan sistem sosial yang kukuh dan teratur. Sistem ini diamalkan zaman berzaman dan masih mempunyai pengaruh sehingga hari ini. Sistem sosial pada zaman tradisional mempengaruhi sistem pemerintahan kita pada hari ini. Contohnya, sistem pemerintahan Malaysia yang bersifat Raja Berpelembagaan yang mempunyai kaitan dengan konsep Daulat dan Derhaka pada zaman tradisional dahulu, Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan unsur-unsur tradisional masih diamalkan sehingga hari ini.

Namun begitu, sejarah telah membuktikan bahawa terdapat pelbagai pengaruh asing yang mempengaruhi sistem sosial dalam masyarakat Melayu tradisional. Antaranya ialah pengaruh agama Hindu-Buddha dan agama Islam. Elemen-elemen seperti ini telah menyerap masuk dalam budaya masyarakat Melayu tradisional dan terus kekal dalam sosial masyarakat Melayu sehingga hari ini.
















LAMPIRAN

Ulama-ulama Istana
Rajah 1.0: Susun lapis masyarakat Melayu tradisional










RUJUKAN

1. Ismail Hussein, Aziz Deraman, Abd. Rahmanal-ahmadi ,Tamadun Melayu Jilid Dua,Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 1989.
2. Ismail Hussein, Aziz Deraman, Abd. Rahmanal-ahmadi ,Tamadun Melayu Jilid Dua,Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 1995.
3. Muhd Yusof Ibrahim, Pensejarahan Melayu 1800-1960, DBP, 1994.
4. Fauziah Shaffie dan Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Penerbit Fajar Bakti, 2000.
5. Muhammad Yusof Hashim,The Malay Sultanate of Malacca, DBP ,1992.
6. Mohammad Idris Saleh, Che Su Mustaffa, Fauziah Shaffie, Sejarah pembangunan bangsa dan Negara, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, 1994.







[1] Lihat Webster New Twentieth Century Dictionary unabridged second edition, New York 1979 halaman 1853
[2] Mahdi Shuid dan Sazlina Othman, “Sejarah Malaysia”, Selangor, Pearson Longman, 2006, hlm. 2.
[3] Harun Daud, Sejarah Melayu: Satu Kajian daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989, hlm. 26.
[4] W.G Shellabear (ed), Sejarah Melayu, Malayan Publishing House, Singapura, 1961, hlm. 244
[5] Sebagaimana pengalaman Bendahara Tun Perak dengan bantuan beberapa orang pembesar Melaka yang kanan seperti Seri Nara Diraja, Seri Bija Diraja, dan seterusnya menjadi Pemangku Sultan Melaka pada masa Sultan Mansor Syah dikatakan berangkat ke Pulau Jawa. Lihat C.C Brown (ed & tsd), Sejarah Melayu Or Malay Annals, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1970, hlm. 67; W.G. Shellabear, hlm. 116-117.
[6] W.G. Shellbear,hlm. 93-4.
[7] Ibid., hlm. 42.
[8] Ibid., hlm. 80.
[9] Walau bagaimana pun ini tidak muktamad. Seorang Temenggung dapat juga diletakkan bertanggungjawab dalam kegiatan tentera terutama dalam perluasan kuasa jajahan. Lihat W.G Shellabear dan C.c. Brown, passim.
[10] Lim Yock Fang (ed), Undang-undang Melaka, The Hague,1976, Fasal 0;1, 1976, hlm. 63.
[11] Armando A. Corteso (ed & tsd), The Suma Oriental of Tome Pires, The Hakluyt Society, London, 1944, hlm. 265.
[12] W.G Shellebear, passim; C.C. brown, passim.
[13] Liaw York Fang, op.cit., Fasal 12:1, hlm. 40-41.
[14] Ibid, 24:1, hlm. 121-122.
[15] Lihat Fawzi Basri, Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak, Yayasan Perak, Ipoh, 1986, hlm. 200.
[16] Liaw York Fang, op.cit.,Fasal 3, 10,15:2, hlm. 68, 78, 88-92.
[17] Semua peruntukan berhubung dengan kedudukan dan fungsi sosial mereka boleh dirujuk pada Fasal 2:1, 6:4, 8:1, 8:2, 8:3, 12:2, 13:1, 15:1, 15:2, 15:5, 15:6 dan 18:3. Lihat Liaw Yock Fang, op. cit., passim.
[18] Ismail Hamid, Masyarakat dan budaya Melayu, Dewan Bahasa danPustaka, Kuala Lumpur, 1998, hlm. 85

0 comments: