BUGIS DI REMBAU, NEGERI SEMBILAN
Oleh: Mohd Ridzwan bin Abdul Razak A127426
Pada tahun 1701, Daeng Marewah dan pengikutnya telah bersepakat untuk menetap di Linggi. Mereka telah menetap di Linggi tanpa terlebih dahulu meminta perkenan Sultan Johor dan menjelang bulan Oktober 1701, terdapat 600 orang Bugis tidak termasuk kaum wanita dan kanak-kanak. Kehadiran orang Bugis yang ramai di Linggi telah membimbangkan pihak Belanda yang berada di Melaka kerana berdekatan dengan wilayahnya. Pihak Belanda telah menyuarakan kebimbangan mereka ini kepada Sultan Johor semasa misinya pergi ke Johor pada 6 Oktober 1701.
Sekitar tahun 1711, sekumpulan lagi orang Bugis dibawah pimpinan Daeng Menompok telah sampai ke Linggi. Kehadirannya menyebabkan wujud dua kuasa di Linggi iaitu Daeng Menompok dan Daeng Marewah. Kira-kira antara tahun 1711 dan tahun 1715 terdapat persaingan kuasa antara Daeng Marewah dengan Daeng Menompok dan Daeng Marewah telah memenangi kepimpinan kumpulan Bugis di Linggi. Sehingga menjelang sekitar pertengahan tahun pertama abad ke-18 para pemimpin Bugis berpuas hati tinggal di pinggir wilayah beberapa kerajaan Melayu tanpa mencampuri urusan mereka. Bagi orang Bugis, hanya dengan cara demikian mereka dapat meneruskan institusi dan tradisi politik mereka sendiri.
Pada masa yang sama, kerajaan Johor yang ketika itu merupakan penaung Rembau baru sahaja dalam proses pemulihan dari kejutan selepas berlakunya ‘pemberontakan’ pada tahun 1699. Sultan Abdul Jalil Riayat Syah telah memindahkan ibu negerinya dari Kota Tinggi ke Pancur. Menjelang Januari 1701, perdagangan Johor mula menunjukkan peningkatan atas daya usaha Bendahara Tun Mas Anum. Kesannya menjelang tahun 1705, perdagangan di Melaka mula merosot.
Keadaan Rembau pada abad ke-18 agak berbeza dengan abad ke-17. Pada abad ke-18, penguasaan Johor ke atas wilayah rantau Minangkabau di pedalaman Melaka menjadi lemah. Ini dapat dibuktikan dengan penyerahan kuasa naungannya keatas Naning kepada Melaka oleh Sultan Abdul Jalil melalui perjanjian perlindungan. Pada masa itu, Johor sedang melipatgandakan usaha untuk menarik perdagangan antarabangsa ke pelabuhannya. Sekitar tahun 1704-1705, Rembau telah berjaya mengukuhkan semula ekonominya dan juga kuasa tenteranya sekali gus telah menjadi duri dalam daging bagi Melaka.
Kebangkitan Rembau telah menyebabkan pihak Belanda melalui misinya ke Pancur pada 13 Disember 1705 antara lain untuk menyentuh fasal perjanjian Johor-Belanda 1689 tentang menahan hamba-hamba. Persoalan ‘hamba yang melarikan diri’ telah dikaikan dengan secara tidak langsung dengan ‘aktiviti’ jenayah Rembau. Bagaimanapun, Bendahara Tun Mas Anum telah memberitahu Melaka bahawa hamba-hamba itu berada di dalam tangan Encik Panda yang berada di Rembau. Beliau menasihati Belanda supaya tidak mendapatkan semula hamba-hamba itu kerana orang Rembau sedang ‘menimbulkan kekacauan’.
Akhirnya kekacauan ini bertukar menjadi pemberontakan dalam tahun 1706 dan kebetulan ketika itu Bendahara Tun Mas Anum berada di Linggi dalam menyelesaikan masalah orang Bugis yang menetap secara haram di situ. Pemberontakan di Rembau itu telah menyebabkan pada 25 Julai 1706, Seri Nara Diraja telah bertolak dengan membawa lima buah kapal perang untuk membantu Bendahara. Bantuan ini telah menyebabkan pemberontakan tersebut berjaya dipatahkan dan bagi menguatkan semula ketuanan Johor, Bendahara Tun Mas Anum telah menganugerahkan cop mohor kepada penghulu Rembau yang tertulis ‘dengan restu Bendahara Seri Maharaja’.
Sehingga Januari 1795, Rembau tidak terlibat dengan krisis yang berlaku di sebelah luar kawasan sempadan tenggara dan barat wilayahnya. Bagaimanapun, pada bulan Februari berkenaan Seri Bija Wangsa bersama pengiringnya telah sampai ke Rembau dan menemui Datuk Kurap. Seri Bija Wangsa telah memaklumkan bahawa satu angkatan perang Johor yang terdiri daripada tujuh buah kapal sedang berada di Sungai Penajih dan memaklumkan bahawa beliau datang bersama dengan Orang Kaya Paduka Seri Dewa dan Encik Yusof. Kedatangan beliau sebenarnya adalah untuk meminta bantuan ketenteraan dari Rembau untuk mengusir orang Bugis dari Linggi. Setelah berbincang dan bermuafakat dengan Datuk Lembaga Tiang Balai, Datuk Kurap mendapati Rembau tiada pilihan lain melainkan menunaikan kehendak Seri Bija Wangsa.
Seri Bija Wangsa dengan tentera Rembau dan Orang Kaya Paduka Seri Dewa dengan tentera Sungai Ujong telah bergabung dengan angkatan perang Johor yang menunggu Encik Yusuf di Pangkalan Atap. Angkatan ini bergerak ke kawasan hilir Linggi dan membina kubu pertahanan yang berhadapan dengan kubu Bugis. Setelah berperang beberapa hari, akhirnya pada suatu malam orang Bugis telah berjaya menyerbu kubu pertahanan Johor-Rembau-Sungai Ujong dan memaksa mereka melarikan diri dengan perahu. Peperangan ini berakhir dengan kekalahan pihak Johor-Rembau-Sungai Ujong. Bagaimanapun, kemalangan di kedua-dua belah pihak tidak teruk dengan dua orang Bugis cedera kerana terkena tembakan dan sepuluh orang luka akibat terkena perangkap, manakala seorang orang Minangkabau mati dan seorang cedera dan di pihak tentera Johor hanya seorang sahaja cedera (Andaya, 1987: 310).
Berita kekalahan ini telah sampai ke Riau dan pada bulan Mei 1715, satu angkatan perang yang mengandungi lebih kurang 60 buah kapal perang di bawah pimpinan Temenggung Tun Abdul Jamal telah bergerak ke Rembau untuk melakukan serangan sekali lagi ke atas orang Bugis di Linggi. Temenggung Tun Abdul Jamal telah membawa angkatannya ke suatu tempat antara Sungai Penajih dengan Tanjung Tuan. Kehadirannya telah disampaikan kepada Seri Bija Wangsa, Orang Kaya Paduka Seri Dewa dan Encik Yusof yang berada di Rembau. Mereka bersama angkatan mereka telah pergi ke hilir untuk mendapatkan Temenggung di kubunya. Temenggung Tun Abdul Jamal telah menghantar Encik Yusof iaitu saudaranya sendiri untuk ke Muar bagi mendapatkan bantuan. Bantuan ini diperlukan kerana orang Bugis dari Tangga Batu di bawah pimpinan Daeng Matimo iaitu saudara lelaki Daeng Menompok telah berkumpul di Linggi untuk membantu Daeng Marewah dan Daeng Menompok. Bagaimanapun, ketika Encik Yusof dalam perjalanan ke Muar, ribut kencang telah melanda dan beliau terkandas di pantai Tanah Merah. Beliau dan anak kapal ditangkap oleh orang Bugis dan telah dihukum bunuh atas perintah Daeng Marewah. Berita kegagalan dan pembunuhan Encik Yusof itu telah sampai kepada Temenggung Tun Abdul Jamal. Dalam peperangan yang berikutnya, sekali lagi angkatan Johor- Rembau- Sungai Ujong telah kalah.
Beberapa bulan kemudian, sekali lagi Rembau menghantar angkatan tenteranya seramai 600 hingga 700 orang untuk membantu angkatan tentera Johor di bawah Laksamana Seri Nara Diraja dan Seri Bija Wangsa. Bagaimanapun, ekspedisi ini bukan bertujuan untuk menyerang Linggi tetapi untuk menghukum para penduduk yang membantu orang Bugis dalam peperangan sebelumnya. Angkatan ini telah pergi ke Air Hitam dan Sungai Tuan yang terletak berhampiran dengan Sungai Baru. Tentera Johor telah mendirikan kubu di tebing sungai dan pihak Bugis telah membuat kubu di tebing sungai yang lagi satu.
Keadaan yang genting ini telah menyebabkan pihak Belanda telah menghantar wakil kepada kedua-dua belah pihak dan menuntut mereka meninggalkan wilayah Belanda itu. Oleh itu peperangan tidak berlaku dan orang Rembau telah pulang menemui Datuk Kurap dan menceritakan perkara yang berlaku. Selepas Johor berundur, orang Bugis telah membahagikan petempatan mereka. Daeng Marewah dengan pengikutnya telah mengambil bahagian selatan Sungai Penajis, sementara Daeng Menompok dan pengikutnya telah menduduki bahagian utara di sungai yang sama. Keadaan tersebut telah menyebabkan kerajaan Johor berazam untuk merampas semula Linggi daripada Bugis.
Penglibatan pembesar Rembau dan Sungai Ujong dalam peperangan Johor-Bugis tidak terhenti begitu sahaja. Pada bulan April 1716, mereka telah membantu angkatan Raja Muda Tun Mahmud dalam mempertahankan Selangor. Bagaimanapun, Daeng Marewah dengan angkatan Bugis yang mempunyai sebelas buah kapal dan 300 orang pengikutnya telah menyerang Raja Muda dan berjaya menakluki Selangor. Ini telah menyebabkan Bugis berkuasa di Linggi dan Selangor.
Penguasaan Bugis di Linggi telah membimbangkan Rembau. Hal ini disebabkan kedua-dua suku bangsa Melayu ini mempunyai sistem nilai dan budaya yang berasingan kerana orang Bugis berpegang pada adat nasab bapa iaitu adat Temenggung manakala Rembau berpegang pada nasab ibu iaitu adat Perpatih. Orang Rembau menyedari bahawa orang Bugis merupakan bangsa pejuang yang baik tetapi agresif dan mereka sedang berusaha mencari penempatan yang baru setelah mengalami kesukaran di Jawa dan Sumatera. Dalam situasi sedemikian, setelah menyaksikan sendiri keunggulan orang Bugis dalam peperangan Rembau.
Bagi Johor terutamanya Raja Muda, kekalahan kepada angkatan Bugis yang lebih kecil adalah sangat memalukan dan merupakan satu tamparan yang cukup hebat terhadap kewibawaan baginda. Musuh peribadi baginda semakin berani atas kegagalan dan semakin ramai pengikut baginda yang merasa kecewa dengan cara baginda mengendalikan soal perang dan urusan pentadbiran. Keadaan ini terus menghakis keyakinan semua pihak, baik di dalam mahupun di luar Johor terhadap Raja Muda dalam memberi perlindungan dalam perdagangan. Hal ini ditambah lagi apabila pihak Belanda tidak lagi menunjukkan minat yang bersungguh dalam membantu Johor.
Dalam bulan Julai 1716, Sultan Abdul Jalil telah berpindah semula ke tanah besar Johor namun perubahan ibu negeri ini tidak menyelamatkan Johor daripada kemerosotan. Konflik dalam istana, kesetiaan rakyat yang berbelah-bagi antara Raja Muda Tun Mahmud dengan Orang Kaya Johor yang lain, keuzuran Sultan Abdul Jalil dan ancaman dari luar seperti Bugis dan Bengkalis telah melemahkan pertahanan Johor. Keadaan ini telah menyebabkan Raja Kecil mudah untuk menyerang dan menakluk Johor pada bulan Mac 1718. Raja Kecil telah menggelarkan dirinya sebagai Sultan Abdul Jalal Rahmat Syah.
Penaklukan ke atas Johor secara sendirian oleh Raja Kecil telah mengecewakan orang Bugis. Bagaimanapun, peluang itu datang kembali apabila Raja Sulaiman, putera Sultan Abdul Jalil meminta bantuan Bugis untuk mengusir Raja Kecil keluar dari Riau. Pihak Bugis membayangkan cita-cita politiknya jika salah seorang putera Bugis berjaya menjadi Yang Dipertuan Muda secara turun temurun. Pertapakan orang Bugis di Johor dimulakan dengan langkah diplomasi. Daeng Perani telah berkahwin dengan Tengku Tengah, puteri Sultan Abdul Jalil, manakala Tengku Mandak, puteri Sultan Sulaiman dijodohkan dengan Daeng Celak. Ikatan politik melalui perkahwinan ini dengan mudah menguatkan pengaruh Bugis . Akhirnya angkatan Johor dan Bugis telah berjaya mengusir keluar Raja Kecil pada tahun 1722.
Bagaimanappun, ketika Raja Kecil menjadi sultan Johor, baginda pernah menghantar surat kepada pihak Belanda untuk melarang orang Bugis melalui kawasan Naning untuk menghalang rancangan Daeng Marewah menyerang Rembau. Nada suara atau utusan Raja Kecil ini serupa seperti suara-suara Johor sebelumnya. Raja Kecil juga telah melakukan serangan ke atas penempatan Bugis di kawasan Sungai Baru dan Linggi pada 14 Mac 1721 namun serangan itu bukan tindak balas atau keinginan pihak Bugis menyerang Rembau tetapi untuk merampas beberapa kawasan lombong bijih timah dan jalan lalu lintas perdagangan dari pedalaman daripada pihak Bugis. Raja Kecil kalah dalam peperangan dan diburu oleh orang Bugis sehingga ke Melaka.
Kekalahan angkatan perang Raja Kecil ‘yang besar’ ini telah memberikan keyakinan kepada Daeng Marewah dan orang Bugis. Tanpa rasa takut, pada akhir bulan Mac 1721 mereka telah mengistiharkan bahawa wilayahnya dianggap berada dibawah pengaruh (Daeng Marewah), merentang dari Melaka ke Bernam (Andaya, 1987:384). Keangkuhan dan kekuatan tentera Bugis ini telah membimbangkan Rembau. Hal ini kerana wilayah Rembau adalah paling hampir dengan wilayah Bugis kerana mempunyai sempadan yang sama. Sungai Ujong pula telah meminta dan menerima perlindungan dari pihak Belanda (Andaya, 1987: 378). Naning berada di bawah naungan pihak Belanda dan orang Bugis masih tidak berani menguji kekuatan tentera Belanda.
Keadaan yang mencemaskan ini membuatkan Rembau mencari tempat perlindungan. Sekiranya mereka meminta perlindungan dari Johor bermakna memburukkan lagi keadaan dan Rembau akan menjadi sasaran utama untuk diserang oleh Bugis. Bagaimanapun, untuk mendapatkan perlindungan dari Belanda merupakan pilihan terakhir sekiranya semua pilihan lain gagal. Rembau masih mempunyai satu pilihan iaitu jika tidak boleh lagi ‘beraja ke Johor’ dan tidak mungkin ‘bertali ke Siak’ maka Rembau masih lagi boleh ‘bertuan ke Minangkabau’. Oleh itu, dengan berpandukan perbilangan adat ini, Datuk Kurap dan Tiang Balai Yang Empat berserta Datuk Lembaga yang lain telah sepakat untuk mengadap Raja Alam iaitu Yang Dipertuan Pagar Ruyung untuk mengadu hal ini. Antara pembesar yang mengadap Raja Alam ialah Datuk Johan, Datuk Andatar, Datuk Laksamana, Datuk Panglima Sutan, dan Datuk Panglima Raja. Permintaan Rembau ini telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Pagar Ruyung yang mungkin Yang Dipertuan Patah Sultan Abdul Jalil (1719-80) dengan menghantar seorang puteranya untuk melindungi Minangkabau di Tanah Melayu. Kehadiran putera Minangkabau di Rembau sekitar tahun 1721 ini (Begbie, 1834: 61) telah menjadi saingan (Andaya, 1987: 363) terhadap kekuasaan Raja Kecil yang dikatakan pusat penghimpunan pasukan tentera yang terdiri daripada orang Minangkabau. Kedatangan putera ini juga boleh difahamkan bahawa kerajaan Pagar Ruyung tidak lagi bersama Raja Kecil yang gagal dipanggil balik oleh Baginda Sultan Maharaja pada tahun 1719 dahulu. Oleh itu, Yang Dipertuan Raja Alam Pagar Ruyung sememangnya bertujuan untuk memberikan saingan kepada Raja Kecil apabila memenuhi kehendak Rembau.
Menurut Begbie, semasa menyatakan tentang kehadiran seorang ‘anak raja Minangkabau’ ini pula tidak menyebut namanya. Wilkinson (1911: 19) menyarankan putera itu mungkin bernama Raja Kasah dan kenyataan ini dipersetujui oleh Winstedt (1934: 59). Andaya (1987:412) yang banyak menggunakan sumber bertulis dari Belanda mengakui kehadiran putera raja ini dan menyebut namanya sebagai Raja Malewar. Pendapat ini disokong dan dipersetujui oleh Khoo Khay Kim (1990:5). Berkait dengan tujuan kehadiran ‘anak raja Minangkabau’ ini Andaya mungkin telah memberi interpretasi yang lebih tepat. Raja Kasah ataupun Raja Malewar telah dijemput dan dikirim kerana rakyat Rembau khasnya dan rakyat rantau Minangkabau yang lain amnya memerlukan perlindungan daripada orang Bugis, dan mungkin juga dari Raja Kecil sendiri. Bagi Raja Minangkabau pula anak raja itu dikirim untuk memberi saingan kepada Raja Kecil.
Beberapa tahun selepas kematian Raja Malewar sekitar awal 1740-an, Johor yang mula pulih daripada penaklukan Siak dan disokong oleh kekuatan Bugis di belakang takthanya telah mengambil alih semula peranan sebagai penaung ke atas Rembau, Sungai Ujong, Johor, dan Naning (Begbie, 1834: 64). Pada teorinya, wilayah-wilayah ini bertuankan Johor tetapi pada praktiknya adalah di bawah kekuasaan Bugis. Dalam tahun-tahun sebelum, semasa dan selepas pemerintahan Raja Malewar, kegiatan orang Bugis hanya tertumpu di Linggi sahaja namun pada zaman pemerintahan Datuk Lulinsuh sebagai Penghulu Rembau pada tahun 1750, Bugis mula berada di Rembau.
Suatu kenyataan Begbie (1834: 64) tentang adanya seorang ‘Raja Di Pedalaman’ (Rajah of Interior) yang dilantik oleh Bugis sekitar tahun 1750-an perlu diambil perhatian. Besar kemungkinan orang yang dimaksudkan itu adalah Raja Adil walaupun Begbie mengidentifikasinya sebagai Daeng Kemboja. Menurut Khoo Kay Kim, pada tahun 1748, Daeng Kemboja telah ditabalkan sebagai Yamtuan Muda Johor dan besar kemungkinan pada ketika itulah beliau diiktiraf sebagai ‘Rajah of Interior’ kerana beliau bermaustatin di Linggi bukan di Riau (Khoo Kay Kim, 1990: 6-7). Kenyataan Khoo Kay Kim tentang kehadiran Daeng Kemboja di Linggi sekitar awal 1750-an itu ada disebut di dalam Hikayat Negeri Johor. Beliau dikatakan berpindah ke Linggi kerana berselisih faham dengan Sultan Johor iaitu Sultan Sulaiman.
Selepas peperangan dengan Raja Alam Siak tamat, Sultan Sulaiman telah mengutuskan Yang Dipertuan kecil ( Sultan Mansur Syah) Terengganu, Raja Haji dan Daeng Tumik menjemput Daeng Kemboja balik ke Riau. Semasa pelayaran, mereka telah singgah di Melaka dan Raja Haji ditahan. Daeng Kemboja dengan bantuan Raja Selangor berjaya membebaskan Raja Haji dan membawanya ke Linggi. Akibat menyelamatkan Raja Haji ini, Yang Dipertuan Kecil Terengganu dan Daeng Tumik telah menyerang Linggi. Daeng Kemboja telah dikalahkan dan berundur ke Rembau. Semasa di Rembau, Daeng Kemboja telah membuat persetiaan dengan ‘Raja Rembau, Yang Dipertuan Raja Ali dan Penghulunya yang empunya suku’ (Hikayat Negeri Johor, 1932:14)
Setelah kalah perang dengan Yang Dipertuan Kecil Terengganu dan Daeng Tumik, Daeng Kemboja telah melarikan diri ke Rembau sekitar bulan Julai tahun 1756. Daeng Kemboja bersama dengan Raja Haji telah menemui dan membuat persetiaan dengan Raja Adil. Kemudian, mereka berjumpa Datuk Lulinsuh di balainya di Chengkau. Dalam pertemuan itu, Lembaga Tiang Balai turut hadir. Mereka berunding tentang Belanda di Melaka dan berjanji akan berbaik-baik antara satu sama lain. Daeng Kemboja telah menyatakan hasratnya untuk menyerang Belanda di Melaka dan memohon bantuan orang Rembau untuk mencapai cita-citanya itu. Datuk Lulinsuh dan Lembaga Tiang Balai terpaksa bersetuju untuk memenuhi permintaannya itu. Hal ini disebabkan kekuatan tentera Bugis sangat kuat berbanding dengan tentera Rembau.
Bugis telah berada di Rembau sehingga bulan Oktober 1756 iaitu lebih kurang tiga bulan. Dalam tempoh itu, Daeng Kemboja telah memilih dan menyediakan orang untuk bersamanya menyerang Melaka. Setelah bersiap, Daeng Kemboja serta orang Bugis diiringi dengan tentera Rembau yang dipimpin oleh Raja Adil bertolak ke Melaka. Apabila sampai di Melaka, mereka telah menyerang dan membakar serta menawan kawasan subbandar Tranquera. Mereka kemudiannya mendirikan kubu di Klebang. Terdapat dua kubu yang dibina iaitu satu kubu yang besar adalah untuk Daeng Kemboja dan orang Bugis dan berhampirannya dibina kubu yang lebih kecil untuk Raja Adil dan orang Rembau. Dengan menggunakan kubu-kubu tersebut sebagai pusat operasi, mereka telah berjaya menawan Peringgit, Bukit China, Semabok dan Teluk Ketapang. Ketika peperangan ini meletus, Tengku Raja Said dengan orang Selangor telah datang memberikan bantuan kepada pihak Bugis-Rembau. Mereka juga mendirikan sebuah kubu berhampiran dengan kubu-kubu yang sedia ada.
Peperangan ini berlarutan lebih kurang sembilan bulan dan semasa peperangan ini berlaku mengikut Hikayat Negeri Johor (1932:14), Daeng Kemboja dikatakan terpaksa balik ke Rembau kerana anaknya, Raja Linggi telah meninggal dunia. Peperangan ini berakhir dengan kekalahan pada pihak Daeng Kemboja. Mereka telah berundur ke Linggi dan untuk beberapa waktu Linggi dikepung oleh Belanda (Cave, 1989: 58). Daeng Kemboja tidak mempunyai pilihan melainkan berundur ke Rembau Hilir. Pada akhir bulan November, Daeng Kemboja dengan ahli keluarganya, termasuk Raja Haji yang sedang berubat kesan-kesan luka perang yang diperolehi semasa perang telah berpindah ke tempat kediaman baharu iaitu di Pedas (Hikayat Negeri Johor, 1932:15). Sempena perasmian tempat baharu ini, Daeng Kemboja telah mengadakan majlis khatan anak lelakinya, Raja Endut. Kehadiran putera Bugis di Rembau Hilir dan kemudian di Pedas telah meletakkan Datuk Lulinsih dan Lembaga-lembaga Rembau dalam keadaan serba salah. Pedas menjadi kawasan Bugis kerana ia sering didatangi oleh pembesar Bugis dari Selangor termasuk Tengku Raja Selangor.
Sultan Sulaiman yang ingin memmbebaskan dirinya daripada pengaruh kuasa Bugis telah menggunakan permusuhan Bugis-Belanda untuk berbuat demikian. Menyedari akan kelemahannya sendiri tanpa kekuatan Bugis dan takutkan tindak balas putera Bugis terhadapnya jika melakukan penentangan secara terbuka, Sultan Sulaiman harus mendapatkan kuasa sandaran lain yang ketika itu adalah Belanda. Peluang ini mula terbuka apabila dalam bulan Mei 1757, wakil Gabenor Melaka telah sampai ke Riau untuk menjemput Sultan Sulaiman ke Melaka merundingkan hal perang Belanda dengan Daeng Kemboja. Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, mungkin salah satu daripadanya perang Bugis-Belanda belum berakhir, pemuktamadan perjanjian persahabatan Johor-Belanda yang dipersetujui dalam pertemuan terpaksa ditangguhkan.
Dalam bulan Julai 1757, perang Bugis-Belanda telah berakhir dengan kekalahan pihak Bugis dan Rembau. Linggi dikepung dan Kuala Penajih disekat oleh Belanda. Tindakan ini telah memberi kesan negatif ke atas perdagangan dan ekonomi Rembau dan Linggi. Rembau dan Linggi tiada pilihan selain daripada berdamai dengan pihak Belanda. Datuk Lulisuh dengan Raja Adil bersama dengan Raja Tua, Penghulu Kelang dan seorang pembesar Kelang bergelar telah berangkat ke Melaka. Pada 29 September 1757, mereka telah bertemu dengan Gabenor Melaka, Jacob Morsel. Pokok perbincangan mereka adalah berkaitan perhubungan antara Rembau, Linggi, dan Kelang dengan pihak Belanda serta Johor. Pihak Belanda cuba memujuk para pembesar itu supaya membuat satu perjanjian persahabatan dengan Belanda. Bagaimanpun mereka tidak dapat dan tidak mahu menerima saranan tersebut kerana Linggi tidak mempunyai wakil. Selepas berunding dan bersetuju bahawa suatu perjanjian harus diadakan, mereka telah menangguhkan permuktamadannya sehingga mendapat persetujuan Daeng Kemboja, pemerintah Linggi.
Semasa berada di Melaka, Datuk Lulinsuh bertemu dengan seorang wanita Portugis dan beliau telah berkahwin dengan gadis tersebut sebelum balik ke Rembau. Mengikut Wilkinson (1911: 3, nota kaki 2) wanita itu adalah ibu kepada Penghulu Rembau yang ke-11 ( Datuk Kosir, 1795- 1812) dan adalah nenek moyang atau pengasas kepada waris Tebat. Pada awal Disember 1757, Sultan Sulaiman berserta dengan Sultan Mansur Terengganu telah sampai ke Melaka. Pada 12 Disember suatu perjanjian antara Johor dan Belanda ditandatangani. Perjanjian itu ditandatangani oleh Sultan Sulaiman dan Temenggung Abdul Majid. Ikut serta adalah Sultan Mansur, Sultan Terengganu. Melalui perjanjian ini Rembau dan Linggi telah diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur Belanda. Sultan Sulaiman sanggup menyerahkan kedua-dua tempat ini kepada Belanda kerana baginda sedar bahawa pengaruhnya ke atas tempat-tempat tersebut mulai pudar. Linggi sudah lama ‘hilang’ ke tangan Bugis manakala Rembau pula untuk lebih kurang 20 tahun telah terlepas ke tangan putera Minangkabau dan semenjak perang Bugis-Belanda (1756-57) beransur-ansur tenggelam terutama sekali sejak Daeng Kemboja dan keluarganya berpindah, mula-mula ke Rembau Hilir dan kemudian ke Pedas di Rembau Darat.
Perjanjian ini, dari aspek persejarahan Rembau adalah penting kerana dapat memberi penjelasan, walaupun tidak secara langsung tentang beberapa aspek kabur dalam perkembangan politik Rembau.
BUGIS DI JOHOR
PENGENALAN
Anak-anak Bugis telah tiba di Johor pada 1721. Anak-anak Bugis yang telah datang ke Johor pada ketika itu merupakan putera kepada Upu Tanderi Burung dan Lamdu Salat, Raja Luwok. Anak-anak Bugis yang datang ini terdiri daripada Daeng Perani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Kemasi dan Daeng Menambun. Pada awalnya, kedatangan Bugis ke Johor adalah atas jemputan Raja Kecil yang ingin meminta bantuan mereka bagi melanggar Johor yang pada ketika itu dikuasai oleh Sultan Abdul Jalil IV. Walaubagaimanapun, permintaan itu didalihkan oleh pihak Bugis. Namun, apabila anak-anak Bugis ini kembali ke Johor setelah mendengar Johor telah diserang oleh Raja Kecil bersama-sama orang Minangkabau mereka mendapati negeri itu telah jatuh ke tangan Raja Kecil.
Ekoran itu, Sultan Abdul Jalil IV bersama puteranya, Raja Sulaiman berdukacita atas kekalahan mereka mempertahankan negeri Johor. Justeru, bagi mendapatkan semula kerajaan Sultan Abdul Jalil IV yang telah dirampas oleh Raja Kecil, maka Sultan Sulaiman terpaksa meminta bantuan daripada anak-anak Bugis. Sebuah perjanjian telah dibuat antara Raja Sulaiman dengan anak-anak Bugis iaitu, sekiranya anak-anak Bugis berjaya menghalau Raja Kecil dari negeri Johor, maka salah seorang daripada lima anak Bugis bersaudara itu akan dilantik menjadi Yang Dipertuan Muda Johor-Riau dan Lingga secara turun temurun. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Bugis mula meresap masuk ke dalam pentadbiran dan politik negeri Johor.
Setelah perjanjian antara Sultan Sulaiman dan anak-anak Bugis lima bersaudara itu termeterai, maka berlakulah pelbagai perang yang melibatkan anak-anak Bugis dengan Raja Kecil. Perang yang pertama telah berlaku apabila Sultan Sulaiman dan Dato Bendahara mengutuskan surat kepada anak-anak Bugis untuk membantu baginda menakluki semula kawasan Riau yang telah dirampas oleh Raja Kecil. Dalam perang ini menyaksikan Raja Kecil telah tewas selepas berperang selama sehari semalam. Kesan daripada perang ini, kawasan Riau telah dikuasai oleh Sultan Sulaiman dan ditadbir oleh Bugis.
Selepas kekalahan demi kekalahan diterima oleh Raja Kecil, maka Riau telah jatuh ke tangan Bugis dan ditadbir oleh Sultan Sulaiman. Namun demikian, semasa anak-anak Bugis ingin melantik Sultan Sulaiman sebagai Sultan Johor majlis tersebut tergendala kerana takhta kerajaan Johor telah dirampas oleh Raja Kecil. Anak-anak Bugis telah ke Siak untuk mengambil semula alat takhta tersebut tetapi tidak dilayan oleh Raja Kecil. Akibatnya, anak-anak Bugis berasa marah dan menyerang Raja Kecil. Akhirnya, Raja Kecil terpaksa akur dengan memberi alat kebesaran kerana kalah dalam peperangan tersebut.
Pada tahun 1722 Masihi, anak-anak Bugis telah melantik Sultan Sulaiman menjadi Sultan Johor menggantikan Sultan Abdul Jalil IV yang telah mangkat pada 1133 akibat diparang oleh panglima perang Raja Kecil. Baginda telah menggunakan gelaran sebagai Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Setelah Sultan Sulaiman menaiki takhta, Baginda telah menunaikan janji yang telah termeterai dengan anak-anak Bugis sebelum ini. Baginda telah meminta salah seorang daripada anak-anak Bugis untuk menjadi Yang dipertuan Muda untuk memerintah Johor, Pahang, Riau dan Lingga. Akhirnya, Daeng Marewah (Upu Kelana Jaya Putera) telah dilantik memegang jawatan Yang Dipertuan Muda dengan gelaran Yamtuan Muda Riau I. Dengan perlantikan Daeng Marewah ini sebagai Yamtuan Muda Riau I telah menunjukan permulaan era bangsa Bugis memasuki pemerintahan dan politik di Johor.
DAENG MAREWAH (1722-1728)
Oleh: Noor Zarina bte Hamzah A127490
Daeng Marewah turut di kenali sebagai Kelana Jaya Putera. Beliau menjadi Yang Di Pertuan Muda I yang memerintah Riau, Johor dan Pahang. Namun begitu, beliau lebih senang dengan nama panggilan yang mudah di kenali iaitu Yamtuan Muda Riau I Daeng Marewah. Nama gelarannya pula ialah Sultan Alaudin Shah. Daeng Marewah merupakan anak opu Tendribura Daeng Rilaga iaitu saudara yang tengah antara 5 orang adik beradik. Beliau turut dijadikan sebagai tunggak permulaan sumpah setia Melayu dengan Bugis.
Beliau berkahwin dengan Tun Cik Ayu anak Temenggung Abdul Jamal di Johor. Isteri beliau merupakan janda Marhum Mangkat Di Julang ketika beliau masihb kecil. Hasil perklahwinan tersebut, beliau telah di kurniakan cahaya mata seramai 3 orang iaitu La Nampak Unuk (Kelana Cik Unuk), Raja Sa’id dan yang bongsu Raja Fatimah yang berkahwin dengan anak Daeng Kemboja, iaitu Daeng Parani.
Sistem politik yang dilaksanakan tidak kelihatan dengan jelas. Hal ini kerana kedudukan politik Johor secara umumnya belum memperlihatkan kestabilan politik. Semasa pentadbiran Yamtuan Muda Riau I, terdapat tiga perang utama yang berlaku. Perang yang pertama berlaku di Kedah apabila Bugis diminta untuk membantu Raja Kedah yang tua untuk merampas semula kerajaan tersebut yang diambil oleh adinda Baginda. Dalam perang tersebut, adinda Raja Kedah telah tewas dan terpaksa berundur dari kerajaan tersebut. Walaubagaimanapun, perang tersebut tidak berhenti setakat itu apabila adinda Raja Kedah telah meminta pertolongan Raja Kecil untuk menyerang semula Raja Kedah. Daeng Perani yang mengetuai perang tersebut telah meminta agar kedua-dua belah pihak untuk berdamai tetapi ditolak oleh Raja Kecil. Akibatnya, perang tersebut berlarutan selama dua tahun dan mengakibatkan Daeng Perani terbunuh terkena peluru meriam di bahagian dadanya pada tahun 1723. Setelah itu, Daeng Marewah merupakan orang yang bertanggungjawab memimpin askar-askar Bugis untuk meneruskan peperangan melawan Raja Kecil dengan sedaya upaya yang berlaku di Kedah.
Tidak cukup dengan itu, peperangan juga berlaku antara Riau dengan Raja Kecil bermula 1137 Tahun Hijrah. Namun, peperangan itu hanya merugikan Raja Kecil kerana kekalahan dan terpaksa berundur ke Siak. Sejak pengunduran Raja Kecil itu, Riau mula aman daripada sebarang serangan terutama serangan pihak Raja Kecil. Sultan Sulaiman serta Yamtuan Muda Riau I, Daeng Marewah dan adindanya, Daeng Chelak bermuafakat untuk memperbaiki pentadbiran dan politik Johor serta pemerintahan negeri dan jajahan takluk yang terumbang-ambing semenjak Sultan Abdul jalil IV memerintah dan merampas semula Johor daripada Raja Kecil.
Daeng Marewah mempunyai cara pelaksananaan pentadbiran tersendiri yang dianggap sistematik bagi beliau. Beliau telah mengekalkan hubungan dengan pihak Istana Bone dengan kumpulan orang Bugis yang lain di seluruh tempat dan pulau yang berlainan. Bagi Yamtuan Muda Riau I, hal ini penting bagi memperjuangkan untuk mendapatkan keunggulan dalam kerajaan Johor. Hal ini berlaku setelah Daeng Marewah tiba di Bengkalis pada 16 September 1725 dengan 400 buah kapal disebabkan peperangan semula menggantikan 100 orang Bugis sama ada yang cedera dan mati pada perang sebelumnya. Pada perang tersebut terdapat ramai yang tercedera akibat ribut kencang yang telah menghalang mereka untuk mendarat. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan tempat tersebut. Walaupun angkatan Bugis cukup kuat dengan mempunyai sistem kubu yang mantap dan sistematik untuk menghalang orang Minangkabau menguasai Riau, namun orang Bugis tidak cukup bertenaga untuk memusnahkan kesemuanya. Yamtuan Muda Riau I berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah besar mahupun masalah remeh temeh. Sebagai contoh, Beliau telah mengirim sepucuk surat kepada Daeng Matara iaitu Kapten Orang Makasar di Betawi pada 1725. Hal ini disebabkan daya usaha untuk mencari harapan mendapatkan bantuan ketenteraan secara aktif di luar tetapi malangnya tiada laporan dari hasil pengiriman surat tersebut.
Di samping itu, Daeng Marewah turut berusaha mengukuhkan kedudukan orang Bugis
dalam politik. Daeng Marewah telah berfikir panjang setelah yakin bahawa Sultan Sulaiman dan orang Bugis merasa terjamin dengan keselamatan Riau. Hal ini disebabkan pasukan Bugis yang telah bersiap sedia dengan sistem perkubuan yang di lengkapi dengan parit-parit di sekelilingnya dan senjata yang lebih baik dan bermutu tinggi. Antara tujuan Daeng Marewah menjalankan politik bugisnya ialah untuk menjadikan dan memantapkan orang Bugis sebagai kelompok penting dalam sistem pentadbiran Johor. Daeng Marewah telah memutuskan dengan bertindak menyelaraskan untuk kepentingan diri dan pengikutnya di samping kepentingan kerajaan negeri Johor. Demi melaksanakan penyelarasan tersebut, Beliau telah menyerahkan kawasan Bugis yang lain kepada To Passarai, iaitu yang telah menjadi pemimpin orang Bugis di Linggi kepada Daeng Matekko iaitu seorang putera raja dari Wao yang telah memerintah Selangor. Selain itu, Daeng Marewah turut bertindak menghalang orang Bugis dari berpindah ke Tanjung Keling, Melaka serta memujuk mereka daripada meninggalkan ladang dan kebun yang sudah di usahakan dengan tanaman pertanian.
Pada 4 Oktober 1722, satu persetiaan dengan bersumpah bersaksikan Al- Quran telah diadakan antara pihak orang Bugis di Riau yang diketuai Yamtuan Muda Daeng Marewah dengan pihak orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Sulaiman. Persetiaan tersebut dilakukan untuk mengakui bahawa kedua-dua belah pihak adalah bersaudara dan akan bantu membantu antara satu sama lain dan syarat-syarat dalam persetiaan tersebut telah dipersetujui dan diperakui oleh kedua-dua belah pihak. Persetiaan tersebut di kenali sebagai Persetiaan Marhum Sungai Baru.
Pada tahun 1728, Daeng Marewah telah berangkat ke Selangor dan membawa pasukan Bugisnya bagi membantu Raja Inu menentang Raja Muda Perak yang bersemanyan di Geronggong. Namun begitu serangan orang Bugis tidak dapat mematahkan serangan Sultan Perak dan akhirnya Yamtuan Muda Daeng Marewah telah berundur ke Riau.
Semasa Daeng Marewah menjalankan tugas melawat daerah takluk jajahan Johor Riau di sebelah Pantai Timur Sumatera, tiba-tiba Daeng Marewah telah mangkat dalam pelayaran. Jenazah beliau dibawa pulang ke Riau dan dimakamkan di Sungai Baru lalu disebut sebagai ‘Marhum Sungai Baru’ pada 7 Ogos 1728.
DAENG CHELAK (1728-1745)
Oleh: Noor Zarina bte Hamzah A127490
Daeng Chelak lebih mudah di kenali sebagai Daeng Pali di kawasan sebelah Johor dan Riau. Daeng Pali telah berkahwin dengan anak Sultan Abdul Jalil Raja Melayu (Johor) iaitu Tengku Mandak. Setelah Yang Di-Pertuan Muda Daeng Chelak menjadi Raja Muda, Tengku Mandak diberi gelaran Tengku Puan. Hasil perkahwinan tersebut, Daeng Chelak telah dikurniakan cahaya mata seramai 2 orang anak iaitu Tengku Putih dan Tengku Hitam. Tengku Putih telah berkahwin dengan Marhum Abdul Jalil Raja di Baruh, Putera Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Al-Marhum. Mereka telah dikurniakan 2 orang putera yang di namakan Tengku Ahmad dan Tengku Mahmud. Selain itu, Daeng Chelak juga berkahwin dengan seorang lagi perempuan yang tidak diketahui namanya dan melahirkan dua orang putera iaitu Raja Lumu dan Raja Haji. Sebagai maklumat, Raja Lumu merupakan Sultan pertama Selangor yang memakai gelaran Sultan Salehuddin.
Pada tahun 1729, Daeng Chelak telah membawa pasukan Bugis menyerang dan mengalahkan seorang Bugis yang bernama Daeng Matkah yang telah membuat kacau di Selangor. Setelah diserang oleh Daeng Chelak, Daeng Matkah telah lari ke Siak dan menyebelahi Raja Kecil. Raja Kechil pula dengan segera telah membawa Daeng Matkah meminta maaf dengan Daeng Chelak.
Semasa pentadbiran Yamtuan Muda Riau II, Raja Kecil sekali lagi telah berusaha untuk menawan semula kerajaan Johor. Namun, serangan beliau nampaknya gagal. Akibat usia yang tua, kepimpinan Siak kemudiannya diganti pula oleh anak Raja Kecil, Raja Alam. Serupa dengan ayahanda Baginda, Raja Alam turut membuat serangan terhadap Johor pada 1150 tahun hijrah tetapi ternyata sia-sia. Pada tahun 1745, Raja Kecil telah mangkat dan pemerintahan Baginda telah diteruskan oleh Raja Buang yang menggunakan gelaran Sultan Muhammad. Semasa pemerintahan Sultan Muhammad, peperangan antara Riau dan Siak tidak lagi berlaku dan keadaan ini menjadikan pemerintahan Sultan Sulaiman dapat dilaksanakan sebaiknya. Baginda bersemayam di Riau dan politik pada ketika itu dilaksanakan oleh anak-anak Bugis. Kesannya, semakin hari, penduduk Riau semakin bertambah dan makmur sentosa.
Ketika pentadbiran Yamtuan Muda Riau II ini juga, pentadbiran kerajaan Johor dilihat kemas kerana tidak lagi berlaku peperangan seperti yang terjadi semasa zaman Raja Kecil memerintah Siak. Riau telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang dikunjungi oleh pedagang luar. Antara pedagang yang terlibat di kawasan Riau ialah pedagang dari China, Jawa, Benggala dan Siam. Manakala, barang dagangan yang popular dibawa oleh pedagang pada ketika itu ialah candu, beras, kain dan lain-lain. Daripada aktiviti perdagangan tersebut, Sultan Sulaiman dan Yamtuan Muda Riau II menerima hasil yang banyak daripada cukai-cukai keluar masuk yang dikenakan. Hasil-hasil yang diperoleh ini telah digunakan oleh Sultan Sulaiman dan Yamtuan Muda Riau II melengkapkan kelengkapan untuk mengawal negeri dan kerajaannya.
Tidak cukup dengan itu, pentadbiran Yamtuan Muda Riau II juga dapat dilihat daripada sumbangan beliau memperkenalkan tanaman baru dalam kerajaan Johor. Tanaman yang diperkenalkan oleh beliau ialah tanaman gambir dan kuli-kulinya diambil masuk daripada Negara China. Yamtuan Muda Riau turut memajukan dan memakmurkan Riau melalui perniagaan. Peniaga dan pedagang datang dari Benggala, Tanah Jawa, Siam, China dan dari Tanah Bugis (Sulawesi). Pada masa itu ladang-ladang gambir telah di teroka. Ladang tersebut di buka oleh seorang bugis yang bernama Penggawa Tarum dan seorang Melayu yang namanya Kepala Chedun atas dorongan Yamtuan Muda. Benih gambir dibawa dari Sumatera. Setelah Yamtuan Muda Riau II memakmurkan Riau, beliau memajmukkan pelbagai kaum. Orang alim agama digalakkkan mengajar agama Islam di masjid dan surau-surau. Orang China pula digalakkan datang ke Riau dan bekerja di ladang orang Melayu dan Bugis.
Apa yang menarik tentang pentadbiran Politik Daeng Chelak ialah kerajaan berkekalan menjadi Raja Muda sehingga anak cucu dan berterusan. Sebagai contoh anak Daeng Chelak, Tengku Putih telah berkahwin dengan Marhum Abdul Jalil Raja di Baruh, putera Marhum Sultan Sulaimann Badrul Alam Syah Al Marhum dan dikurniakan cahaya mata iaitu Tengku Ahmad dan Tengku Mahmud. Namun begitu Tengku Ahmad telah mangkat sewaktu masih kecil setelah dilantik menjadi raja oleh Daeng Kemboja. Selepas itu Tengku Mahmud mengantikan abangnya dan bergelar sultan Mahmud Syah Al- Marhum. Setelah Tengku Mahmud mangkat. puteranya telah menggantikan takhtanya iaitu Tengku Husin menjadi sultan di Singapura. manakala Tengku Jumaat menjadi Sultan Abdul Rahman Marhum Bukit Cengkih.
Daeng Chelak bertanggungjawab membawa angkatan Perang ke Mempawoh (di Kalimantan ) kerana menolong abangnya Daeng Menambun yang telah menjadi raja dan berperang melawan seorang Raja di hulu Mempawoh. Pada 1735, Raja Kechil telah menyerang Daeng Chelak yang telah berkubu di Pulau Penyengat. Oleh sebab kelengkapan perang dan kubu pertahanan di Riau telah diperkukuhkan maka Raja Kechil telah kalah dan berundur ke Siak dengan perasaan malu. Pada 1737, Daeng Chelak telah memimpin angkatan perang Riau melawan serangan Raja Alam Yamtuan Muda Siak. Beliau telah di bantu Daeng Matekko serta Raja Mas. Dengan membawa angkatan tentera Siak sebanyak 62 buah perahu yang mahu menyerang Riau. Selain itu turut membantu Daeng Chelak ialah Daeng Kemboja iaitu anak Daeng Perani, Kelana Che’ Unok dan Raja Said Putera Daeng Marewah. Akhirnya Daeng Chelak menang dan Raja Alam Daeng Matteko dan Raja Mas undur balik ke Siak.
Pada tahun 1742, Yamtuan Muda Daeng Chelak datang ke Selangor dan membawa orang- orang Bugis untuk menyerang Perak semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah iaitu Sultan Perak ke-13. Raja Abdul Jalil turut di gelar Raja Di Baroh, Putera Sultan Sulaiman yang dipercayai turut serta dalam pasukan orang-orang Bugis yang datang menyerang Perak. Serangan orang bugis ternyata menyebelahi Yang Dipertuan Muda (Raja Perak). Raja Bisnu yang bersemanyan di pulau Tiga yang berselisih dengan abangnya Sultan Muzaffar Shah.
Pada tahun 1745 setelah 7 tahun menjadi Yamtuan Muda Riau, pada 15 mei 1745, Daeng Chelak telah mangkat di Riau dan di gelar Marhum mangkat di Kota. Beliau meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Lumu di Selangor, Raja Haji di Riau, dan 3 orang puteri iaitu Tengku Puteh, Tengku hitam, Raja Aminah dan Raja Halimah. Namun ahli sejarah Bugis menaruh syak bahawa kemangkatan Daeng Chelak disebabkan terkena racun hasil rancangan Tun Dalam kerana melihat telatah Tun Dalam yang tidak menggemari orang Bugis memegang kuasa berlebihan di Riau tetapi bukti tidak di perolehi uantuk mengesahkannya. Semenjak ituTun Dalam menjadi ketua bagi orang-orang Melayu dalam mengurangkan kuasa Bugis di Riau. Tambahan pula, Bendahara Pahang dan Terengganu telah menyebelahi Tun Dalam. Selepas itu, Tun Dalam lebih kerap tinggal di Riau berbanding tinggal di Terengganu keran sibuk dalam urusan pergolakan politik dalam raja-raja Bugis manakala pemerintahan di Terengganu di ambil alih oleh orang-orang besar di bawah pimpinan Bendahara Tun Hussain.
DAENG KEMBOJA (1745 -1777)
Oleh: Nurul Huda bte Sarudin A127644
Selepas kemangkatan Yamtuan Muda Riau II (Daeng Chelak), jawatan Yamtuan Muda Riau sepatutnya diwarisi oleh Raja Haji. Namun, pada waktu tersebut Raja Haji belum cukup usia untuk memegang jawatan tersebut. Oleh hal demikian, Daeng Kemboja telah dilantik untuk menjadi Yamtuan Muda Riau III. Daeng Kemboja merupakan anak kepada Daeng Perani yang telah meninggal dunia semasa perang di Kedah. Sikap terpuji yang dapat diambil daripada karakter Daeng Kemboja ialah merendah diri. Semasa dimaklumkan bahawa beliau akan dilantik untuk menjadi Yamtuan Muda Riau III, beliau tidak terburu-buru mengambil jawatan tersebut tetapi terlebih dahulu bermesyuarat dengan saudara-saudaranya di Selangor. Jawatan Yamtuan Muda Riau III tersebut hanya disandang oleh Daeng Marewah selepas hampir 3 tahun kemangkatan Daeng Chelak iaitu pada 11 Mac 1748. Beliau telah ditabalkan di Selangor.
Semasa pemerintahan Yamtuan Muda Riau III, kemakmuran dan kesejahteraan Riau agak terganggu akibat tercetus perbalahan antara anak-anak Bugis dengan anak-anak Melayu. Daeng Kemboja telah beriktiar untuk memulihkan keadaan orang Melayu dengan bugis. Usaha tersebut itu ialah dengan mengahwinkan Raja Abdul Jalil dengan Tengku Puteh dan Raja Khdijah dengan Raja Alam. Namun usaha tersebut tidak berjaya. Akibat daripada perbalahan tersebut, pada tahun 1753 Daeng Kemboja terpaksa berundur ke Linggi dan memerintah Riau dari Linggi. Semasa ketiadaan Daeng Kemboja, Sultan Sulaiman telah membuat perjanjian dengan Belanda. Dalam perjanjian tersebut, Belanda sanggup memulangkan semula jajahan-jajahan Sultan Sulaiman yang telah hilang dengan syarat Belanda akan memborong bijih timah yang terdapat di Linggi, Klang dan Selangor. Belanda juga menetatapkan bahawa hanya kapal-kapal Belanda yang bebas berdagang tanpa membayar cukai tol dalam keseluruhan perairan kerajaan Johor-Riau.
Perbuatan Sultan Sulaiman ini telah menaikkan kemarahan Daeng Kemboja dan pembesar-pembesar Bugis. Kesannya, Daeng Kemboja, Raja Tua Kelang dan Raja Salahuddin telah membakar rumah-rumah di Melaka pada bulan April 1756. Sebagai tindak balas, Belanda telah meminta bantuan daripada orang Terengganu yang diketuai oleh Sultan Mansur Shah( Tun Dalam) untuk menyerang Linggi dan orang-orang Bugis yang menetap di kawasan tersebut dihalau. Namun, peperangan ini tidak berhenti setakat itu. Pada bulan Oktober 1756, Daeng Kemboja dan orang-orang Bugis serta orang Rembau telah sepakat menyerang Melaka yang berada di bawah pimpinan Belanda. Seterusnya, Daeng Kemboja telah membuat perundingan dengan pihak Belanda pada 1 Januari 1759 dan membuat perjanjian di Linggi.
Menurut Tuhfat Al-Nahfis, perbalahan yang berlaku di antara anak-anak Bugis dan anak-anak Melayu adalah disebabkan rasa tidak puas hati Sultan Terengganu, Sultan Mansor Shah terhadap anak-anak Bugis yang diberikan jawatan Yamtuan Muda dan melebihi kuasa mereka. Akibat itu, Daeng Kemboja terpaksa keluar daripada Riau dan mentadbir negeri tersebut daripada Linggi. Sementara itu, Sultan Sulaiman bersama anak Baginda yang bernama Raja Abdul Jalil yang berada di Riau telah memutuskan dengan menetapkan jawatan Yamtuan Muda Riau daripada keturunan Bugis. Akibat rasa tidak puas hati, Sultan Mansor Shah bekerjasama dengan Belanda untuk menumbangkan kuasa Bugis di Linggi. Dalam peperangan yang berlaku pihak anak-anak Bugis telah tewas lalu berundur ke Rembau.
Sebenarnya, perbuatan Sultan Mansor Shah telah mendatangkan kesan negatif kepada kerajaan Riau. Sultan Sulaiman diminta untuk membayar ganti rugi kepada Belanda kerana terlibat dalam peperangan di Linggi. Hal ini memperlihatkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Riau. Akibat daripada pembayaran ganti rugi yang terlalu tinggi, ekonomi Riau terumbang-ambing dan rakyat hidup menderita sehingga sesetengah rakyat terpaksa makan ubi, keladi dan umbut. Ekoran peristiwa tersebut, Sultan meminta Daeng Kemboja agar kembali ke Riau bagi menguruskan pentadbiran yang semakin kucar-kacir.
Semasa pemerintahan Daeng Kemboja, Daeng Kemboja dan Raja Haji telah berusaha membesarkan perniagaan di negeri Riau tersebut. Kesannya, pedagang-pedagang asing mula membanjiri Riau. Antara saudagar yang hadir adalah saudagar daripada Benggala, China dan Jawa yang tertumpu ke arah Riau. Namun, pentadbiran Daeng Kemboja tidak selancar yang dijangkakan kerana pihak orang Melayu telah menimbulkan fitnah dan sengketa sekali lagi dengan diketuai oleh Temenggung dan Bendahara. Temenggung dan Bendahara mengatakan bahawa anak-anak Bugis ingin membunuh dan membinasakan orang Melayu dan fitnah tersebut telah disebarkan kepada Yang Dipertuan Raja Ismail Siak, Bendahara Tun Hussain Pahang dan Sultan Mansor Shah Terengganu. Akibatnya, perang sekali lagi meletus dan menyaksikan kemenangan di pihak Bugis. Walaubagaimanapun, Daeng Kemboja berasa dukacita dengan Pembesar Melayu kerana sengaja menimbulkan perbalahan untuk menghalau anak-anak Bugis dari Riau.
Pentadbiran Daeng Kemboja diteruskan lagi dengan bersemayam di Riau. Daeng Kemboja dibantu oleh Raja Haji sebagai pembantu beliau dengan gelaran Tok Kelana Raja Haji. Akhirnya, Daeng Kemboja telah meninggal dunia pada tahun 1777.
RAJA HAJI (1777 – 1784)
Oleh: Nurul Huda bte Sarudin A127644
Setelah Daeng Kemboja mangkat pada tahun 1777, Raja Haji telah belayar ke Pahang untuk berjumpa Bendahara Abdul Majid untuk meminta Bendahara Pahang itu melantik beliau menjadi Yamtuan Muda Riau IV. Semasa pentadbiran Raja Haji sebgai Yamtuan Muda Riau IV, Riau terus menjadi tumpuan ramai pedagang asing yang berkunjung untuk menjalankan aktiviti perdagangan di situ. Negeri Riau pada ketika itu menjadi sebuah negeri yang makmur dan mengalami kemajuan. Hal ini sedikit sebanyak dibantu oleh kewibawaan Raja Haji yang merupakan anak Bugis yang terkenal dengan gagah perkasanya. Walaubagaimanapun hubungan antara anak bugis dan anak melayu masih tidak berjalan lancar.
Mengikut tulisan dalam Tuhfat Al-Nahfis, sekitar tahun 1782 sebuah kapal Inggeris telah ditahan di perairan Riau oleh Residen Belanda. Walaubagaimanapun Raja Haji tidak mendapat bahagian hasil daripada rampasan tersebut. Pihak Belanda hanya membahagikan hasil tersebut dengan nakhoda Perancis. Pihak Belanda telah menghantar pegawai untuk berunding dengan Raja Haji. Pihak Belanda masih tidak mahu untuk menyerahkan hak Raja Haji. Hal ini telah membangkitkan kemarahan Raja Haji dan akhirnya surat perjanjian antara pihak Bugis Dan Belanda telah dikembalikan kepada pihak Belanda. Selain itu, Raja Haji telah melebarkan kekuasaannya di bahagian selat dengan bantuan Sultan Selangor dan Rembau. Keadaan ini telah mencetuskan kemarahan Belanda dan membawa kepada berlakunya perang antara kedua-dua kerajaan.
Dalam perang tersebut, Sultan Ibrahim (anak kepada Raja Lumu yang menggantikan Sultan Salehuddin sebagai Sultan Selangor) membantu Raja Haji dengan menyerang Belanda di Kota Melaka. Belanda mengalami kekalahan dan terpaksa berundur ke Melaka semula. Pengunduran Belanda tidak menamatkan perang tersebut. Sultan Selangor mengajak Raja Haji menyerang Melaka dan menyaksikan Raja Haji menguasai Semabok dan hampir semua kawasan Melaka kecuali Kota Melaka. Namun, Belanda telah menyerang kubu Raja Haji di Teluk Ketapang dengan bantuan askar kulit hitam dan sekutunya Yamtuan Muda Ali Siak. Dalam serangan tersebut, Raja Haji telah terbunuh dan orang Bugis telah berundur daripada Melaka.
RAJA ALI (1784-1806)
Oleh: Nadia Sri Dayani bte Mohd Fauzan A127280
Selepas kemangkatan Raja Haji di Teluk Ketapang dalam perang dengan Belanda, Sultan Mahmud Shah III amat berduka cita. Justeru, untuk menggantikan Raja Haji Baginda telah melantik Raja Ali yang merupakan anak kepada Daeng Kemboja ( Yamtuan Muda Riau III) untuk menjadi Yamtuan Muda Riau V.
Raja Ali menghantar utusan ke Melaka untuk berdamai kerana bimbang apabila melihat dua buah kapal dihantar ke Riau oleh orang Belanda tetapi permintaan Raja Ali tidak dihiraukan oleh Belanda. Orang Belanda yang diketuai oleh Admiral Jacob Pieter Van Braam, telah menyerang Riau kerana beliau menyuruh Sultan Mahmud memutuskan perhubungan dengan Bugis. Baginda tidak berbuat demikian kerana baginda dikuasai dan dipengaruhi oleh Raja-raja Bugis yang ada di Riau.
Oleh sebab itu, Riau telah diserang oleh orang Belanda yang diketuai oleh Admiral Van Braam pada 30 oktober 1784. Kali ini pihak Belanda menyerang secara tiba-tiba dan telah mencetuskan salah faham antara anak-anak Bugis dan anak-anak Melayu. Perbalahan antara anak-anak Bugis dan anak-anak Melayu tidak dapat dibendung oleh Sultan Mahmud III menyebabkan Raja Ali terpaksa keluar daripada Riau ke Siantan. Semasa ketiadaan Raja Haji, Sultan Mahmud III dan pembesar Melayu telah sepakat membuat perjanjian dengan Belanda. Dalam perjanjian itu telah disertakan bahawa keluarga Bugis tidak dibenarkan memegang jawatan dalam politik dan orang-orang Bugis yang tidak dilahirkan di Riau dikehendaki keluar daripada Riau. Sejak perjanjian itu dibuat, Belanda telah dibenarkan untuk campur tangan dalam pentadbiran Riau sehingga seorang wakil Belanda diletakkan di Riau untuk memerintah di sana. Pada ketika itu, Belanda dilihat menjadi penaung dan penasihat Sultan untuk memerintah Johor-Riau, Pahang dan Lingga.
Pada Februari 1785, Raja Ali telah cuba meminta campur tangan Inggeris dengan mengirim surat kepada orang Inggeris di Benggala mengenai dia dihalau oleh orang Belanda dari Riau, namun permintaannya tidak dilayan. Raja Ali juga meminta kebenaran daripada penghulu di Rembau untuk menggunakan jalan melalui Rembau untuk menyerang Belanda di Melaka, namun permintaannya tidak dilayan oleh penghulu di Rembau.
Pada tahun 1786, orang Belanda dari Betawi telah datang dan mengalahkan Raja Ali di Sukadana, dari Sukadana Yamtuan Muda ini telah berpindah ke Matan, Pulau Tembelan dan akhirnya ke Pulau Siantan.
Pada awal tahun 1788, Yamtuan Muda Raja Ali dan Raja Sa’id serta pengiring mereka telah datang mengadap sultan Mahmud di Lingga . Raja Ali menceritakan pengalamannya kepada sultan bermula keluar daripada Riau sehingga ke Lingga, Raja Ali pergi menemui Sultan Ibrahim, iparnya di Selangor. Dengan ikhtiar Sultan Ibrahim, Belanda pun berbaik semula dengan Yamtuan Muda Raja Ali. Raja Ali pun pindah ke Langat (Selangor), kemudian pindah ke Muar dengan kebenaran Belanda.
Pada 17 oktober 1794, pihak berkuasa Belanda di Betawi telah bersetuju untuk berdamai dengan Sultan Mahmud dengan syarat, Raja Ali hendaklah dilucutkan taraf sebagai Yamtuan Muda dan menjadi ketua orang-orang besar (di Riau). Setelah Riau kembali kepada sultan Mahmud, baginda menerima meriam dan peluru dengan alasan Belanda adalah untuk melawan perompak-perompak laut, padahal Belanda ingin menjaga kekuasaan baginda daripada diserang oleh Raja Ali dan orang bugis.
Pada tahun 1795, Melaka telah diserahkan kepada pihak Inggeris dan menyebabkan kuasa Belanda di Selat Melaka termasuk Riau beransur luput. Kekuasaan Belanda di Riau telah dipulangkan semula kepada Sultan Mahmud Shah III. Sejak penyerahan semula Riau kepada Sultan Mahmud Shah III, Kerajaan Johor semakin hari semakin meluaskan jajahan taklukannya. Pada ketika itu, tugas Raja Ali memerintah Riau telah diberikan kepada Engku Muda Muhammad. Sultan Ibrahim (Sultan Selangor) membuat rundingan dengan Sultan Mahmud Shah III agar anak-anak Bugis dan anak-anak Melayu didamaikan serta jawatan Yamtuan Muda Riau dikembalikan kepada Raja Ali. Tidak lama selepas itu, Raja Ali yang bersemayam di Muar telah kembali ke Riau dan menuntut jawatan Yamtuan Muda Riau V daripada Engku Muda Muhammad dan berlakulah peperangan antara kedua-dua belah pihak. Perang tersebut menyaksikan kemenangan Raja Ali dan beliau mendapatkan semula jawatannya.
Pada tahun 1802, Bendahara Abdul Majib Pahang telah memujuk Raja Ali dan Engku Muda Muhammad supaya datang ke Lingga dan berjumpa dengan Sultan Mahmud, mereka kemudian didamaikan oleh Sultan Mahmud.
Semasa zaman pentadbiran semula Raja Ali, penetapan kuasa antara Sultan dan Yamtuan Muda telah dilakukakan pada 2 Zulkaedah 1218 H. pada tarikh tersebut, Sultan Mahmud Shah III telah menetapkan pemerintahan Riau di bawah Yamtuan Muda Riau sementara Baginda berkuasa di Lingga. Hasil daripada penyusunan sistem politik itu, ramai peniaga daripada Jawa, China dan Siam berkunjung ke negeri Johor untuk menjalankan aktiviti perniagaan. Raja Ali telah bersemayam di Pulau Bagan dan menuntut ilmu ibadat dengan Sheikh Abdul Ghafur. Kemajuan telah dikecapi semasa pentadbiran Raja Ali daripada aspek ekonomi apabila berpuluh-puluh kati pinang kotai telah di bawa ke luar negeri seperti India dan Benggala. Selain itu, terdapat juga hasil hutan seperti gading, kemenyan dan rotan selain buah-buahan seperti durian, manggis, duku dan limau manis.
Raja Ali telah mangkat pada 1806M di Pulau Bayan dan diganti oleh Raja Jaafar, anak Al-Marhum Raja Haji (Marhum Syahid Fi Sabilillah). Raja Ali digelar Marhum Pulau Bayan.
RAJA JAAFAR (1806-1831)
Oleh: Nadia Sri Dayani bte Mohd Fauzan A127280
Setelah Raja Ali mangkat, Sultan Mahmud Shah III atas persetujuan pembesar-pembesar Melayu telah sebulat suara melantik Raja Jaafar yang merupakan anak kepada Raja Haji sebagai Yamtuan Muda Riau yang seterusnya. Beliau telah digelar sebagai Yamtuan Muda Riau IV. Raja Jaafar telah dilantik menjadi Yamtuan Muda Riau pada tahun 1221 Hijrah dan mempunyai kuasa memerintah di kawasan Riau dan jajahannya. Raja Jaafar telah membuat tempat pemerintahannya di Kota Rentang, Pulau Penyengat, Riau.
Setelah Raja Jaafar menjadi Yamtuan Muda Riau IV, beliau telah membawa balik semula semua kaum kerabat Bugis yang telah dibawa keluar semasa pertelingkahan antara Raja Haji dan pembesar Melayu dahulu. Selepas itu, kekuatan Bugis di Riau dikukuhkan lagi dengan perkahwinan Raja Jaafar dengan Raja Lebar yang merupakan anak perempuan Almarhum Yamtuan Muda Raja Ali. Pemerintahan kerajaan Johor pada ketika ini meletakkan Sultan Mahmud Shah III berkuasa di Lingga sementara Yamtuan Muda Riau IV berkuasa di kawasan Riau.
Satu peristiwa yang menjadi cabaran politik semasa pemerintahan Raja Jaafar ialah ajaran sesat. Seorang lebai yang bernama Lebai Tamat telah mengaku dirinya sebagai Allah SWT dan melakukan huru-hara di Johor. Tidak cukup dengan itu, di Inderagiri pula Lebai Tamat telah mengaku dirinya sebagai Almarhum Raja Haji dan Yamtuan Muda Riau. Akhirnya, Lebai Tamat telah berjaya ditangkap dan dihukum penggal lehernya. Demikianlah pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang semasa pemerintahan Raja Jaafar.
Selain itu, semasa pentadbiran dan politik Johor di bawah pegangan Raja Jaafar, Sultan Mahmud Shah III telah mangkat dan meninggalkan dua orang putera. Putera sulung beliau bernama Tengku Hussin (Tengku Long) dan kedua bernama Tengku Abdul Rahman (Raja Jumaat @ Si Komeng). Menurut Tuhfat Al-Nafis, Sultan Mahmud Syah telah mewasiatkan Raja Jaafar agar pemerintahan negeri Johor diserahkan kepada puteranya yang kedua iaitu Tengku Abdul Rahman, sedangkan riwayat yang lain menyatakan yang Sultan Mahmud telah mewasiatkan Tengku Hussin sebagai pewarisnya bersesuaian mengikut adat dan peraturan Raja-Raja Melayu tradisi.
Peluang ketiadaan Tengku Hussin di Lingga kerana berada di Pahang bagi menjalankan arahan ayahandanya untuk berkahwin dengan adinda Bendahara Tun Ali telah diambil sepenuhnya oleh Yamtuan Muda Raja Jaafar untuk memaksa Tengku Abdul Rahman menjadi Sultan. Oleh kerana Yamtuan Muda Raja Jaafar ini seorang yang berpengaruh dan kuat, dan beliau telah menyiapkan orang-orangnya untuk berperang dengan sesiapa yang ingin menentang pelantikan Tengku Abdul Rahman, akhirnya pelantikan itu tidak mendapat bantahan.
Namun begitu, pelantikan Tengku Abdul Rahman tidak dapat dinobatkan kerana alat kebesaran berada di tangan Raja Hamidah iaitu bonda tiri Tengku Hussin dan Tengku Abdul Rahman, Raja Hamidah tidak merestui tindakan saudaranya Raja Jaafar kerana membelakangkan permuafakatan pembesar Melayu dan melanggar aturan kesultanan Johor.
Tengku Hussin mengetahui tentang kemangkatan ayahandanya namun baginda tidak mengetahui yang Tengku Abdul Rahman telah dilantik menjadi pewaris Sultan Johor. Setelah pulang ke Lingga dan mengetahui tentang pelantikan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor, Tengku Hussin telah membantah percaturan Yamtuan Muda Raja Jaafar melantik adindanya sebagai pewaris dan Tengku Hussin telah pergi mengadu nasibnya kepada Bendahara Ali di Pahang. Bendahara Tun Ali telah menyiapkan angkatan perang di Bulang untuk menyerang Lingga, tetapi kemudiannya Raja Jaafar telah mengadu dan membantah tindakan Tun Ali kepada Residen Inggeris di Melaka. Residen Inggeris telah menghantar wakil untuk memberi amaran keras kepada Tun Ali supaya tidak mencampuri urusan di Lingga. Tun Ali terpaksa memanggil balik angkatan tenteranya di Lingga.
Tindakan Yamtuan Muda Raja Jaafar menghalang Tun Ali untuk membetulkan adat sebenarnya telah mengikut percaturan Yamtuan Muda Daeng Kemboja yang sebelumnya pernah menghalang permuafakatan para pembesar Melayu untuk melantik Sultan Abdul Jalil menjadi Raja. Raja Jaafar telah melakukan kesilapan yang besar dengan membelakangkan permuafakatan pembesar Melayu dan menghalang perbuatan Tun Ali untuk membetulkan adat berkaitan perlantikan Raja Johor. Raja Jaafar juga membuka jalan kepada pihak British untuk campur tangan di Johor demi kepentingan politiknya.
Dalam usaha Raja Jaafar untuk melantik Tengku Abdul Rahman sebagai raja di Johor, beliau menghadapi pelbagai penentangan antaranya daripada Bendahara dan Raja Hamidah. Bendahara enggan mengiktiraf Tengku Abdul Rahman dan Raja Hamidah pula enggan menyerahkan alat kebesaran diraja yang diperlukan dalam majlis pertabalan seseorang Raja Melayu yang berada dalam simpanannya.
Pihak Belanda telah menawarkan untuk mengiktiraf perlantikan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor dengan syarat Raja Jaafar perlu membuat perjanjian persahabatan dengan pihak Belanda. Tanggal 26 november 1818M, satu perjanjian persahabatan telah ditandatangani antara Raja Jaafar dengan Admiral Wolterbeek dan pegawai-pegawainya bagi pihak pemerintah Belanda. Antara isi kandungan dalam perjanjian ini ada menyebut yang Raja Jaafar ingin meminggirkan terus Bendahara Tun Ali daripada sebarang perbincangan yang dibuat.
Akhirnya, Tengku Abdul Rahman telah menjadi Sultan Johor yang seterusnya. Semasa pemerintahan Tengku Abdul Rahman atau Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah, beliau telah memerintah Lingga. Pada ketika itu, perniagaan dan perdagangan amat pesat berlaku di Riau yang melibatkan peniaga dan pedagang dari Jawa, Bugis, Siam dan China. Hal ini membuktikan, semasa politik di bawah Raja Jaafar, perdagangan di Riau telah berkembang dan berjalan dengan pesat sekali sehingga dilihat oleh Tengku Husain.
Perjanjian perdagangan antara Temenggung Abdul Rahman, Tengku Hussin dan Sir Thomas Stamford Raffles, wakil pihak British telah dilakukan pada 6 Februari 1819M. Dalam perjanjian ini, British telah melantik Tengku Hussin sebagai sultan Johor dan Singapura. Pengisytiharan perlantikan baginda adalah seperti berikut:
“Bahawa ketahuilah oleh segala orang, maka Tuan Gabenor Jeneral yang di Benggala mengangkat Sultan akan Tengku Long, dan digelar dia Sultan Husin Shah ibnu Al-Marhum Sultan Mahmud Shah dalam negeri Singapura ini serta daerah takluk jajahannya”
Pada tahun 29 oktober 1830M, Yamtuan Muda Raja Jaafar telah membuat perjanjian dengan pihak Belanda dan perjanjian ini tidak dirujuk kepada mana-mana pembesar Melayu. Perjanjian ini dibuat atas dasar penguasaan menyeluruh terhadap Sultan Abdul Rahman dan menyebabkan Bendahara Tun Ali tidak dapat berbuat apa-apa. Kesannya penguasaan Raja Jaafar bukan sahaja semakin kuat bahkan suku pembesar Bugis terus menerus menghimpit dan mengawal Sultan Abdul Rahman.
Antara isi kandungan perjanjian persahabatan tersebut ialah, Yamtuan Muda menerima perjanjian Inggeris Belanda yang termeterai pada tahun 1824M, persetujuan pihak Yamtuan Muda kepada perubahan status perhubungan diantara kerajaan Belanda dengan kerajaan Sultan Riau-Lingga iaitu kerajaan Riau-Lingga diletakkan dibawah perlindungan kerajaan Belanda, Raja Jaafar mengambil kesempatan memperkukuhkan kedudukan dan status Yamtuan Muda Riau secara eksklusif sebagai pentadbir negeri Riau yang terutama dan seboleh-bolehnya hanya keturunan Raja Jaafar diangkat sebagai Yamtuan Muda Riau pada masa akan datang. Perjanjian ini dibuat secara sulit tanpa pengetahuan Bendahara Tun Ali dan Sultan Mahmud di Linggi.
Sebelum Inggeris menyerahkan kembali Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1815, pihak Inggeris telah berusaha untuk mencari tempat baru untuk dijadikan tanah jajahan mereka bagi menggantikan Melaka. Selain itu, Inggeris juga ingin menghapuskan kekuasaan dan perniagaan yang dipelopori oleh Belanda. Oleh itu, William Farquhar telah belayar ke Riau untuk bertemu Raja Jaafar tetapi tidak berjaya. Apabila Farquhar melihat akan kehadiran Belanda bersama kapal perang di Pontianak, Inggeris telah mengadakan cerita bahawa Belanda ingin menyerang Riau. Namun rekaan itu tidak mendapat tindak balas daripada Yamtuan Muda dan Sultan. Kebijaksanaan Raja Jaafar menyebabkan Raja Jaafar tidak terus menyerang Belanda sebaliknya menjemput Tengku Husain, Temenggung Abdul Rahman dan semua pembesar bagi membincangkan hal demikian. Akhirnya mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk bersiap sedia berperang sekiranya Belanda menyerang Riau terlebih dahulu. Ternyata tindakan Yamtuan Muda Riau Raja Jaafar itu tepat apabila cerita Farquhar itu bohong belaka setelah Andrian Koek yang merupakan sahabat Raja Jaafar memberitahu bahawa Belanda tidak mempunyai niat sedikit pun untuk menyerang Melaka.
Yamtuan Muda Raja Jaafar telah meninggal dunia pada 1831M di Lingga, sebelum sempat mencari pengganti Raja Jaafar, Sultan Abdul Rahman jatuh sakit dan mangkat di Lingga. Pada tahun 1833M, barulah Sultan Muhammad Syah di Lingga mengangkat Raja Abdul Rahman ibni Almarhum Yamtuan Muda Raja Jaafar sebagai Yamtuan Muda Riau VII.
Antara sifat keperibadian yang terdapat dalam diri Raja Jaafar semasa pemerintahan dan politik di bawah kekuasaan beliau ialah seorang yang penyayang terhadap sanak saudara dan kawan-kawan beliau. Beliau juga seorang yang sangat menghormati orang yang lebih tua daripada beliau selain selalu merendahkan diri dalam apa juga keadaan. Beliau turut dikenali sebagai Yamtuan Muda Riau yang alim dan peramah sehingga beliau mampu untuk menarik ramai pedagang asing untuk berniaga di Riau dan kerajaan Johor secara amnya. Sumbangan paling besar dan dapat dilihat daripada politik yang dibina oleh beliau ialah mengadakan pasukan askar anak negeri yang lengkap dengan pakaian dan senapang.
TEMENGGUNG ABDUL RAHMAN (1806-1825)
Oleh: Sah Rezan Bin Abdul Salam A130115
Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah III, kerajaan Johor telah diperintah oleh Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah yang merupakan putera kedua Almarhum Sultan Mahmud Shah III. Walaubagaimanapun, perlantikan itu mengundang rasa tidak puas hati Tengku Husain yang merupakan putera pertama Almarhum. Oleh hal demikian, politik kerajaan Johor agak bercelaru walaupun kurang ketara.
Keadaan ini telah berlanjutan sehingga campur tangan Inggeris dalam pentadbiran Johor di samping Belanda yang sememangnya telah meresap masuk dalam pentadbiran Johor. Keinginan Inggeris ingin membuka Singapura sebagai kawasan jajahan baru mereka telah menyebabkan perpecahan pentadbiran Johor kepada dua pemerintahan. Dalam memenuhi keinginan tersebut, pegawai Inggeris iaitu Tuan Farquhar telah pergi ke Singapura untuk berunding dengan Yamtuan Muda Temenggung Abdul Rahman. Akhirnya, persahabatan telah dicapai dan Temenggung bersetuju untuk memberikan Inggeris untuk membuka Singapura.
Peristiwa ini bermula pada tahun 1819 apabila Stample Rafless memujuk Temenggung Abdul Rahman untuk membenarkan Kompeni Inggeris bagi membuka dan membangunkan loji atau gudang di Pulau Singapura. Pujukan Rafless itu dikuatkan lagi dengan jaminan bahawa Kompeni Inggeris akan melindungi Temenggung Abdul Rahman daripada ancaman musuh serta memberikan beliau wang saraan sebanyak 3000 ringgit pada setip tahun. Disebabkan pujukan Rafless yang menarik perhatian Temenggung Abdul Rahman, maka Temenggung Johor itu terpengaruh dengan pujukan Rafless. Akhirnya, Temenggung telah membenarkan Kompeni Inggeris untuk membuka loji dan gudang di kawasan Singapura. Setelah Rafless berjaya menguasai Singapura, beliau telah berlayar ke Riau pula untuk berunding dengan Yamtuan Riau Raja Jaafar untuk membincangkan hal pentadbiran Singapura tersebut tetapi telah ditolak oleh Yamtuan Riau itu. Walaupun usaha mempengaruhi Yamtuan Riau itu gagal, Rafless tetap ingin meneruskan hasratnya dengan terus mempengaruhi Temengggung Abdul Rahman. Sebagai klimaksnya, Rafless telah menandatangani perjanjian sementara dengan Temenggung dan Singapura berjaya dikuasai oleh Kompeni Inggeris.
Ekoran daripada peristiwa tersebut, Temenggung Abdul Rahman telah menghantar saudara Tengku Husain, Engku Embong untuk menjemput Tengku Husain ke Singapura. Tengku Husain telah bersetuju dengan perjanjian yang telah dibuat oleh Temenggung dengan Inggeris dan berangkat ke Singapura. Setibanya di Singapura, baginda telah disambut baik oleh Inggeris dan dilantik manjadi Sultan Singapura dan Johor serta jajahan takulukannya. Tengku Husain telah menjadi Sultan dan bergelar sultan Husain ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah III. Tuan Rafless juga telah melantik pegawai Inggeris dan Temenggung Abdul Rahman serta orang-orang Melayu lain sebagai ahli dalam politik kerajaan tersebut.
Semasa pemerintahan Temenggung Abdul Rahman tersebut, beliau telah memberikan kebenaran kepada orang Melayu dan Cina untuk membuka ladang gambir sebelum kedatangan Inggeris lagi. Terdapat tiga ladang gambir yang telah diusahakan pada ketika itu terletak di Mt. Stamford. Menurut Tuan Newbold, beliau mengagak bahawa Temenggung telah ke Singapura lebih kurang tahun 1815 atau 1816 dan menyara hidupnya dengan melakukan aktiviti rompakan dan mengail.
Pada 6 Februari 1819, Sultan Husain telah sah dilantik sebagai Sultan Singapura dan Johor serta kawasan jajahannya. Perlantikan Tengku Long sebagai Sultan Hussain telah dilakukan di padang Singapura. Setelah perlantikan tersebut, suatu perjanjian telah dibuat antara Inggeris dengan Sultan Husain dan Temenggung Abdul Rahman. Dalam perjanjian tersebut, Inggeris telah mencapai kata sepakat dengan Sultan dan Temenggung untuk membenarkan Rafless membangunkan loji di Singapura dan menetapkan gaji Sultan Husain sebanyak $5000 dan Temenggung sebanyak $3000 setahun. Daripada perjanjian tersebut, Sultan hanya menerima gaji dan pemerintahan sebenarnya di bawah kuasa Inggeris walaupun pada awalnya pemerintahan Johor dikatakan diusahakan bersama. Akibatnya, perjanjian tersebut telah menyebabkan kuasa Sultan Husain beransur-ansur lemah dan semakin luput. Manakala Inggeris semakin berkuasa dalam pentadbiran Johor.
Tidak cukup dengan usaha tersebut, pihak Kompeni Inggeris sekali lagi meluaskan pengaruhnya di Singapura dengan memeterai perjanjian baharu dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman. Dalam perjanjian baharu itu, Kompeni Inggeris telah berjanji untuk memberikan Sultan Hussain wang saraan hidup sebanyak $1500 pada setiap bulan manakala $800 pada setiap kepada Temenggung Abdul Rahman. Namun demikian, Sultan dan Temenggung tidak boleh mengutip cukai daripada Tongkang China kecuali di kawasan kediaman mereka sahaja.
Sebenarnya, pembukaan pulau Singapura sebagai kawasan loji dan gudang pihak Kompeni Inggeris tidak mendapat persetujuan pihak Yamtuan Riau Raja Jaafar. Oleh hal demikian, Yamtuan Riau Raja Jaafar bersama-sama orang-orangnya daripada Riau telah datang ke negeri Johor untuk menurunkan Bendera Inggeris dan menaikkan semula bendera Belanda. Tindakan tersebut telah dihidu oleh orang-orang Temenggung Abdul Rahman dan peristiwa itu telah sampai ke pengetahuan Temenggung. Oleh itu, Temenggung dan Sultan Hussain telah meminta Inggeris untuk menghalau rombongan Riau tersebut daripada Johor tetapi tidak dipenuhi oleh Kompeni kerana dalam perjanjian tidak disertakan syarat Kompeni untuk campur tangan dalam politik Johor.
Sejak peristiwa tersebut, keadaan politik di Johor dan Singapura semakin hari semakin meruncing. Pihak Kompeni Inggeris menghadapi masalah dalam pemerintahan di negeri tersebut. Oleh hal demikian, Tuan Crawfurd telah menulis sepucuk surat kepada Setiausaha Inggeris di Benggala untuk menyatakan kesulitan yang mereka hadapi di Singapura dan Johor. Dalam surat tersebut juga, Tuan Crawfurd turut menyatakan kesulitan tersebut terjadi akibat pemerintahan di bawah Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman. Oleh itu, beliau telah mencadangkan agar pemerintahan Johor dan Singapura diambil alih daripada kedua-dua pemerintah tersebut secara keseluruhannya. Surat tersebut telah dihantar ke pejabat Benggala pada bulan Ogos tahun 1823.
Sebagai langkah permulaan, pada 17 Mac 1824, perjanjian Inggeris-Belanda telah dimeterai. Dalam perjanjian tersebut wilayah pemerintahan orang Melayu telah berpecah dua. Politik Johor telah celaru. Kawasan Singapura dan kawasan utara dikuasai oleh pihak Inggeris dan Selatan Singapura dikuasai oleh pihak Belanda. Melaka dikembalikan semula kepada Inggeris dan Bangkahulu diserahkan kepada Belanda sebagai timbal balasnya. Sejak perjanjian tersebut dimeterai, Kompeni Inggeris mempunyai muslihat untuk menguasai Singapura secara keseluruhannya dan ingin merampas pentadbiran daripada keturunan Melayu. Oleh itu, pelbagai tipu muslihat telah dilakukan oleh Crawfurd. Salah satu langkah yang diambil ialah Crawfurd telah menahan wang pembayaran bulanan kepada Sultan dan Temenggung selama tiga bulan berturut-turut dengan alasan Kompeni menghadapi masalah kewangan. Keadaan ini telah menyebabkan Sultan dan Temenggung menghadapi kesulitan wang untuk menguruskan hal-hal pentadbiran Singapura sehingga mereka terpaksa berhutang gadai.
Dalam kesempitan yang dialami oleh Sultan Hussain dan Temenggung itu, Crawfurd telah mengambil kesempatan untuk merampas kerajaan daripada pihak Sultan dan Temenggung. Kompeni telah menawarkan wang saguhati dan gaji tetap kepada Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman sekiranya Singapura diserahkan kepada pihak Kompeni memandangkan Sultan dan Temenggung tidak mampu lagi untuk mentadbir dalam keadaan masalah kewangan tersebut. Atas desakan kewangan yang terlalu meruncing itu, Temenggung dan Sultan terpaksa menerima pelawaan Crawfurd dan akhirnya pada 2 Ogos 1824, perjanjian telah ditandatangani oleh Crawfurd dengan Sultan Hussain dan Temenggung untuk menyerahkan Singapura kepada Kompeni keseluruhannya. Maka dengan penyerahan tersebut, kuasa Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman serta keturunan mereka untuk terus memerintah di negeri Singapura telah hilang. Temenggung Abdul Rahman telah mangkat pada 8 Disember 1825.
TEMENGGUNG IBRAHIM (1825-1862)
Oleh: Sah Rezan bin Abdul Salam A130115
Setelah Temenggung Abdul Rahman mangkat, pemerintahan beliau telah diganti oleh putera keduanya iaitu Daeng Ronggek atau Temenggung Ibrahim. Temenggung Ibrahim juga turut dikenali sebagai Daeng Kechil atau Tengku Chik. Sebenarnya, pada ketika itu jawatan Temenggung Johor tidak lagi penting kerana pemerintahan telah diserahkan kepada Kompeni Inggeris. Namun, untuk memenuhi adat peraturan Melayu terpaksalah jawatan itu dipenuhi oleh darah keturunan Bugis. Maka dengan lantikan Tun Ali Pahang dan dipersetujui oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Samuel George Benham, Temenggung Ibrahim secara sah menjadi Temenggung Johor yang seterusnya. Semasa beliau diangkat menjadi Temenggung Johor, beliau menerima bayaran sebanyak $250 daripada Kompeni Inggeris pada setiap bulan. Kemudian pada tahun 1840, bayaran terhadap beliau telah ditambah kepada $350 pada setiap bulan.
Sepuluh tahun selepas Temenggung Ibrahim menjadi Temenggung Johor, Sultan Husain telah tiba di Melaka ketika baginda berusia 59 tahun dan mangkat di sana. Baginda dimakamkan di Tengkera, Melaka. Pemerintahan Baginda itu cuba untuk digantikan oleh putera Baginda iaitu Tengku Ali apabila Tengku Ali menghantar surat permohonan lantikannya kepada British selepas kemangkatan Baginda. Namun demikian, permintaan Tengku telah ditolak kerana menganggap fungsi Sultan pada ketika itu tidak diperlukan lagi. Walaubagaimanapun, Tengku Ali telah dilantik menjadi Sultan pada tahun 1840 apabila British menerima surat akuan Gabenor yang membenarkan Tengku Ali berkuasa dengan urusan yang bersangkutan dengan kerajaan Johor. Pengiktirafan itu sebenarnya tidak mendapat penghargaan daripada anak negeri Johor sendiri.
Semasa pemerintahan Temenggung Ibrahim, pemerintahannya adalah di kawasan Johor. Pada ketika itu, Johor belum lagi dibuka dan jumlah penduduknya belum ramai. Namun, dalam tempoh tahun 1835 sehingga tahun 1840 barulah negeri tersebut berkembang atas sebab perusahaan dan perniagaan lada hitam di Singapura telah jatuh merudum. Oleh hal demikian, ramai orang-orang Cina telah berpindah masuk ke Johor membuat perusahaan dan membuka ladang gambir dan lada hitam. Gambir dan lada hitam ini menjadi hasil pertama bagi negeri Johor. Selain tanaman gambir dan lada hitam, terdapat juga tanaman seperti cengkih, buah pala dan tebu yang turut diusahakan oleh orang migran Cina yang kebanyakannya datang daripada Singapura. Tanaman ini berjaya dihasilkan di Johor pengeluarannya meningkat kepada 8000 paun pada setiap tahun tetapi semasa diusahakan di Singapura ia tidak mendatangkan hasil yang memberansangkan.
Hasil daripada kemasukan golongan Cina dan perusahaan yang dijalankan, ramai golongan Cina berjaya membuka dan mempunyai ladang lada hitam dan gambir di negeri Johor. Sesuatu yang menarik adalah perkembangan positif hasil perusahaan gambir dan lada hitam ini memberikan keuntungan kepada Temenggung Ibrahim kerana beliau menikmati hasil perusahaan tersebut sekaligus menguatkan lagi kedudukannya di negeri Johor. Sejak perusahaan tersebut berkembang, barulah negeri Johor menjadi sebuah negeri yang maju dan menarik perhatian orang dagang untuk membuka perusahaan di negeri tersebut. Pemerintahan Temenggung Ibrahim yang dilihat berkesan telah mampu untuk menambahkan jumlah ladang lada hitam dan gambir di negeri Johor. Pada bulan Jun 1845, didapati sebanyak 52 buah ladang lada hitam dan gambir telah diusahakan di negeri Johor. 20 buah di antaranya diusahakan di Sungai Skudai, 12 buah ladang di Sungai Melayu, 15 buah ladang di Sungai Danga serta 5 buah di Sungai Emberloh.
Selain daripada hasil tersebut, Temenggung juga dijanjikan bayaran sebanyak $300 pada setiap bulan sekiranya China dibenarkan untuk membuka rumah memproses dan memasak candu di negeri Johor. Akhirnya, Temenggung Ibrahim berkuasa di kawasan Pontian sehingga tanjung Ramunia dan Sedili Besar. Hasil daripada kemajuan yang dikecapi oleh Johor semasa pemerintahan Temenggung Ibrahim telah membawa kepada majlis perlantikan rasmi beliau sebagai Temenggung Johor yang sah. Majlis yang penuh dengan istiadat itu telah diadakan di Bukit Ahor, Teluk Belanga, Singapura pada 19 Ogos 1841. Beliau telah diberikan gelaran sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor. Dalam majlis kebesaran tersebut telah dihadiri oleh Tun Ali daripada negeri Pahang.
Sekitar tahun 1843, Johor digempar dengan isu hangat apabila sebilangan rakyat Johor telah menemui sejenis pokok yang mampu mengeluarkan getah. Pokok ini dikenali sebagai pokok getah percha. Menurut para pedagang yang menjalankan perniagaan di Johor mendapati harga getah percha tersebut mempunyai nilai yang sangat tinggi. Justeru, Temenggung Ibrahim telah mengambil kesempatan ini untuk memajukan pendapatan dan hasil ekonominya. Beliau telah mengambil hak untuk menjalankan urusan pembelian dan penjualan hasil getah percha tersebut untuk menambahkan sumber kewangan negeri Johor.
Namun, tatkala negeri Johor kian menjadi sebuah negeri yang maju, kawasan sekeliling negeri tersebut dikatakan merupakan sarang perompak dan lanun seperti yang tercatat dalam buku Hikayat Pelayaran Abdullah. Namun, sikap Temenggung Ibrahim yang terkenal dengan budi bahasa telah menyebabkan beliau berkerjasama dengan Kompeni Inggeris dalam menangani masalah tersebut. Ekoran daripada kerjasama dan sikap terpuji Temenggung Ibrahim, Queen Victoria telah menganugerahkan beliau sebilah pedang keemasan yang mempunyai ukiran nama Temenggung Ibrahim dan jasa beliau. Majlis pengiktirafan tersebut telah diadakan pada 1 September 1846 di Rumah Gabenor British di Singapura yang terletak di Bukit Larangan. Sejak peristiwa tersebut, kerjasama antara Temenggung Ibrahim dengan Kompeni Inggeris semakin akrab.
Dalam kegemilangan pemerintahan Temenggung Ibrahim, beliau tidak terlepas daripada masalah pemerintahan yang berlaku dalam negeri tersebut. Terdapat perselisihan tentang pungutan cukai antara Temenggung Ibrahim dengan Tengku Ali. Kedua-dua pihak ingin menguasai pungutan cukai dan menuntut pembahagian cukai yang adil. Tengku Ali telah menulis surat kepada gabenor tetapi tidak dilayan kerana beliau belum lagi diangkat sebagai Sultan Johor pada ketika itu. Tambahan pula, pihak kompeni seolah-olah berpihak kepada Temenggung kerana jasa Temenggung membantu kompeni menyelesaikan masalah lanun dan perompak dan kompeni lebih mempercayai keupayaan pemerintahan Temenggung Ibrahim berbanding keupayaan Tengku Ali. Tengku Ali dianggap lemah menguruskan hal ehwal negeri kerana beliau mempunyai terlalu banyak hutang dan kompeni bimbang Tengku Ali tidak mampu untuk memerintah Johor dalam keadaan yang dibelenggu hutang itu. Hal ini telah menambahkan persengketaan antara Tengku Ali dengan Temenggung.
Oleh hal demikian, pada 21 Oktober 1846, Colonel John William telah menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan di Benggala untuk mengelakkan kacau bilau daripada berlaku. Akhirnya, setelah dipersetujui oleh Setiausaha Kerajaan, maka Tengku Ali (Sultan Ali) telah dilantik sebagai Sultan Johor dan cukai yang telah dikutip oleh Temenggung Ibrahim hendaklah dibahagi dua antara Tengku Ali dan Temenggung Ibrahim. Namun pada ketika itu Temenggung Ibrahim lebih berpengaruh daripada Sultan kerana beliau mendapat sokongan daripada Eropah berbanding Tengku Ali. Perlantikan Tengku Ali sebagai Sultan masih belum dapat menyelesaikan konflik antara baginda dengan Temenggung kerana masing-masing ingin menguasai kerajaan Johor. Konflik antara Tengku Ali dengan Temenggung Ibrahim telah berlarutan sehingga tahun 1855. Dalam tempoh tersebut, pelbagai cadangan bagi menyelesaikan konflik tersebut telah diikhtiarkan oleh Kompeni Inggeris. Antaranya, Tengku Ali diberikan saguhati setelah menjadi sultan dengan memiliki jajahan Kesang dan diberikan wang saraan hidup. Namun, jajahan Kesang yang diberikan bukanlah sebagai kawasan pemerintahan baginda tetapi sebagai kawasan tanah tempat perkuburan kaum kerabat dan datuk neneknya sahaja. Pertelingkahan antara kedua-dua pihak cuba diselesaikan oleh Tuan Church melalui persetujuan kedua-dua pihak. Namun demikian, usaha tersebut gagal apabila persetujuan antara kedua-dua pihak tidak berjaya sehingga Tengku Ali terpaksa menyerahkan kerajaan Johor kepada pemerintahan Temenggung Ibrahim.
Pada ketika itu, pentadbiran Johor dilihat bercelaru ekoran daripada persengketaan yang berlaku antara Tengku Ali dengan Temenggung Ibrahim. Dalam keserabutan pemerintahan itu, faktor kuasa politik dilihat sebagai faktor utama yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Temenggung Ibrahim dilihat mempunyai cita-cita untuk menguasai pemerintahan di Johor secara mutlak dan turut mengimpikan untuk meluaskan kuasa di wilayah Pahang. Keyakinan Temenggung Ibrahim untuk mencapai impiannya dalam menguasai pemerintahan mutlak negeri Johor dan Pahang telah bertambah apabila beliau dianggap oleh rakyat Johor dan Kompeni British sebagai seoarang pemimpin yang mempunyai personaliti dan pengaruh politik yang tinggi. Tambahan pula, beliau amat dikenali oleh saudagar dan pedagang yang menjalankan perniagaan di Johor berbanding Tengku Ali.
Hasrat Temenggung Ibrahim ini seolah-olah telah diberi ruang yang terbaik bagi beliau mencapai impian tersebut. Dalam Hikayat Johor ada dinyatakan bahawa hal ehwal kehidupan putera-putera Almarhum Sultan Hussain dalam keadaan kesempitan. Mereka hanya mengharapkan kepada gaji saraan yang diberikan kepada Almarhum. Tambahan pula, tanah jajahan yang diberikan kepada kerabat tersebut tidak mengeluarkan hasil yang lumayan. Apabila kompeni menghentikan pemberian saraan kepada kerabat tersebut, kehidupan mereka semakin sempit. Kerabat tersebut terpaksa meminta belas daripada Temenggung Ibrahim untuk mendapatkan keperluan hidup. Apabila kerabat tersebut tidak mampu lagi untuk memerintah negeri Johor, kerabat ini telah menyerahkan pemerintahan negeri kepada Temenggung Ibrahim atas alasan tidak tahu untuk menyelenggarakan pemerintahan Johor. Akhirnya, pemerintahan Johor telah diserahkan kepada Temenggung Ibrahim dengan syarat kerabat Almarhum menerima ketentuan saraan bulanan yang tetap setiap bulan.
Pada tahun 1855, baharulah Tengku Ali dilantik menjadi Sultan Johor. Dalam persaingan menuntut hak mengutip cukai di Johor, Sultan Ali telah ke Lingga untuk menemui Sultan Mahmud bagi menyerahkan Johor kepada Lingga. Keadaan ini membimbangkan kompeni. E.A Blundell telah mengambil keputusan untuk memujuk Sultan Ali dengan menyarankan British memberikan wang saguhati kepada Sultan Ali pada setiap bulan dengan pemberian setengah daripada hasil cukai Johor kepada baginda pada setiap bulan. Akan tetapi, cadangan itu telah ditolak oleh W.H Read yang merupakan penasihat Sultan Ali. Langkah Sultan Ali yang seterusnya untuk menghapuskan kuasa Temenggung ialah dengan membuat kenyataan bahawa baginda ingin berpindah ke Johor dan mahu mendirikan Kerajaan Johor. Kenyataan ini amat membimbangkan Temenggung Ibrahim dan memaksa beliau untuk membayar sebahagian daripada pendapatan Johor kepada Sultan Ali. Sultan Ali dilihat licik apabila baginda hanya mahu mengakui Temenggung Ibrahim sebagai menteri yang diberikan beberapa kawasan dan hasil kawasan itu sebahagiannya diserahkan kepada baginda. Permintaan Sultan Ali tidak dipersetujui oleh Temenggung Ibrahim. Temenggung Ibrahim sebaliknya memberitahu bahawa beliau hanya akan membayar $300 sebulan kepada Sultan dalam tempoh tiga tahun selain bersetuju mengakui baginda sebagai Sultan Johor.
Langkah dan cadangan Temenggung itu pula telah ditolak oleh Sultan dan baginda mendakwa bahawa baginda akan membawa kuasa luar untuk berhadapan dengan British dan Temenggung Ibrahim sekiranya permintaannya tidak dipenuhi. Desakan hebat daripada Sultan Ali ini telah membawa kepada dilema pemerintahan Temenggung dan dilihat sebagai ancaman terbesar daripada seorang Sultan sendiri. Justeru, Temenggung Ibrahim telah memutuskan untuk membayar $500 pada setiap bulan kepada Sultan Ali dan $5000 sebagai bayaran tunggakan selain mengakui baginda sebagai Sultan. Namun begitu, beliau turut meminta timbal balas dengan Sultan menyerahkan jajahan Johor kepada beliau sepenuhnya dan Sultan serta keturunannya tidak boleh tinggal di Johor buat selama-lamanya. Cadangan itu telah diterima oleh Sultan Ali kerana pada ketika itu baginda mengalami kesempitan wang dan melihat tiada harapan lagi untuk mempertahankan haknya sebagai Sultan Johor. Walaubagaimanapun, baginda meminta agar kawasan Kesang diberikan kepada baginda.
Pada 10 Mac tahun itu juga surat damai antara Sultan Ali dengan Temenggung Ibrahim telah dibuat untuk memenuhi tuntutan kedua-dua pihak. Melalui surat perdamaian tersebut, kerajaan Johor telah diserahkan oleh Sultan Ali dan kerabatnya kepada Temenggung Ibrahim kecuali kawasan Kesang. Ekoran daripada penyerahan tersebut, Temenggung hendaklah memberikan $5000 kepada Sultan Ali dan $500 dibayar pada setiap bulan selamanya berkuatkuasa Januari 1855. Melalui surat tersebut, maka secara rasmi kerabat Bugis dengan sah menjadi pemerintah utama Johor kecuali di kawasan Muar-Kesang. Namun, perjanjian dan surat perdamaian ini tidak menjanjikan pemerintahan yang kukuh Sultan Ali masih juga cuba untuk menguasai Johor semula.
Semasa pentadbiran beliau sebagai Temenggung Ibrahim Seri Maharaja, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah membawa masuk beberapa orang kuli terutama daripada bangsa Cina untuk mengusahakan ladang gambir dan lada hitam. Hasil daripada perusahaan kedua-dua tanaman tersebut telah menjadikan negeri Johor maju dan semakin terkenal. Gambir dan lada hitam menjadi hasil terawal bagi negeri Johor. Kemajuan perusahaan tersebut telah mendesak Baginda untuk melantik pegawai untuk menguruskan hal ehwal perusahaan tersebut. Oleh hal demikian, baginda telah melantik beberapa orang ketua dan pegawai untuk menjalankan perusahaan gambir dan lada hitam. Baginda juga telah melantik pegawai khas untuk menjaga keamanan dan memungut hasil negeri dan cukai. Pejabat pemerintahan Temenggung Ibrahim terletak di Teluk Belanga, Singapura.
Tidak cukup dengan kemajuan perusahaan gambir dan lada hitam tersebut, Baginda juga telah berjaya membuka tempat baru di Johor iaitu Tanjung Puteri. Ketekunan Temenggung menggalakkan orang ramai masuk bekerja dan menjalankan perniagaan di kawasan baru tersebut. Semenjak pembukaan kawasan tersebut, hasil dan cukai negeri Johor semakin bertambah dan Johor berjaya merampas perdagangan yang dijalankan di Singapura apabila saudagar tertarik untuk menjalankan perniagaan di pelabuhan Johor. Temenggung Ibrahim mempunyai cita-cita untuk menjadi Yang Dipertuan Johor dan Pahang. Oleh itu, semasa pertelingkahan Wan Mutahir dan Wan Ahmad, baginda menyebelahi Wan Mutahir kerana ingin mengekalkan kedudukan Wan Mutahir agar senang baginda menaungi Pahang memandangkan isteri Temenggung Ibrahim dan Wan Mutahir adalah adik-beradik.
Usaha Temenggung Ibrahim dikukuhkan lagi dengan perkahwinan Encik Engku Besar (Putera Temenggung Ibrahim) dengan anak sulong Bendahara Wan Mutahir yang bernama Engku Muda Koris (Wan Koris). Kemudian pada tahun 1858 pula, Wan Abu Bakar berkahwin dengan Che Engku Chik. Melalui perkahwinan tersebut, hubungan antara Temenggung dengan Bendahara semakin akrab. Dalam perhubungan tersebut, Temenggung telah mengikat perjanjian dengan Wan Mutahir untuk memberikan bantuan kepada Wan Mutahir melawan adindanya dengan syarat Bendahara memberikan tanah-tanah kawasan yang terletak antara Sungai Endau dengan Sungai Sedili Besar yang berada dalam kuasa kerajaan Pahang kepada Temenggung Johor. Selain itu, Temenggung mengukuhkan lagi kedudukan dan kekuasaannya dengan membuat persahabatan dengan negeri Pahang melalui perjanjian yang termeterai pada 11 Rabiul Awal 1277 H. Melalui perjanjian tersebut, kedua-dua kerajaan berjanjian akan sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain sekiranya menerima serangan dan kekuasaan kerajaan tersebut hendaklah diteruskan dengan keturunan mereka sahaja. Perjanjian tersebut juga menjadikan hubungan antara kedua-dua kerajaan dengan Kompeni Inggeris menjadi semakin akrab.
Dalam pada itu, Temenggung Ibrahim telah berusaha mengembangkan pengaruh politiknya apabila beliau cuba untuk melebarkan kekuasaannya di kawasan Muar. Tindakan Temenggung Ibrahim ini dilihat mencabar pemerintahan Temenggung Ismail yang merupakan pembesar yang berkuasa di Muar pada ketika itu dan mengakibatkan perselisihan antara kedua-duanya. Perselisihan tersebut telah membawa kepada peristiwa kacau bilau pada tahun 1858 yang dilakukan oleh Sulawatang yang merupakan ketua Bugis yang berpakat dengan Sultan Ali. Peristiwa ini telah mendesak Temenggung Ismail untuk berundur ke Pengkalan Kota, Segamat. Pengunduran Temenggung Ismail ini telah memberi ruang kepada Temenggung Ibrahim untuk menguasai Muar ekoran Pengkalan Kota, Segamat merupakan kawasan jajahan beliau. Beliau tidak melepaskan peluang ini dengan menghantar anaknya, Abu Bakar bersama Penolong Residen Konsular Melaka, Alexander ke Segamat untuk mempengaruhi Temenggung Ismail. Ternyata Abu Bakar dan Alexander berjaya mempengaruhi Temenggung Ismail sehingga beliau menurut perintah Temenggung Ibrahim.
Selesai perselisihan Temenggung Ibrahim dengan Temenggung Ismail, Temenggung Ibrahim diuji lagi apabila beliau mendapat tentangan yang semakin meruncing daripada Sultan Ali yang masih lagi ingin menuntut keadilan terhadap haknya di Johor. Sultan Ali telah mendakwa bahawa perjanjian yang telah ditandatangani oleh baginda dengan Temenggung Ibrahim pada tahun 1855 adalah tidak sah. Baginda menyatakan kepada Gabenor British bahawa perjanjian yang ditandatangani itu tidak sah kerana tidak melalui perbincangan dengan pembesar-pembesar Melayu terlebih dahulu dan keadaan ini telah melanggar adat istiadat Melayu. Walaupun baginda telah memberikan pelbagai alasan bagi membatalkan perjanjian 1855, namun usaha baginda ternyata gagal apabila British menolak kesemua alasan tersebut dan menegaskan bahawa perjanjian itu telah ditandatangani dan tidak boleh diubah lagi. Sebagai reaksinya, Sultan Ali telah menghantar penasihatnya iaitu Bujal untuk menyerang Johor tetapi telah dipatahkan oleh British dengan mengancam kebajikan Sultan sekiranya serangan itu dilakukan. Akhirnya, kemelut antara Temenggung Ibrahim dan Sultan Ali tidak dapat diselesaikan sehingga Temenggung Ibrahim meninggal dunia pada 1 Februari 1862. Beliau dimakamkan di Teluk Belanga.
SULTAN ABU BAKAR (1862-1895)
Oleh: Nur Farahdilla bte Mat Daud A127432
Selepas kemangkatan Temenggung Ibrahim pada tahun 1862, beliau telah digantikan oleh puteranya yang bernama Wan Abu Bakar. Wan Abu Bakar telah dilantik menggantikan Almarhum sebagai Dato’ Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor. Abu Bakar juga dikenali sebagai Tun Abu Bakar pada usia mudanya manakala Wan Abu Bakar merupakan nama timangan beliau ketika kanak-kanak. Beliau mendapat pendidikan di sekolah Melayu sebelum melanjutkan pelajaran dengan mempelajari Bahasa Inggeris daripada Paderi Kesberry. Temenggung Abu Bakar mula menggantikan pemerintahan Johor pada 31 Julai 1962. Temenggung dilihat sebagai seorang pemimpin yang berkebolehan, berfikiran maju dan bertenaga selain mampu menjalankan pentadbiran dengan cara Barat memandangkan Beliau turut mendapat pendidikan Barat. Setelah memegang tampuk pemerintahan Johor, pentadbirannya dilihat sangat cekap dan bijaksana sehingga beliau telah terkenal di seluruh kawasan di Tanah Melayu. Perkara yang paling menarik dalam pemerintahan beliau adalah beliau mampu untuk mengambil hati orang kulit putih untuk bersahabat dengan beliau. Beliau telah berusaha memajukan kawasan yang telah dibuka dan dibina oleh Temenggung Ibrahim. Antaranya ialah Tanjung Puteri (Johor Bahru) yang menjadi tumpuan ramai saudagar dan hasilnya semakin bertambah.
Semasa pemerintahan Temenggung Ibrahim, persahabatan antara Johor-Pahang telah dijalinkan melalui perkahwinan politik yang dilakukan oleh Temenggung Ibrahim dan Bendahara Wan Mutahir. Persahabatan antara kedua-dua negeri ini telah dijadikan alasan oleh Temenggung untuk meluaskan pengaruhnya di Pahang. Cita-cita Temenggung Ibrahim ini telah diteruskan oleh Temenggung Abu Bakar semasa pemerintahan Temenggung Abu Bakar. Pada ketika itu, Wan Mutahir telah uzur dan beliau terpaksa menyerahkan pemerintahnnya di Pahang kepada anak sulungnya iaitu Wan Koris. Bermula daripada penyerahan tersebut Wan Koris secara sah telah menjadi Bendahara Pahang menggantikan ayahandanya. Temenggung Ibrahim melihat bahawa persahabatan antara kedua-dua negeri perlu dieratkan. Justeru, beliau dan Bendahara Wan Koris telah memperbaharui perjanjian persahabatan pada 17 Jun 1862 bersamaan 19 Zulkaedah 1278. Dalam perjanjian tersebut, Johor dan Pahang akan mengaku bersahabat selama-lamanya. Selain itu, kedua-dua kerajaan juga haruslah sentiasa membantu untuk menghadapi peperangan dengan musuh. Kedua-dua kerajaan juga berjanji tidak akan membuat hubungan luar tanpa pengetahuan orang British. Perjanjian yang dibuat itu telah disaksikan oleh gabenor Cavenagh iaitu Gabenor Negeri-negeri Selat.
Dalam pada itu, telah berlaku pergolakan politik di negeri Pahang iaitu perebutan kuasa antara dua orang saudara, Wan Ahmad dan Wan Mutahir. Dalam pergolakan itu, Johor telah campur tangan bagi menyelesaikan pertikaian yang berlaku. Oleh itu, Temenggung Abu Bakar telah berpihak kepada Wan Mutahir memandangkan perjanjian persahabatan telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Manakala, Wan Ahmad dibantu oleh Sultan Ali, Sultan Terengganu dan Tengku Mahmud yang merupakan bekas Sultan Lingga. Sultan Ali telah mengambil kesempatan untuk diiktiraf sebagai Sultan Johor dan Pahang sekiranya berjaya mengalahkan Wan Mutahir. Keadaan ini mengancam kedudukan Temenggung Abu Bakar dalam memburu impiannya menguasai Johor. Oleh hal demikian, beliau memberikan sokongan padu kepada Wan Mutahir dengan harapan dapat mengalahkan Wan Ahmad sekaligus memadamkan hasrat Sultan Ali untuk menguasai Johor semula.
Temenggung Abu Bakar telah menghantar bantuan berbentuk peluru dan ubat-ubatan kepada pasukan Wan Koris yang menggantikan Wan Mutahir. Tidak cukup dengan itu, Temenggung Abu Bakar juga telah membenarkan Wan Koris untuk menggunakan orang-orang Bugis yang terdapat di Johor bagi menghadapi perang dengan Wan Ahmad. Namun, bantuan berupa ketenteraan itu dilihat tidak membantu Wan Koris dalam memudahkan beliau untuk mematahkan serangan Wan Ahmad malah memberi lebih kesusahan dan kecelaruan kepada politik beliau di Pahang. Hal ini disebabkan oleh kedatangan orang Bugis di Pahang menyebabkan orang Melayu Pahang rasa terpinggir dan diketepikan oleh Wan Koris. Keadaan ini membawa kepada rasa cemburu di kalangan orang besar Pahang sehingga golongan ini tidak sepenuh hati meneruskan perjuangan dalam menghadapi perang dengan Wan Ahmad. Tindakan yang diambil oleh pihak orang Melayu Pahang ini kerana perasaan bimbang mereka terhadap kuasa Temenggung Abu bakar akan meresap ke dalam politik Pahang sekiranya kerjasama dalam perang itu diterima. Akibatnya, Wan Mutahir dan Wan Koris telah kalah dalam perang tersebut. Wan Mutahir dan Wan Koris terpaksa berundur meninggalkan Pahang.
Kemenangan Wan Ahmad ini sememangnya mengancam kedudukan Temenggung Abu Bakar sebagai pemerintah Johor. Setelah mendapat tahu bahawa Wan Ahmad memperolehi kejayaan dalam perang tersebut, Sultan Ali telah bergegas ke Pekan, Pahang untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Wan Ahmad yang sudah menjadi Bendahara Pahang ketika itu untuk menjadi Sultan Johor-Pahang yang sah. Namun, kekecewaan diterima oleh Sultan Ali kerana permintaan baginda tidak dilayan oleh Wan Ahmad apabila Wan Ahmad enggan untuk mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor-Pahang. Wan Ahmad memberi alasan bahawa Pahang baru sahaja selesai perang dan keadaan itu tidak sesuai untuk pengiktirafan tersebut. Ekoran itu, kedudukan Temenggung Abu Bakar tidak dapat digugat oleh Sultan Ali. Pada masa yang sama, keyakinan British terhadap Temenggung semakin bertambah dan kompeni memberikan sokongan yang padu terhadap pemerintahan beliau. Hal ini dibuktikan apabila pihak Kompeni Inggeris telah mengakui gelaran ‘Maharaja Johor’ yang digunakan oleh Temenggung Abu Bakar. Ternyatalah Temenggung Abu Bakar menjadi wakil British dalam pemerintahan di negeri Johor.
Apabila pemerintahan di bawah Temenggung Abu Bakar dilihat semakin baik, Temenggung mula melaksanakan usaha perkembangan negeri. Langkah yang diambil oleh beliau adalah pengambilan semula tanah Teluk Belanga. Pada tahun 1862, Temenggung Abu Bakar telah membuat permintaan agar Teluk Belanga yang diserahkan kepada Sultan Husain semasa pemerintahan Temenggung Abdul Rahman dikembalikan semula kepada beliau sekaligus membatalkan perjanjian 1824 berkaitan dengan tanah tersebut. Permintaan itu telah dipanjangkan kepada Gabenor Benggala dan mendapat sokongan daripada gabenor. Kehendak beliau telah dipersetujui dan pada 19 Disember 1862, surat serahan telah dibuat antara kedua-dua belah pihak. Pada 15 Ogos 1864 barulah surat pindah milik tanah Teluk Belanga diserahkan ke tangan baginda.
Setelah berjaya memiliki kembali Teluk Belangga, beliau kemudiannya meneruskan usaha memajukan Johor dengan menyambung usaha yang dilakukan oleh Temenggung Ibrahim di Tanjung Puteri. Semasa pemerintahan Temenggung Ibrahim, beliau telah membuka sebuah gudang di Bukit Timbalan. Pada Temenggung Abu Bakar, usaha itu telah diteruskan apabila beliau telah mendirikan beberapa buah bangunan kerajaan, rumah pasung, mahkamah dan pejabat-pejabat yang lain. Jalan raya juga dibina selain masjid dan istana bagi menghiasi Tanjung Puteri. Selain itu, Temenggung Abu Bakar juga turut berusaha melicinkan pentadbiran di kawasan pusat pemerintahan dan Johor dengan melantik beberapa orang pegawai untuk menjalankan pemerintahan Johor. Walaupun Tanjung Puteri dijadikan pusat pentadbiran Johor yang baharu, Teluk Belanga tetap menpunyai peranannya yang asal. Pejabat kerajaan, istana dan mahkamah masih terdapat di Teluk Belanga kerana beliau masih lagi melakukan perbicaraan kesalahan jenayah di teluk tersebut melainkan kesalahan jenayah besar yang dibicarakan dan dihukum di Tanjung Puteri atau dikenali sebagai Iskandar Puteri.
Iskandar Puteri yang semakin berkembang maju semestinya memerlukan seorang pemimpin untuk menjalankan pentadbirannya. Oleh itu, Temenggung Abu Bakar telah melantik sepupu beliau iaitu Raja Ahmad sebagai wakil pemerintah di Iskandar Puteri bagi melicinkan pentadbiran di sana. Pada bulan Januari 1866, Temenggung Abu Bakar telah menukarkan nama Tanjung Puteri atau Iskandar Puteri kepada Johor Bahru. Pada ketika itu, Temenggung mula menjalankan pembangunan yang dilihat sebagai sebuah kemajuan yang drastik dalam pemerintahannya yang masih muda. Antara pembangunan yang dilakukan oleh beliau ialah membuat peraturan negeri selain membangunkan balai polis di Johor Bahru. Lama-kelamaan peraturan yang dibuat dijadikan sebagai Lembaga Kerajaan iaitu setelah Iskandar Puteri dijenamakan semula kepada Johor Bahru. Peraturan yang dibentuk adalah berdasarkan undang-undang Islam dan undang-undang Inggeris.
Pencapaian terbesar Temenggung Abu Bakar dalam era pemerintahannya sebagai Temenggung Johor ialah beliau merupakan pemerintah Melayu pertama yang melawat England dan telah mencium tangan Queen Victoria serta menghantar cerut Manila kepada Prince Of Wales. Beliau telah ke England pada tahun 1866 sekaligus belayar mengelilingi kawasan pulau-pulau British. Selain itu, beliau juga merupakan pemerintah pertama yang menerima kurniaan KCSI (Knight Commander of the Star of India). Kejayaan terbesar Temenggung Abu Bakar ini telah mebawa kepada sebuah majlis istiadat pada bulan Jun 1868 untuk mengubah nama gelarannya daripada Temenggung Abu Bakar kepada “Maharaja Abu Bakar”.
Pemerintahan Maharaja Abu Bakar dilihat sebagai pemerintahan yang bijak. Ekoran itu, Inggeris seringkali meminta bantuan daripada Maharaja Abu Bakar untuk membantu mereka menyelesaikan masalah dan huru-hara yang timbul disekitar negeri-negeri Melayu. Antaranya, perselisihan yang berlaku di Selangor antara Tengku Kudin dan Raja Mahdi; pemberontakan dan pembunuhan Birch di Perak.
Dalam pemerintahannya baginda Maharaja di Johor, jajahan Kesang telah berjaya dikuasai apabila Sultan Ali dilihat tidak mampu untuk mentadbir kawasan tersebut. Melalui undian yang dibuat kepada pembesar, enam daripada Sembilan pembesar bersetuju untuk memilih Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Kesang menggantikan Sultan Ali. Sejak itu, Kesang telah jatuh ke bawah pemerintahan Maharaja Abu Bakar. Surat serah milik telah dibuat pada tahun 1877. Setelah Kesang disatukan di bawah pemerintahan Johor, maka pada 5 Februari 1879 atas persetujuan Temenggung, Penghulu Muar dan Penghulu Kesang, Maharaja Abu Bakar telah dimahsyurkan sebagai pemerintah Johor yang mutlak.
Akhir sekali, pada 24 Mei 1885, Maharaja Abu Bakar bersama adindanya, Engku Muhammad Khalid, Encik Abdul Rahman bin Anda (Dato’ Seri Amar Diraja) dan Encik Abdullah Tahir (Dato’ Seri Setia Raja) telah belayar ke England untuk bertemu dengan Queen Victoria bagi membincangkan keinginan Maharaja Abu Bakar untuk mengekalkan kemerdekaannya. Daripada pertemuan itu, maka telah dimeterai sebuah perjanjian persetiaan antara kedua-dua pihak. Surat perjanjian tersebut telah dibuat di Pejabat Tanah Jajahan London pada 11 Disember 1885 bersamaan 3 Safar 1303 H. Persetiaan ini telah ditandatangani oleh Tuan Federick Stanley dan Maharaja Abu Bakar serta disaksikan oleh Sir Robert GW Herbert dan Encik Abdul Rahman Anda’. Selepas perjanjian tersebut dimeterai, barulah Maharaja Abu Bakar memperolehi gelaran Sultan berdasarkan perkara ketujuh dalam perjanjian tersebut yang menyatakan bahawa Inggeris mengakui Maharaja Johor sebagai Sultan dan menggunakan gelaran Sultan seterusnya kepada waris baginda. Pada 13 Februari 1886, Maharaja Abu Bakar telah diisytiharkan sebagai Sultan Abu Bakar. Sejak itu, raja-raja keturunan Bugis tidak lagi menggunakan gelaran Daeng atau Temenggung tetapi memakai gelaran Sultan sehinggalah pada hari ini.
BUGIS DI SELANGOR
Secara umumnya, sistem pemerintahan di Selangor merupakan dari golongan orang-orang Bugis iaitu daripada raja-raja bugis lima bersaudara iaitu Daing Perani, Daing Menambun, Daing Merewah, Daing Chelak, dan Daing Kemasi. Penglibatan pemerintah-pemerintah Selangor adalah di bawah keturunan Daing Chelak iaitu anaknya Raja Lumu yang gelarannya ialah Sultan Salehuddin Shah. Kedatangan Bugis di Selangor adalah sudah lama iaitu kira-kira kurun ke-17. Mereka telah mendiami negeri Selangor yang ketika itu berada dalam di bawah kuasa kerajaan Johor.sebelum Raja Lumu diiktirafkan sebagai Sultan negeri Selangor oleh kerajaan Perak, telah adanya jawatan Yamtuan Selangor (Kuala Selangor). Kesultanan Selangor melibatkan banyak berlakunya pertikaian antara anak-anak raja-raja keturunan Bugis ini. Dalam kajian ini, akan dapat dilihat secara gambaran mengenai sikap sesetengah sultan-sultan yang mentadbir negeri Selangor dan kepentingan golongan ini kepada kemajuan negeri Selangor.
Bermula daripada pemerintahan Sultan Salehuddin Shah sehingga Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (1756-kini) memperlihatkan pelbagai cabaran dan karenah raja-raja keturunan Bugis ini bagi memerintah negeri Selangor. Ada sesetengah sultan yang berkebolehan menjaga negeri Selangor sebaik-baiknya dan ada sesetengah sultan berada di sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh ramai yang berada dalam kerabat diraja Selangor yang mahu menjadi ketua kerajaan Selangor di samping kemajuan sumber ekonomi iaitu bijih timah yang menjadi sebab negeri Selangor maju.
Pemerintahan Bugis di Selangor adalah berdasarkan keturunan. Terdapat banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika sultan-sultan Bugis ini memerintah kerajaan Selangor. Contohnya peperangan yang melibatkan kerabat-kerabat raja yang berdendam ingin mendapatkan kawasan-kawasan yang diingini mereka. Namun, sebelum itu juga banyak berlakunya peperangan yang melibatkan orang-orang Bugis di Selangor. Contohnya, peristiwa adik kepada Sultan Kedah yang mahu mengambil tahkta daripada kekandanya meminta bantuan orang Bugis dan askar-askar Bugis banyak terdapat di Selangor.
Pemerintahan Bugis di Selangor juga menunjukkan sifatnya yang tersendiri iaitu kerajaannya dipinjam dari aspek tertentu dari Sulawesi Selatan. Di Selangor juga terdapat jawatan yang dipanggil Suliwatang yang lazimnya seperti jawatan tentera yang menjadi jawatan terpenting dan besar pengaruhnya. Contohnya, selepas sepeninggalan Daing Chelak, anakandanya Raja Lumu sebelum dijadikan bakal Sultan Selangor, adanya seorang yang menjawat jawatan Pemangku Raja yang menguasai hal ehwal kerajaan bersama Suliwatang. Hal ini kerana, ketika itu Raja Lumu begitu muda dan belum masanya untuk memerintah Selangor. Pada awalnya Selangor berada di bawah pemerintahan Johor dan akhirnya Selangor berjaya memisahkan negerinya daripada Kerajaan Johor.
SULTAN SELANGOR YANG PERTAMA-SULTAN SALEHUDDIN SHAH (1756-1778)
Oleh: Mohd Faizul bin Mohd Yusuf A127575
Bermulanya pemerintahan secara rasmi keturunan Bugis memerintah negeri Selangor oleh Sultan Salehuddin Shah atau Raja Lumu kekanda Raja Haji (Pangeran Suta Wijaya). Baginda diiktirafkan oleh Sultan Perak ketika itu iaitu Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak yang ke-16). Baginda diiktirafkan oleh Sultan Perak disebabkan Sultan Perak mewarisi kesultanan Melaka dan telah kukuh sifat kerajaannya. Sultan Salehuddin Shah ialah keturunan Daeng Chelak Raja Muda Riau III. Semasa pemerintahan baginda, Selangor ketika itu berada dalam keadaan yang mahukan kebebasan dari kerajaan Johor-Riau. Baginda juga digelar Tuanku Raja Selangor atau Raja Selangor.
Sultan Salehuddin Shah telah diberi kelayakan menjadi Sultan Selangor setelah Sultan Perak menghadiahkan dengan adat istiadat kerajaan Melayu tersebut iaitu gendang nobat dan diberi cop mohor yang akan mengiktirafkan Baginda Raja Lumu sebagai Sultan Selangor sekitar tahun 1770.
Pada 1770 juga, Raja Lumu telah meminta pengiktirafan daripada kerajaan Perak untuk memperkukuhkan kedudukan baginda dan keturunannya. Di sini dapat dilihat, kepentingan negeri Perak untuk mengiktiraf kerajaan Selangor amat penting. Tambahan pula, negeri Selangor yang ingin bebas daripada kerajaan Johor-Riau begitu tinggi kerana mahukan kerajaan yang merdeka dan berdaulat, ketika itu kerajaan Johor-Riau yang diperintah oleh Sultan Mahmud Shah yang terlalu muda iaitu berumur sepuluh tahun.
Sultan Salehuddin Shah mangkat setelah Raja Haji diangkat menjadi Yamtuan Muda Riau IV dan disebut Marhum Saleh iaitu pada tahun 1778. Pemerintah kerajaan Selangor diteruskan oleh putera baginda iaitu Raja Ibrahim yang dilantik oleh bapa saudaranya Raja Haji Yamtuan Muda Riau IV. Di sini juga dapat dilihat bahawa politik Bugis, iaitu bapa saudara boleh melantik anak saudaranya sebagai pemerintah dan ia masih lagi mengekalkan keturunan Bugis dalam pemerintahan Selangor.
SULTAN SELANGOR KEDUA - SULTAN IBRAHIM SHAH (1756-1826)
Oleh: Chan Kah Yen A127574
Selepas Raja Lumu, iaitu Sultan Salehuddin mangkat pada 1778, Raja Haji Yamtuan Muda Riau IV melantik Sultan Ibrahim Shah, putera kepada Sultan Salehuddin untuk mengantikan tahkta baginda sebagai Sultan kedua di negeri Selangor. Manakala Raja Nala, adik kepada Sultan Ibrahim Shah pula dilantik menjadi Raja Muda Selangor. Ini membuktikan Sultan Ibrahim Shah yang merupakan wakil raja orang Bugis, terus melibatkan diri dalam aktiviti politik di negeri Selangor dengan memegang jawatan yang tertinggi dalam politik di negeri tersebut.
Penglibatan orang Bugis dalam politik negeri Selangor pada zaman pemerintah Sultan Ibrahim Shah bermula apabila wujudnya pertelingkahan dan perselisihan faham di antara pihak Raja Haji dengan Belanda yang menjajah di Melaka. Pada mulanya, pihak Raja Haji dan Selangor yang dibawah pemerintahan Sultan Ibrahim Shah menjalinkan hubungan baik dengan pihak Belanda sehingga tahun 1782. Namun begitu, pada tahun 1782, pemerintah Riau, iaitu Raja Haji berasa marah apabila pihak Belanda yang berjaya merampas kapal kompeni Inggeris yang membawa candu bersama dengan pihak Perancis tidak berkongsi dengan Riau. Raja Haji berasa sangat marah dengan pihak Belanda kerana tidak menepati perjanjian yang telah ditetapkan antara pihak Riau dengan pihak Belanda yang berkaitan, bahawa sesiapa yang berjaya memperolehi hasil rampasan hendaklah dikongsi bersama-sama antara kedua-dua pihak tersebut. Ini telah menyebabkan Raja Haji mula menentang pihak Belanda dengan memulang balik surat perjanjian tersebut kepada pihak Belanda.
Tindakan Raja Haji membuat pihak Belanda berasa marah dan menghantar tenteranya sebanyak 6 buah kapal yang membawa 910 askar supaya bersedia menyerang Riau. Pada tahun 1782, Belanda juga mengarahkan pasukan tenteranya yang kedua dengan angkatan tentera 7 buah kapal yang membawa 594 orang askar untuk mengepung Riau.
Tindakan Belanda ini telah menyebabkan Sultan Ibrahim Shah, iaitu anak saudara kepada Raja Haji menghantar askarnya menyerang pihak Belanda untuk membantu Raja Haji yang bersemayam di Riau. Pihak Sultan Ibrahim Shah yang diikuti Raja Nala, orang-orang Bugis dari Selangor serta orang Rembau menyerang Melaka yang dibawah jajahan takluk Belanda dan berjaya mendirikan kubu di Batang Tiga.
Oleh kerana Melaka diserang oleh pihak Sultan Ibrahim Shah, Belanda mengarahkan askar yang mengepung Riau balik semula ke Melaka untuk melawan serangan daripada pihak Selangor yang terdiri daripada orang-orang Bugis dan Rembau. Apabila Riau bebas daripada dikepong kapal-kapal perang Belanda, pihak Riau telah menyertai pihak Selangor dengan menyerang Belanda di Melaka. Semasa peperangan tersebut, pihak Belanda dibantu oleh Raja Siak. Dalam serangan terhadap Melaka, Raja Haji dan beberapa pembesar-pembesar Bugis seperti Arong Lenga, Daing Selikang dan Raja Ahmad terkorban kerana terkena perluru askar-askar Belanda. Banyak orang Bugis terkorban dalam pertempuran tersebut. Buktinya mengikut kata-kata riwayat orang Belanda, kira-kira 500 orang Bugis terbunuh dan bakinya telah berjaya melarikan diri keluar dari kubu Tanjung Palas dan seterusnya menuju ke Muar. Manakala Sultan Ibrahim Shah dan Raja Nala balik ke Selangor semula.
Raja Haji yang terkorban dalam serangan terhadap Melaka dikenali “Marhum Telok Ketapung”. Selepas mangkat, terdapat dua bentuk cerita yang menerangkan dimanakah mayat beliau berada. Dalam cerita bentuk pertama, dipercayai bahawa mayat beliau dimasuk ke sebuah keranda dan dinaikkan ke sebuah kapal Belanda untuk dihantar ke Betawi dan kapal yang dikenali kapal “Dolphijin” tiba-tiba meletup. Manakala cerita bentuk kedua menerangkan bahawa mayat beliau tersebut dimasukkan ke sebuah keranda dan keluar cahaya seperti api memancar ke udara. Oleh itu, Raja Haji juga dikenali Raja Api. Dan mayat beliau dikebumikan di bawah bukit Melaka dan dipercayai ianya dibawa oleh keluarga Almarhum ke Pulau Penyengat, Riau.
Pada tahun 1784, Belanda telah membalas serangan Selangor dengan menyerang balik Selangor dan berjaya menawan Kuala Selangor. Sultan Ibrahim Shah dan Raja Nala berundur ke Ulu Selangor, seterusnya ke Bernam dan akhirnya berundur sehingga ke Pahang. Belanda melantik Raja Muhammad Ali menjadi Pemangku Yang Di Pertuan Selangor tetapi jangka masa Raja Muhammad Ali memegang jawatan tersebut tidak lama kerana tindakan baginda dalam pemerintahan tidak disegani oleh pihak Belanda. Selepas itu, Saiyid Ali melantik dirinya sendiri sebagai Yang Di Pertuan Selangor. Tindakan beliau tersebut mendapat bantahan daripada para pembesar.
Pada sekitar pertengahan tahun 1785, Sultan Ibrahim Shah dibantu oleh 2 ribu orang tentera pihak Bendahara Abdul Majid serta orang-orang Penggawa Permatang menyerang Selangor. Serangan tersebut telah mengalahkan pihak Belanda yang menetap di Selangor dan menyebabkan pihak Belanda meninggalkan Kuala Selangor dan balik ke Melaka dengan kapal-kapal. Meriam dan ubat bedil pihak Belanda ditinggalkan di Kuala Selangor kerana mereka tidak sempat membawa bahan-bahan tersebut balik ke Melaka akibat daripada serangan Sultan Ibrahim Shah yang secara mendadak itu. Saiyid Ali pula melarikan diri balik ke Siak.
Maka, Sultan Ibrahim Shah berjaya menguasai semula negeri Selangor. Baginda bersemayam di kota Bukit Selangor, manakala Raja Nala Raja Muda Selangor pula bersemayam di Tanjong (dipercayai terletak di atas Bukit Tanjung Keramat). Namun tidak lama kemudian, pihak Belanda menghantar 3 buah kapal besar dan 14 buah kapal kecil untuk mengepong Kuala Selangor pada Julai tahun 1785. Kapal-kapal Belanda telah mengepong Kuala Selangor kira-kira selama setahun. Selepas setahun, kedua-dua pihak iaitu pihak Belanda dengan pihak Sultan Ibrahim Shah telah menandatangani surat perjanjian damai pada 29 Jun 1786. Syaratnya, Selangor hendaklah menjual semua hasil bijih timahnya kepada pihak Belanda dan ini menyebabkan pihak Belanda telah berundur daripada mengepong Kuala Selangor.
Selain terlibat dalam peperangan dengan pihak Belanda, orang Bugis Selangor juga melibatkan diri dalam peperangan diantara Raja Acheh dengan Orang Dusun. Pada sekitar tahun 1795, Sultan Ibrahim Shah telah mengarahkan Raja Nala yang memegang jawatan sebagai Raja Muda Selangor membawa angkatan Selangor membantu Raja Acheh dalam pepeangan dengan Orang Dusun. Raja Nala telah terkorban dalam peperangan tersebut dan dimakamkan di situ.
Keturunan Raja Bugis Selangor juga melibatkan diri dalam penguasaan sesetengah kawasan negeri Perak semasa negeri tersebut dibawah pemerintah Sultan Ahmaddin Shah. Sekitar tahun 1804, Raja Ibrahim Shah dengan angkatan tenteranya menyerang Perak dan mencapai kemenangan. Baginda telah menguasai beberapa kawasan di negeri Perak. Buktinya, Sultan Ibrahim telah memberitahu pihak Inggeris dengan mengatakan :
“ Pada masa ini orang Inggeris di Pulau Pinang janganlah sesekali pergi ke negeri Perak, keraa negeri itu, iaitu dari Sungai Kuran di utara sampai ke Beting Beras Basah di selatan, ialah negeri beta yang beta ambil dengan kekuatan ubat bedil dan peluru, dan beta percaya Gabenor Pulau Pinang tentu biasa dengan aturan adat semacam itu”.
Semasa zaman pemerintah Sultan Abdul Malik Mansur Shah di Perak pada tahun 1806, Sultan Ibrahim Shah sekali lagi menyerang Perak tetapi serangan kali ini gagal kerana dapat dipatahkan oleh pihak Sultan Abdul Malik. Namun, apabila Sultan Kedah yang diarah menyerang Perak oleh Siam, Sultan Ibrahim memberi bantuan dengan meminjam 2 pucuk meriam kepada negeri Perak. Tidak lama kemudian, Kedah dan Perak berdamai.
Pada tahun 1822, Siam menyerang Perak dan mengarahkan Sultan Perak membayar ufti dalam bentuk bunga emas kepada Siam setiap tahun. Sultan Selangor telah memberi bantuan kepada Perak sekali lagi dan menghalau Orang Siam keluar daripada Perak. Negeri Perak pula menghantar ufti kepada Sultan Selangor selepas Siam keluar dari Perak.
Pada tahun 1826, Sultan Ibrahim Shah, iaitu sultan kedua kepada negeri Selangor mangkat di Kuala Selangor.
SELANGOR YANG KETIGA-SULTAN MUHAMMAD SHAH (1826-1857)
Oleh: Mohd Faizul bin Mohd Yusuf A127575
Kemangkatan Sultan Selangor kedua iaitu Sultan Ibrahim telah menimbulkan pelbagai pertikaian yang berlaku dalam kalangan kaum kerabat diraja. Pelantikan Sultan Muhammad Shah berdasarkan keturunan dan sebelum menjadi sultan baginda merupakan Raja Muda Selangor. Oleh kerana baginda bukan anak daripada isteri pertama Sultan Ibrahim, namun Raja Muhammad pernah menjadi Raja Muda Selangor oleh itu baginda telah diangkat menjadi sultan Selangor ke-3 oleh orang-orang besar Selangor. Ini menunjukkan Raja Selangor boleh dipilih daripada keturunan isteri kedua.
Pemerintahan Sultan Muhammad Shah begitu berbeza dengan sultan sebelumnya kerana baginda merupakan seorang sultan yang begitu lemah pentadbirannya dan juga lemah dalam mencari perhubungan yang baik antara orang-orang besar Selangor dengan raja-raja Selangor yang lain. Ketika pemerintahannya juga banyak berlakunya masalah sosial yang melibatkan anak-anak raja. Daerah seperti Bernam, Lukut, Kelang, Langat dan Kuala Selangor telah mengalami kekacauan. Anak-anak raja dan orang-orang besar secara suka hati melakukan pemerasan cukai terhadap rakyat sehinggakan sering berlakunya rompakan di merata-rata tempat.
Pada 1836, Sultan Muhammad Shah telah mengisytiharkan daerah Lukut menjadi kawasan pemerintahan kerajaan Selangor dan ketika itu rakyat tidak membantah pengisytiharan tersebut. Politik yang lemah oleh Sultan Muhammad Shah dapat dilihat ketika baginda sendiri telah membuka perusahaan melombong bijih timah di Sungai Kelang. Baginda gagal dalam mencari keuntungan daripada perusahaan tersebut dan baginda mempunyai hutang yang banyak dengan saudagar Eropah dan taukeh Cina di Melaka serta diancam hendak ditangkap. Hal ini juga menunjukkan Sultan Muhammad Shah mempunyai sikap yang tidak bersedia dengan apa-apa musibah atau kemungkinan contohnya risiko mengalami kerugian. Hutang tersebut telah dijelaskan oleh pemerintah Lukut iaitu Raja Juma’at.
Sultan Muhammad Shah juga telah gagal memilih orang sesuai, layak dan berkebolehan dalam mentadbir daerah jagaan baginda iaitu semasa menyerahkan daerah Lembah Sungai Kelang kepada Raja Sulaiman putera sulung baginda. Hal ini kerana Raja Sulaiman tidak bersungguh-sungguh mendapatkan hasil yang banyak daripada daerah tersebut. Semasa pemerintahan baginda juga, telah berlaku pertelingkahan antara anak-anak baginda iaitu Raja Sulaiman, Raja Yusuf, dan Raja Uthman bagi merebut jawatan Raja Muda Selangor. Keika itu juga Sultan Muhammad Shah tidak dapat menyelesaikan perebutan antara anak-anak baginda.
Sultan Muhammad Shah dilihat suka menyerahkan kawasan jagaan baginda kepada kerabat diraja Selangor dan bukannya dimajukan oleh baginda sendiri. Contohnya daerah Kelang telah diberikan kepada Raja Abdullah untuk dimajukan. Selain itu baginda juga bersikap suka meminjam wang yang banyak sehingga tidak mampu untuk dijelaskannya.
SULTAN SELANGOR KEEMPAT – SULTAN ABDUL SAMAD (1859-1898)
Oleh: Chan Kah Yen A127574
Selepas Sultan Muhammad Shah mangkat, Raja Abdullah dan Raja Jumaat melantik Raja Abdul Samad sebagai sultan pada 1859. Ini kerana pada masa itu, Raja Mahmud iaitu putera kepada Sultan Muhammad Shah yang sepatutnya mengantikan taktah ayahandanya masih kecil. Semasa zaman pemerintah Sultan Abdul Samad, negeri Selangor dibahagi kepada dua kumpulan orang Melayu, iaitu orang Melayu keturunan Bugis dan orang Melayu keturunan Sumatera.
Orang Melayu keturunan Bugis menetap di sebelah pantai laut negeri Selangor. Antara orang-orang Melayu Bugis ialah Raja Abdullah yang berkuasa di Kelang, Sultan Abdul Samad yang berkuasa di Langat, dan putera baginda Raja Musa yang berkuasa di Kuala Selangor. Manakala orang Melayu keturunan Sumatera menetap di kawasan darat seperti Kuala Lumpur, Ampang, Cheras dan Kajang. Orang Melayu Bugis yang menguasai kawasan pinggir sungai mengenakan cukai yang tinggi kepada orang Melayu Sumatera semasa mereka membawa barang dagang keluar dan masuk di muara sungai negeri Selangor, terutamanya di Sungai Kelang. Oleh itu, hubungan antara orang Melayu Bugis dengan orang Melayu Sumatera adalah tegang dan peperangan sering berlaku di antara kedua-dua kumpulan tersebut.
Pada tahun 1866, pertelingkahan antara orang Melayu Bugis dan orang Melayu Sumatera berlaku. Wakil orang Melayu Bugis iaitu Suliwatang dan Wak Si-Galah adalah orang-orang Raja Abdullah telah bertikam-tikam dengan orang Melayu Sumatera yang dibawah kepimpinan Muhammad Akib dan adiknya, Nonggok. Dalam pertempuran tersebut, bilangan oang Melayu Bugis lebih ramai daripada orang Melayu Sumatera dan Panchik Rasul, iaitu salah seorang daripada orang Melayu Sumatera terkorban dan ramai orang Melayu Bugis mengalami kecederaan akibat ditikam oleh Nonggak.
Raja Abdullah tidak setuju untuk membayar ganti-darah atas kematian Panchik Rasul kepada pihak orang Melayu Sumatera. Oleh itu, Muhammad Akib sanggup berkhidmat kepada Raja Mahdi untuk bersama-sama menentang Raja Abdullah. Raja Mahdi mendapatkan bantuan dari segi bentuk wang, bedil, ubat bedil dan senjata dari seorang taukeh di Melaka yang bernama Bao Tek Cheng. Selain itu, Raja Mahdi juga mendapatkan bantuan daripada Bendahara Wan (Tun) Mutahir Pahang. Maka Raja Mahdi secara langsung melibatkan diri dalam peperangan di antara orang Melayu Bugis dengan orang Melayu Sumatera. Maka berlakulah perang saudara di antara pihak Raja Abdullah dengan pihak Raja Mahdi.
Sebelum Raja Mahdi menyerang Raja Abdullah, Raja Abdullah telah membawa isterinya bertolak ke Melaka dan kedua-dua orang putera baginda, iaitu Raja Ismail dan Raja Hasan tinggal di Kelang bagi berperang dengan pihak Raja Mahdi. Dalam satu pertempuran, Muhammad Akib ditembak mati dan kedudukannya diganti dengan adiknya, iaitu Nonggak.
Dalam peperangan itu, pihak Raja Abdullah mengalami kekalahan. Raja Hasan, putera Raja Abdullah berundur ke Melaka kerana baginda mengalami kecederaan akibat ditembak. Manakala Raja Ismail yang berada di Kelang dicatu makanan oleh pihak Raja Mahdi mahupun Raja Abdullah yang berada di Melaka menghantar makanan melalui 3 atau 4 kapal kecil. Akibat kekurangan makanan, banyak orang-orang Raja Ismail melarikan diri dan Raja Ismail menyerah kalah serta meminta Raja Mahdi melepaskannya. Baginda menaiki kapal yang dikenali “Gajah Tungga” pergi bertemu dengan ayahandanya. Raja Mahdi pun mula berkuasa di Kelang. Baginda tidak mahu membayar cukai kepada Sultan Abdul Samad atas hasil kutipan yang diperolehi daripada kawasan Kelang.
Pada 26 Jun 1868, wujud seorang putera sultan Kedah melibat diri dalam politik di Selangor. Beliau ialah Tengku Kudin, iaitu merupakan menantu kepada Sultan Abdul Samad. Beliau dilantik oleh Sultan Abdul Samad menjadi Wakil Yamtuan pada tarikh tersebut. Perlantikan tersebut ditentang oleh putera-putera Sultan Abdul Samad dan Raja Mahdi.
Oleh kerana mendapat pelbagai tentangan daripada putera-putera Sultan Abdul Samad dan Raja Mahdi, pada tahun 1868, Tengku Kudin balik ke Kedah sementara untuk mengumpulkan orang-orangnya bagi mengukuhkan kedudukan beliau yang merupakan Wakil Yamtuan. Dalam usaha itu, Tengku Kudin berjaya membawa 500 orangnya serta pahlawan-pahlawan dari Kedah .
Pada tahun 1869, Raja Ismail membawa angkatannya daripada Melaka untuk menyerang Kuala Selangor dan berjaya menawan kubu itu. Raja Ismail bergabung dengan Tengku Kudin untuk menyerang Raja Mahdi yang berada di Kelang. Pada Mac tahun 1870, Raja Mahdi akhirnya menyerah kalah kerana kekurangan makanan dan adanya anak buahnya yang tidak tahan terhadap keadaan yang lapar lalu melarikan diri. Kekalahan Raja Mahdi kali ini menamatkan perang antara pihak orang Melayu Bugis yang berkerjasama dengan Tengku Kudin untuk menentang pihak Raja Mahdi.
Pada 6 Februari tahun 1898, Sultan Abdul Samad telah mangkat pada pukul 10.45 pagi. Baginda mangkat semasa berusia 93 tahun. Ini menunjukkan bahawa baginda telah berkerajaan selama 39 tahun.
SULTAN YANG KELIMA-SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH (1898-1938)
Oleh: Mohd Faizul bin Mohd Yusuf A127575
Sultan Alauddin Sulaiman Shah secara rasminya telah ditabalkan dan dimahkotakan sebagai Sultan Selangor di Kelang dengan majlis adat istiadat dan keramaian.
Semasa awal pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, kawasan negeri Selangor adalah masih berhutan dan belum lagi dibuka. Setelah lama memerintah, baginda telah memajukan negeri Selangor dengan mendirikan rumah kedai, bangunan rumah batu, jalan kereta api, jalan raya dan beberapa buah pekan di negeri tersebut.
Baginda telah dilantik menjadi Yang Dipertuan bagi Majlis Mesyuarat Negeri Selangor. Semasa menjawat jawatan tersebut, baginda telah berusaha dengan bersungguh-sunguh untuk memajukan orang melayu seperti berkebun, pertukangan tangan dan ajaran agama Islam. Baginda juga sering berkhutbah di dalam masjid ketika solat jumaat dan dikatakan alim dalam ilmu agama. Baginda juga telah menubuhkan (pasukan volunteer) Melayu dengan wangnya sendiri.
Pada 1920, Sultan Alauddin Sulaiman Shah telah melantik anak baginda, Tengku Musauddin menjadi Raja Muda Selangor. Baginda juga telah melantik putera baginda yang ke-3, Tengku Alam Shah menjadi Tengku Panglima Raja Selangor.
SULTAN SELANGOR KEENAM – SULTAN HISAMUDDIN ALAM SHAH (1938-1942) DAN (1945-1960)
Oleh: Chan Kah Yen A127574
Sultan Hisamuddin Alam Shah ditabalkan dan dimahkotakan di Istana Mahkota Puri Kelang sebagai sultan pada 26 Januari 1939. Baginda juga merupakan seorang sultan berketurunan Bugis. Ini bermakna orang Bugis terus menguasai kedudukan pemerintah di negeri Selangor.
Pada 11 Januari 1942, Jepun menduduki Kuala Lumpur. Selepas berkuasa di negeri Selangor, pihak Jepun memecat jawatan Sultan Hisamuddin Alam Shah dan digantikan dengan Tengku Musauddin.
Selepas Jepun menyerah kalah kepada tentera British pada September 1945, Tengku Musauddin diturunkan balik jawatannya sebagai sultan dan pihak British menaik semula Sultan Hisamuddin Alam Shah sebagai sultan negeri Selangor. Tengku Musauddin dibenarkan mendiami rumahnya sendiri dan diberi gelaran Tengku Kelana Jaya Putera dengan menerima wang elaun politik sebanyak 1000 tiap-tiap bulan dan ditambahkan 250 tiap-tiap bulan sebagai putera sulung almarhum Sultan Selangor.
SULTAN YANG KETUJUH-SULTAN MUSA GHIATHUDDIN RIAYAT SHAH (1942-1945)
Oleh: Mohd Faizul bin Mohd Yusuf A127575
Pemerintahan sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah (Tengku Musauddin) ialah semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu iaitu pada tahun 1942-1945. Pelantikan sultan ini atas kemahuan pemerintah Jepun. Jepun telah memecat kekanda Sultan Musa iaitu sultan Selangor sebelum ini Sultan Hisamuddin Alam Shah. Sultan Hisamuddin Alam Shah telah diminta oleh Gabenor Jepun untuk membantu kekandanya Tengku Musauddin.
Pertabalan raja keturunan Bugis ini diadakan di Kelang dengan adat istiadat dan keramaian yang dihadiri oleh pegawai-pegawai tentera Jepun di Istana Mahkota Kelang.
Namun, pentadbiran Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah bukanlah seperti biasa sebagaimana raja-raja Selangor terdahulu kerana ketika itu pemerintah Jepun adalah berkuasa penuh. Baginda ketika itu langsung tidak mempunyai kuasa ke atas negeri Selangor. Kesan daripada tindakan Jepun itu, baginda telah menumpukan perhatiannya bagi menjaga kepentingan kaum kerabatnya. Baginda telah membahagi-bahagikan wang penerimaan dari pemerintah Jepun kepada kaum kerabat keturunan Bugis itu. Baginda juga telah menerima kupon daripada Jepun dan kupon tersebut juga telah diberikan kepada kerabat baginda. Kupon tersebut merupakan sebagai medium bagi mendapatkan kain dan barang makanan. Ketika pendudukan Jepun, barang makanan dan pakaian adalah sukar untuk didapati.
SULTAN SELANGOR KELAPAN, SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH (1960-2001)
Oleh: Chan Kah Yen A127574
Menteri Besar Selangor pada masa itu, iaitu Dato Abu Bakar Bin Baginda, bagi pihak raja-raja dan orang besar Selangor mengumumkan Raja Muda Selangor Raja Abdul Aziz dinaikkan menjadi Sultan Selangor dengan gelaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
SULTAN SELANGOR KESEMBILAN, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL-HAJ (2001-KINI)
Oleh: Chan Kah Yen A127574
Sultan Sharafuddin Idris Shah lahir pada 24 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang, hasil pernikahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan Raja Nor Saidatul Ehsan Tengku Badar Shah. Baginda belajar di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada tahun 1950 dan seterusnya di St. John's Institution, Kuala Lumpur. Baginda melanjutkan pelajaran di Hale School di Perth, Australia pada tahun 1960. Seterusnya, baginda belajar di Kolej Langhurst di Surrey, Britain pada tahun 1964. Baginda pernah menjadi pegawai di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan pejabat Polis Kuala Lumpur.
Pada 3 September 1960, baginda dilantik menjadi Raja Muda Selangor ke-8 . Tetapi majlis pertabalan diadakan pada 1970 di Istana Alam Shah, Klang. Pada 24 April 1999, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor berikutan ayahandanya dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11. Baginda menjadi Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia pada 27 Ogos 1998. Pentauliahan ini kerana disebabkan baginda berjaya mengelilingi dunia selama 644 hari mulai 4 Februari 1995 dengan menaiki kapal layar peribadinya, Jugra. Kisah pelayaran ini disiarkan secara bersiri dalam Mingguan Malaysia. Baginda meminati bidang pelayaran sebagaimana ahli pelayaran Islam dari Afrika bernama Al Idrisi. Pada 1997 baginda mengembara 16,000 km dari Beijing ke Paris dengan kereta antik, Ford model B. Oleh itu baginda diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records.
BUGIS DI MELAKA DAN SELAT MELAKA
Oleh: Siti Rohani bte Mohd Ali A126771
Antara pedagang Melayu yang gigih dan tabah mempertahankan kedudukan ketuanan Melayu di Nusantara adalah pedagang Bugis. Pedagang Bugis adalah golongan yang mempunyai sikap yang baik sehingga mereka disanjung oleh pedagang Eropah dan membuat mereka sentiasa dihormati sebagai pedagang Melayu Nusantara yang bukan sahaja bijak berniaga tetapi juga jujur dalam perniagaan.
Setelah pusat perdagangan Bugis di Makasar telah ditawan oleh pihak Belanda, kebanyakan mereka telah berpindah ke sebelah barat dunia Melayu dan membuka pusat perdagangan yang baru untuk menyambung semula kekuatan mereka berdagang. Antara pelabuhan perdagangan yang menjadi tumpuan orang Bugis ialah di utara Pantai Jawa, Pulau Borneo, Kerajaan Thailand di Ayuthia dan tempat lain di Selat Melaka. Semasa di Selat Melaka, pedagang Bugis telah berjaya membina semula jaringan perdagangan serta kekuatan baru yang akhirnya membawa kepada perubahan besar kepada sejarah kerajaan Melayu Johor di Riau. Catatan, rekod dokumen Melayu Johor, selain dapat mentadbir pelabuhan Riau sehingga menjadi pelabuhan utama di Asia Tenggara ( Raja Ali Haji; Andaya 1975 ).
Kekuatan yang ada pada pedagang Bugis adalah pemikiran yang tertanam di jiwa mereka seperti yang tercatat dalam hikayat lama dan kisah pelayaran mereka. Ketokohan dan kepahlawanan mereka telah ditunjukkan pada tokoh tempatan Bugis, Sawerigading yang tercatat dalam sastera sejarah La Galigo ( Kern 1993 ). Karya sastera sejarah ini menunjukkan kekuatan selain memberi panduan kepada orang Bugis untuk membina kehidupan di perantauan. Cerita Bugis Kuno itu juga mempunyai tradisi lisan. Cerita kepahlawanan serta pelayaran Sawerigading ini telah memberi kekuatan kepada pedagang Bugis untuk muncul sebagai bangsa yang berhemah tinggi, tekun dan tahan menghadapi dugaan dalam hidup. Pengembaraan dan kekuatan Sawerigading di merata tempat telah menjadi lambang jati diri pedagang Bugis. Ketokohan watak itu menunjukkan pemikiran orang Bugis yang mementingkan jati diri dan kekuatan moral. Sifat serta ketokohan Sawerigading itu telah menjadi asas kepada daya usaha serta keperibadian yang tinggi seperti yang ditunjukkan oleh pedagang Bugis yang telah melayari perairan Nusantara untuk berdagang.
Satu lagi konsep yang telah memberi kekuatan kepada pelayar serta pedagang Bugis ialah konsep siri dan pesse ( Andaya 1981; Moh Yahaya Mustafa 2003 ). Siri adalah konsep dalam budaya orang Bugis. Ia berkaitan idea dan falsafah tentang kekuatan jati diri dan unsur malu. Konsep malu itu juga berkaitan maruah dan harga diri. Orang Bugis yang tidak mempunyai siri boleh menyebabkan mereka membunuh diri demi menyucikan diri dan menebus martabat dirinya. Perbidalan Bugis sering memberi ingatan tentang kekuatan harga diri yang boleh dikukuhkan dengan kata-kata seperti “ lebih baik mati demi mempertahankan siri dibandingkan dengan sebuah kehidupan yang tidak memiliki siri ”. Berbekalkan konsep inilah pedagang Bugis telah menjadi pedagang yang disegani serta dipandang tinggi di Dunia Melayu. Konsep harga diri ini telah menjadikan siri sebagai pedoman dalam hidup mereka sekaligus membentuk mereka menjadi pedagang yang dikagumi kerana mempunyai kekuatan serta harga diri yang tinggi dan jujur dalam segala tindak tanduk.
Pesse pula adalah kepercayaan yang berteraskan kesatuan rohani pada individu ( Moh Yahaya Mustafa 2003 ). Asal usul dan kekuatan yang ada dalam konsep ini berteraskan persaudaraan yang ada. Kekuatan ikatan persaudaraan itu dianggap sangat penting demi membela dan memperkukuhkan komuniti mereka. Bila teman menghadapi kesulitan dan sakit, kesusahan ini ditanggung bersama. Unsur ini telah memberi kekuatan yang kuat kepada orang Bugis untuk mengingati mereka tentang asal usul mereka serta memberi ikatan kesatuan kepada mereka. Sehubungan itu, unsur pesse juga telah memberi kekuatan kepada pedagang untuk bersatu padu dan memberikan kekuatan untuk mereka membina kehidupan. Konsep pesse ini sebenarnya adalah tradisi tentang pentingnya semangat gotong royong dalam budaya Melayu ( Moh. Yahya Mustafa 2003). Kekuatan inilah yang meniupkan semangat kental kepada pedagang Bugis untuk menguasai dan membina jalinan perdagangan dari timur ke barat di Kepulauan Melayu.
Penguasaan pedagang Bugis ke atas jaringan perdagangan di gugusan kepulauan Melayu-Indonesia telah tercatat dalam dokumen Portugis, Belanda serta Inggeris (Nordin Hussin 2006; Lewis 1977 ). Ia terbukti dari laporan yang menyatakan bahawa merekalah pedagang yang melayari Laut Jawa, Kepulauan Borneo, Kepulauan Rempah serta Selat Melaka. Selain perdagangan, mereka juga membuat penempatan di banyak tempat serta pelabuhan, antaranya di Jawa, Riau, Borneo, Melaka, Siak, Pulau Pinang, negeri-negeri Melayu ( Nordin Hussin 2006; Knaap 1996 ). Sementara itu, kekuatan lain orang Bugis adalah tenaga fizikal dan kepandaian mereka mengurus serta berniaga dan telah menjadikan mereka sebagai peniaga yang dihormati dalam kalangan pedagang Eropah (Cortesao 1944).
Sejak dahulu lagi, di sepanjang Selat Melaka telah didirikan kerajaan yang telah menguasai perdagangan Samudera ( Wolters 1970; Kathirithamby-Wells & Villiers 1990 ). Selain Srivijaya yang berpusat di Palembang yang telah menguasai perdagangan di selat itu, banyak kerajaan lain yang muncul lebih awal. Antaranya ialah Kedah Tua, Kerajaan Beruas dan disusuli oleh Melaka, Pasai, Perlak dan Aceh. Kesemua kerajaan itu bergantung kepada perdagangan yang melibatkan pelabuhan yang dikunjungi oleh pedagang dari dekat dan jauh. Namun, kajian yang jelas tentang pedagang Bugis serta orang Bugis yang datang dan menetap di wilayah ini hanya jelas kelihatan selepas tahun 1720-an ( Raja Ali Haji 1982; Vos 1993 ).
Sebelum tahun 1720-an, kedatangan pedagang Bugis ke Melaka, Aceh dan pelabuhan lain di Selat Melaka tidak mendapat banyak perhatian pengkaji sejarah. Kekurangan kajian tentang kehadiran mereka ini tidaklah bererti mereka tidak mengetahui adanya pusat-pusat perdagangan yang penting di wilayah ini. Semangat serta keperwiraan orang Bugis sangat terserlah. Mereka telah melayari Selat Melaka untuk berdagang di pelabuhan di sebelah barat Kepulauan Melayu. Catatan tentang mereka yang menjalankan perdagangan di Melaka telah dicatat pertama kali oleh Pires yang tiba di Melaka pada abad ke-16. Dalam cacatannya, Pires mengagumi kepandaian serta kejujuran pedagang Bugis yang membawa pelbagai barangan seperti beras dan emas dari sebelah timur Kepulauan Melayu. Dari Melaka mereka membawa pulang kain dari Gujerat, Bengal dan Koromandel dan barang lain, termasuk benzin dan kemenyan.
Pires juga mencatatkan orang Bugis mempunyai susuk tubuh yang tegap dan bersifat pahlawan kerana gagah, kuat, tampan dan menuturkan bahasa Bugis. Penulis dan pencatat Eropah masa itu kurang mengetahui wilayah asal usul orang Bugis. Oleh itu, mereka sering dikaitkan dengan wilayah yang dikuasai kegiatan lanun . Namun, kepintaran dan kehebatan pedagang Bugis sering dilihat oleh pedagang Eropah di pelabuhan seperti Pegu di Burma, Junk Ceylon di Siam, pelabuhan di Pantai Utara Pulau Jawa, pelabuhan di sepanjang pantai di Sumatra dan Semenanjung Tanah Melayu.
Oleh kerana kegiatan pedagang Bugis amat menonjol berbanding dengan pedagang lain, maka gerak geri mereka telah diawasi lalu dicatatkan. Kegiatan dan tabiat pedagang Bugis seperti yang dicatatkan Pires semasa beliau berada di Melaka adalah:
These men in these islands are greater thieves than any in the world, ang they are powerful and have many paraos. They sail about plundering, from their country up to Pegu, to the Moluccas and Banda, and among all the islands around Java; and they take women to sea ( Cortesao 1944)
Cacatan Pires di atas menunjukkan orang Bugis pandai membina kapal dagang yang dapat melayari kepulauan Rempah ke Burma. Tetapi kenyataan Pires juga janggal apabila beliau menyatakan pedagang Bugis berlagak sebagai “pencuri”. Ini mungkin disebabkan kepintaran mereka berniaga sehingga berjaya dalam semua urusan jual beli, lebih-lebih lagi kepintaran itu tidak dapat ditandingi oleh pedagang Eropah. Selain itu, kekuatan pedagang Bugis juga terletak pada kekuatan Armada perkapalan mereka yang dapat melayari segenap pelabuhan di Dunia Melayu. Cacatan lain dalam laporan Eropah tentang pedagang Bugis ialah mereka sering membawa isteri dalam pelayaran, sedangkan ia jarang dilakukan. Hal ini besar kemungkinannya disebabkan mereka sering belayar dan berdagang di merata tempat selama berbulan-bulan. Keadaan ini berlainan sekali dengan pedagang Eropah yang tidak membawa wanita dalam pelayaran. Pires mendapati ia sangat janggal lagipun tidak dilakukan oleh pedagang Eropah dan telah mencatatkan kelainan yang menjadi pemerhatiannya. Begitu juga dengan kenyataan Pires di bawah ini yang amat janggal dengan kenyataannya.
They have fairs where they dispose of the merchandise they steal and sell the slaves they capture. They run all round the Island of Sumatra. They are mainly corsairs. The Javanese call them Bugis and the Malays call them this and Celates. They take their spoils to Jumaia (?) which is near Pahang, where they sell and have a fair continually ( Cortesao 1944 ).
Laporan Pires yang menyatakan mereka sebagai lanun yang mencuri dan menangkap orang untuk dijual serta dijadikan hamba itu amat janggal. Lebih menghairankan lagi ialah Pires menyatakan mereka telah membawa barangan rampasan untuk dijual di Jumaia, dekat Pahang. Laporan Pires juga amat kabur bila menyebut orang Bugis mewujudkan pusat penjualan seperti pasar untuk menjual hasil rampasan mereka. Di mana terletaknya pasar itu tidak dinyatakan. Jumaia yang disebut dalam laporan Pires itu bukan sahaja kabur, tetapi juga tidak ada cacatan sekarang di mana-mana. Ada kemungkinan orang yang diperhatikan Pires itu bukan orang Bugis dan beliau tersilap. Pemerhatian Pires itu bertentangan sekali dengan kenyataannya tentang orang Bugis serta laporan pengembara lain tentang orang Bugis.
Sehubungan itu, terdapat dua kategori pedagang Bugis dalam pemerhatian Pires iaitu orang Bugis yang melanun dan merompak serta orang Bugis yang beradab dan mempunyai jati diri yang unggul. Laporan orang Eropah lain tidak banyak menyebut tentang orang Bugis yang hidup melanun dan merompak. Kebanyakan mereka yang melakukan itu terdiri daripada orang Bugis yang mendiami tempat di Selat Melaka dan bukan yang tinggal serta menetap di Celebes. Perkara ini masih diperdebatkan, maka menuntut penyelidikan yang lebih lanjut. Namun, yang pasti daripada laporan Pires adalah orang Bugis yang tidak merompak dan melanun. Kebanyakan mereka menggunakan kapal penjajah untuk membawa hasil dagangan. Pires juga menyatakan lanun dan perompak laut tidak berani mencabar kapal mereka kerana kekuatan yang dimiliki oleh pedagang Bugis. Oleh itu, amat janggal bila Pires menyebut terdapat lanun dalam kalangan mereka ini:
Those who do not carry on this kind of robbery come in their large well-built pangajavas with merchandise. They bring many foodstuffs: very white rice; they bring some gold. They take bretangis and cloths from Cambay and a little from Bengal and from the Klings; they take black benzoin in large quantities, and incense. These islands have many inhabitants and a great deal of meat, and it is a rich country. They are wear krises. They are well-built men. They go about the world and everyone fears them, because no doubt all the robbers obey these with good reason. They carry a great deal of poison ( ed weapons )and shootnwith them. They have no power against thye junks which call all defend themselves, but every ship in the country they have in their hands ( Cartesaon1944 ).
Daripada petikan di atas, ternyata sifat utama yang ditonjolkan Pires tentang pedagang Bugis adalah kepahlawanan, keberanian, kegagahan dan kepintaran mereka berniaga dengan jujur. Kejujuran adalah sifat yang amat disenangi semua peniaga dan pedagang. Selain itu, kepahlawanan serta kegagahan adalah sifat yang amat diperlukan terutamanya ketika laut penuh dengan lanun, berlaku rampasan kapal dan barang dagangan. Kesemua sifat itu dipuji tinggi, malah menjadi asset kepada pedagang Bugis. Selain itu, kepandaian orang Bugis belayar dan membina kapal yang kukuh mengharungi lautan yang bergelora dan menempuhi perjalanan yang jauh. Pendek kata, pembuatan kapal di Makasar telah membuat orang Bugis sebagai pedagang yang dapat menguasai pelayaran di Nusantara, timur dan barat.
Barangan yang dibawa oleh pedagang Bugis ditunggu oleh pedagang lain di sebelah barat Nusantara. Hasil Mahsul hutan, laut dan bahan galian serta makanan yang dibawa ke Melaka. Pelabuhan lain di Selat Melaka sering ditunggu oleh pedagang dari Eropah, India dan China. Hasil galian, termasuk emas yang dibawa dari Borneo, rempah ratus dari Kepulauan Rempah, hasil laut seperti gamat atau tripang dan bahan ubatan amat diperlukan oleh pedagang dari China. Peranan yang dimainkan oleh pedagang Bugis amat luas antaranya mereka mengumpul barangan dari timur Nusantara untuk dibawa ke Selat Melaka serta mengedar barangan dari Selat Melaka ke wilayah lain di seluruh Nusantara. Peranan itu bukan sahaja penting, tetapi juga menjadi tunggak kepada aliran pemasaran barangan serta pengumpulan barangan. Sehubungan itu, pedagang Bugis dengan sifat serta keperibadian mereka yang baik seperti yang diperhatikan Pires itu telah menarik hati ramai pedagang yang berurusan dengan mereka.
Penawanan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511 tidak beerti semua pedagang Bugis telah terkorban. Sebaliknya, mereka telah memindahkan pusat persinggahan ke tempat lain di Selat Melaka. Acheh yang berkembang menjadi kerajaan yang penting dan pusat perdagangan utama di utara Sumatera itu telah berkembang menjadi pusat rangkaian perdagangan Bugis, selain pelabuhan kecil seperti Pasai, Pedir dan Indragiri. Kejatuhan Melaka telah membawa kepada penubuhan pusat pemerintahan serta pelabuhan baru yang dibina oleh jurai kesultanan Melaka. Akhirnya telah dibuka pelabuhan Riau dan pusat pemerintahan yang baru bagi Kerajaan Johor- Riau. Tahun 1699 juga membawa erti yang besar kepada kerajaan Johor- Riau dengan berlakunya peralihan takhta dan jurai keturunan kerajaan Johor- Riau. Perlantikan Bendahara menggantikan Sultan yang dibunuh telah membawa pelbagai masalah berkaitan takhta. Keadaan ini telah mengakibatkan kekacauan yang telah membawa perubahan besar kepada kerajaan Johor- Riau. Ini termasuk penawanan Makasar dan pengusiran kerajaan Bugis oleh Belanda yang memaksa mereka mencari tempat lain untuk membentuk kerajaan baru. Di tengah-tengah kekacauan itu, keturunan diraja Bugis telah masuk secara formal ke dalam keluarga diraja Melayu. Tahun 1720-an menjadi titik peralihan yang penting kerana berlakunya percampuran antara keluarga diraja Melayu dan Bugis dalam kerajaan Johor- Riau ( Raja Ali Haji 1982; Vos 1993 ).
Kehadiran orang Bugis telah mengubah corak dan keadaan di Riau. Kepintaran mereka mentadbir dan berdagang telah membawa kepada kemunculan Riau sebagai pusat pelabuhan utama dan penting menggantikan Melaka. Kecekapan pentadbir Bugis telah meletakkan Riau menjadi pusat persinggahan kapal dari barat, timur dan Kepulauan Melayu. Keunggulan perdagangan Melayu di kerajaan Johor yang dahulunya dimajukan oleh Laksamana Paduka Raja telah diambil alih oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja. Riau telah menjadi pelabuhan penting di Selat Melaka dan Dunia Melayu. Kapal dari timur, barat dan Nusantara telah singgah di pelabuhan tersebut. Ia juga telah menjadi pelabuhan singgahan utama bagi kapal Inggeris yang berulang alik di antara India dan China. Kebanyakan barang yang diperlukan oleh pedagang Eropah, India, China dan Melayu mudah diperolehi di pelabuhan Riau.
Petikan di bawah ini menggambarkan Riau di bawah pentadbiran Bugis setelah ia menjadi pusat perdagangan yang unggul di Asia Tenggara:
To continue the story of the Yang Dipertuan Muda Daeng in Riau. He devoted himself solely to extending Riau’ s trade. Several trading perahu came from distant places, and scores of keci came from Bengal, bringing goods from there; scores of wangkang arrived from China with green or red bows; scores of tob came fron Siam bringing Siamese goods; and as well as these, perahu from Java. There were scores of selub, senat, tiang sambung, and pencalang from Bugis lands, pedewakan as well as perahu from the outlying territories, crammed like sardines in the Riau River from the estuary to Kampung China. Goods from China competed with those from Java, and Javanese goods competed with those from Riau., such as gambier, and there were numerous Chinese merchants as well as locally born Bugis merchants. During this period there were many wealthy people in the country ( Raja Ali Haji 1982 ).
Kehadiran orang Bugis dalam urusan kerajaan Johor- Riau telah merancakkan perkembangan ekonomi, selain mengukuhkan pengaruh Bugis dalam kerajaan Melayu. Perkembangan ini boleh dilihat pada pembentukan kesultanan Bugis di Selangor selain aktiviti di Perak, Kedah dan sepanjang pantai Timur Sumatera, terutamanya di Inderagiri, Siak dan Minangkabau. Kegiatan mereka berteraskan perdagangan dan pentadbiran kerajaan. Pedagang Bugis juga penting kepada Melaka semasa dikuasai oleh pihak Belanda. Dari tahun 1780 hingga 1783, sebanyak 178 buah kapal Bugis telah singgah di Melaka ( Nordin Hussin 2001 ). Kemajuan Riau semasa diperintah oleh keluarga Daeng Lima Bersaudara juga menjelaskan tentang sifat dan jati diri orang Bugis. Sifat kepahlawanan, kejujuran dan disiplin orang Bugis telah diterap sebagai nilai pentadbiran kerajaan Johor- Riau. Kemajuan pelabuhan Riau di era pentadbiran Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja itu disambung oleh Yang Dipertuan Muda Raja Haji sehingga ditawan oleh pihak Belanda pada tahun 1784 ( Vos 1993 ). Riau bukan sahaja maju dari segi perdagangan, tetapi juga telah berkembang menjadi pemikiran Melayu.
Peranan pedagang Bugis di Melaka pada zaman Belanda dan Inggeris kelihatan dalam banyak laporan ( Nordin Hussin 2001 ). Melaka bukan sahaja pusat pengeluaran barangan untuk diperdagangkan, tetapi juga menjadi pusat pengedaran barangan yang dibawa dari tempat lain di Nusantara. Pedagang Bugis telah membawa barangan dari tempat lain ke Melaka. Setelah pelabuhan Riau ditawan Belanda, pedagang Bugis telah membina jaringan perdagangan mereka di keseluruhan pelabuhan di Selat Melaka dan Nusantara. Antaranya adalah Siak, Selangor, Pahang, Asahan, Indragiri, Aceh dan Pulau Pinang ( Nordin Hussin 2006 ).
Sebelum Riau jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1874, ramai pedagang Bugis yang aktif berdagang di Melaka itu datang dari Riau dan Selangor ( Nordin Hussin 2006 ). Mereka sering membawa kapal padowakang dan pantjallang ( Nordin Hussin 2006 ). Dari laporan tentang kapal yang keluar masuk di pelabuhan Melaka, kapal dagang yang paling kerap bersinggah di Melaka adalah kepunyaan pedagang Melayu dan Eropah dengan diikuti oleh pedagang Bugis, Cina Melayu- Melaka dan Cina- Melaka ( Nordin Hussin 2006 ). Pedagang Eropah yang ramai sekali adalah orang Inggeris dari Syarikat India Timur Inggeris dan syarikat swasta Inggeris. Sementara itu, pedagang Melayu yang datang ke Melaka telah mencatatkan peratus yang tertinggi iaitu sebanyak 42% daripada jumlah keseluruhan pedagang yang mendatangi Melaka pada tahun 1780/1782, walaupun angka itu jatuh kepada 37% pada tahun 1791/1793. Selain itu, pedagang Bugis yang telah mencatat kedatangan sebanyak 15% dalam tahun 1780/1782 itu merosot kepada 10% dalam tahun 1791/1793. Pedagang Bugis itu dari Riau. Selepas perang antara Belanda dan Bugis di Riau pada tahun 1784, pedagang Bugis telah berpindah ke pelabuhan di Selangor, Terengganu, Trantan dan Tembelan. Selepas tahun 1790-an, banyak daripada mereka datang dari Selangor, Terengganu dan Trantan. Laluan perdagangan yang sering mereka gunakan adalah Riau, Melaka dan Selangor. Mereka membawa kain Bugis, sarang burung, emas, hamba dan hasil laut yang kebanyakannya dari Borneo. Kadang kala mereka datang tanpa membawa barang, tetapi telah membawa pulang kain dari India yang dibeli di Melaka untuk dipasarkan di merata-rata pelabuhan di Dunia Melayu.
Setelah Pulau Pinang dibuka oleh Inggeris pada tahun 1786, kemajuannya di peringkat awal bergantung sepenuhnya pada pedagang Melayu dan Bugis ( Nordin Hussin 2001 & 2005 ). Oleh sebab Pulau Pinang tidak mempunyai bahan mentah untuk dijual, orang Inggeris terpaksa bergantung sepenuhnya pada pedagang Melayu dan Bugis untuk membawa hasil pertanian seperti rempah, lada hitam, hasil hutan, hasil laut dan galian, termasuk bijih timah dan emas. Sehubungan itu, pedagang Melayu dan Bugis telah menarik pedagang dari India dan China untuk ditukarkan barang mereka. Peningkatan perdagangan itu telah membawa kepada peningkatan kapal dagang dari India dan China ke Pulau Pinang.
Oleh sebab penguasaan Inggeris di Melaka serentak dengan peperangan Napoleon di Eropah, pihak Inggeris telah memaksa pedagang Bugis yang singgah di Melaka pergi ke Pulau Pinang ( Nordin Hussin 2001 ). Taktik itu telah berjaya menarik ramai pedagang Bugis yang mempunyai rangkaian perdagangan ke Pulau Pinang. Hasilnya, jumlah kapal yang singgah di Pulau Pinang telah bertambah. Peningkatan perdagangan itu telah menolong Pulau Pinang menjadi aman dan makmur. Hasilnya, jumlah kapal yang singgah di Pulau Pinang telah bertambah. Perkembangan itu telah membuat orang Bugis membuka perkampungan Bugis di selatan pulau itu. Perkampungan itu telah berkembang sejajar dengan perkembangan perdagangan di pelabuhan. Kesemua itu membuat Inggeris sangat menghargai pedagang Bugis. Sehubungan itu, banyak laporan mengenai pedagang Bugis telah dibuat oleh Inggeris. Cacatan daripada orang Inggeris itu selari dengan yang telah ditulis oleh Tome Pires yang telah singgah di Melaka pada awal abad ke-16.
Berikut adalah pandangan daripada seorang penulis Inggeris mengenai orang Bugis yang telah berdagang dan menetap di Pulau Pinang semasa ia dibuka oleh Inggeris:
The Buggesess, though few inhabit here at present, yet as they come annually to trade and remain two or three months on shore to the number of one on two thousand, they are during their residence a part of our society. They are Mahomedans, a proud, warlike, independent people, easily irritated and prone to revenge, their vessels are always well provided with arms which they use with dexterity and vigor; they are the best merchants among the Eastern Islands. They are better governed by patient and mild exhortation than force, if they commit a trespass they are easily made sensible and may be persuaded render satisfaction, but they reluctantly yield to stern authority, they required to be carefully watched anad cautiously ruled. The great value of their cargoes either in bullion or goods,with the quantity of opium and piece goods they export, make their arrival much wished for by all mercantile people ( Logan 1851: 10 ).
Laporan Inggeris itu menggambarkan sifat dan nilai yang dipunyai oleh pedagang Bugis untuk sekian lamanya. Nilai, sifat dan semangat kepahlawanan yang diceritakan Pires pada tahun 1512 semasa bertemu dengan pedagang Bugis di Melaka itu masih diamalkan oleh orang Bugis yang juga ditemui Logan pada tahun1830-an. Nilai itu telah menjadi identiti yang melambangkan semangat waja orang Bugis, selain mereka itu berhemah tinggi, jujur dan berdikari. Kesemua sifat itu telah membuat mereka menjadi pedagang yang dihormati dan disanjung tinggi oleh orang Eropah.
Dalam laporannya mengenai perkembangan pelabuhan Pulau Pinang, George Leith juga telah mencatatkan sifat, perwatakan dan perawakan pedagang Bugis. Lihat pandangannya di bawah ini:
… bold, independent and enterprising make good soldiers have a small town on the Penang River ( Leith 1805 ).
Kenyataan George Leith itu menunjukkan orang Bugis mempunyai keperibadian, jati diri dan daya usaha untuk berniaga yang tinggi. Disebabkan kekuatan itu, mereka adalah calon terbaik untuk dijadikan anggota pasukan tentera tempatan kepada kuasa Barat. Tidaklah hairan jika dalam tentera Belanda terdapat banyak orang tempatan, terutamanya Bugis. Penglibatan Bugis di Melaka dapat dilihat melalui perdagangan oleh pedagang-pedagang Bugis. Peranan pedagang dilengkapkan dengan kebolehan Daeng lima bersaudara telah menambah warna baru kepada kerajaan Melayu yang berteraskan perdagangan samudera di Selat Melaka.
BUGIS SERKAM, MELAKA
Oleh : Sah Rezan bin Abdul Salam A130115
: Mohd Faizul bin Mohd Yusuf A127575
: Nor Azwaazliza binti Dahari A127225
: Nurulhuda binti Sarudin A127644
: Nadia Sri Dayani binti Md. Fauzan A127280
: Maizatul Akmal binti Muhammad A130725
: Noor Zarina binti Hamzah A127490
Seperti di kawasan lain, Melaka juga terlibat dengan sejarah kewujudan Bugis. Kawasan di Melaka yang didapati menerima pengaruh orang Bugis ialah Serkam. Kawasan Serkam dikaitkan dengan keluarga Tok Langgar yang merupakan jurai keturunan Bugis daripada Daeng Marewah. Tok Langgar mempunyai dua saudara lain yang turut serta tiba di Melaka bersama Tok Langgar iaitu Tanggok dan Tok Pulau.
Pada asalnya, ketiga-tiga saudara ini berada di kawasan Johor-Riau-Lingga. namun, setelah berlaku perebutan kuasa antara tiga bersaudara ini, maka ketiga-tiga saudara ini membawa haluan masing-masing. Atas dasar diketepikan oleh keluarga Bugis ekoran perlantikan yang tidak dipersetujui, Tok Langgar telah meninggalkan Riau dan melarikan diri ke sebuah kawasan. Kejadian tersebut berlaku semasa Belanda telah tiba di Melaka iaitu pada abad ke-18. Pada ketika itu, kapal perang Belanda dilihat banyak terdapat di kawasan perairan Melaka. Namun, atas keberanian dan kegagahan Tok Langgar, beliau telah berjaya melepaskan diri dan memasuki daratan Melaka. Daripada peristiwa inilah beliau mendapat gelaran Tok Langgar.
Tok Langgar mula memasuki negeri Melaka melalui kawasan Serkam. Apabila Tok Langgar tiba di Serkam, beliau telah membuka kawasan petempatan untuk kaumnya. Tok langgar sebenarnya mempunyai tiga orang saudara yang dibawa masuk ke Serkam iaitu Saaban, Puasa dan Sentol. Dikhabarkan bahawa ketiga-tiga saudara ini mendiami kawasan yang berbeza iaitu Saaban di Serkam Darat, Puasa di Serkam Pantai dan Sentol di Serkam Pulai.
Semasa Bugis mula-mula mendiami kawasan Serkam, Tok Langgar telah berjaya membuka kawasan perusahaan padi sebelum meluaskan kegiatan ekonomi kepada pembukaan ladang getah. Pembukaan sawah padi telah dilaksanakan ekoran bekalan air yang mencukupi. Namun, setelah bekalan air tidak mencukupi, sawah padi telah ditukar kepada perusahaan getah.
Selain itu, kepimpinan Tok Langgar dirakamkan sebagai seorang pemimpin politik yang mempunyai kuasa yang luar biasa. Beliau dikaitkan dengan kuasa kebal yang dimiliki sehingga tidak mati apabila diserang bertubi-tubi oleh pihak Belanda. Beliau juga boleh mengghaibkan diri daripada dikesan oleh pihak Belanda semasa beliau diburu dalam Perang Rokam.
Namun demikian, Tok Langgar dan generasi seterusnya dilihat tidak menggunakan gelaran Daeng yang menjadi kebiasaan pada awal nama orang Bugis. Hal ini dikaitkan dengan perlantikan Sultan Abu Bakar pada 1896. Selepas perlantikan itu, semua orang Bugis yang berada di Tanah Melayu memansuhkan gelaran tersebut.
Tidak cukup dengan kelebihan itu, Tok Langgar juga dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sultan Ismail yang turut menjadi Sultan Johor selepas kemangkatan Sultan Ibrahim. Tok langgar dikatakan merupakan sepupu bagi Sultan Ismail. Lantaran hubungan tersebut, Sultan Ismail dilihat selalu berkunjung ke Serkam. Melalui kunjungan inilah hubungan politik antara Melaka dan Johor dapat dilihat dan kegiatan politik berlaku dalam kalangan orang Bugis.
Sehingga hari ini, masih terdapat generasi keturunan Tok Langgar yang terdapat di Serkam, Melaka. Namun, kegiatan politik dan penglibatan keturunan ini tidak jelas kelihatan dalam pemerintahan dan politik Melaka.
SYAIR PERANG ROKAM
Oleh: Mohd Faizul bin Mohd Yusuf A127575
Syair Perang Rokam mengisahkan sebuah peristiwa yang berlaku di Serkam, Melaka. Perang Rokam bukanlah peperangan semata-mata tetapi merupakan serangan yang berlaku kerana gerakan anti cukai rakyat terhadap Inggeris. Orang Inggeris ketika itu menjalankan cukai terhadap penduduk Serkam terutamanya bagi tanaman mereka. Istilah “serkam” bermaksud “beberapa rahsia” di mana “sir” bermaksud rahsia manakala “kam” bermaksud beberapa. Pada mulanya Serkam telah diterokai oleh sebuah keluarga dari Palembang yang bernama Dato Ithnin. Kedatangan dato Ithnin turut disertai oleh lima orang anak-anaknya iaitu Dato Abas, Dato Marsah, Dato Abdul Rauf, Dato Bujal dan Dato Othman iaitu berlaku sekitar abad ke-18.
Gerakan anti cukai terhadap Inggeris ialah Perang Rokam mengikut masyarakat tempatan. Rokam diambil sempena dengan nama seorang pegawai inggeris yang bernama J.B.Alcolm. tugas beliau ialah sebagai pegawai penetap sempadan (Demarcation Officer) di Melaka pada ketika itu. J.B Alcolm dikatakan punca kepada pergolakan berlaku yang juga telah mencetuskan serangan. Penduduk di Serkam pada masa itu menyebutnya rokam bukannya alcolm. Penentangan terhadap Inggeris ini telah diketuai oleh seorang imam kampung yang bernama Imam Muhammad Said bin Marsah atau lebik dikenali penduduk tempatan dengan nama “Tok Andak”.
Sistem cukai yang dikenakan oleh inggeris merupakan cukai yang sama digunakan pada zaman tradisional di Melaka dahulu. Cukai tersebut menyatakan 1/10 daripada hasil penduduk akan diberikan kepada kerajaan inggeris. Contohnya 10 gantang padi yang telah dituai oleh penduduk akan diambil oleh Inggeris sebanyak 1 gantang padi. Cukai ini sebenarnya telah diwarisi daripada penjajah terdahulu iaitu Portugis. Negeri Melaka telah diserahkan kepada inggeris melalui Surat Kew. Surat Kew telah memberi peluang kepada Inggeris menguasai Melaka sehingga 1818. Ketika itu Pulau Pinang sedang berkembang dan Syarikat Hindia Timur Inggeris berada dibawah kuasa William Forquehar. William Forquehar telah bertindak untuk menghapuskan kota Melaka dengan harapan perdagangan di Melaka itu dapat dipindahkan ke Pulau Pinang.
Pada tahun 1818 Inggeris mengembalikan Melaka kepada belanda dan mengikut perjanjian Inggeris-Belanda, Inggeris akan mendapat Melaka semula. Walaubagaimana pun, pelabuhan Melaka ketika itu tidaklah produktif seperti dahulu dan masalah berkaitan dengan tanah sering berlaku. Hal ini telah membawa kepada masalah kewangan Inggeris. Oleh itu, Inggeris telah menghadapi masalah tersebut dengan mengenakan cukai terhadap penduduk di Melaka. Namun bagi Ingggeris, sistem cukai 1/10 tidak dipersetujui kerana tidak ekonomi, ada penyelewengan dan berlakunya rasuah oleh pemungut cukai yang tidak jujur.
Di Serkam, pemungut cukai ketika itu ialah Jamal atau lebih dikenali dengan mata-mata Jamal. Jamal telah ditugaskan oleh Inggeris untuk meninjau di kampung jika terdapatnya hasil-hasil tanaman dan ternakan penduduk di situ. Cukai-cukai akan dikumpulkan di pusat pengumpulan di Pekan Umbai dan dari Umbai akan dibawa ke bandar Melaka dengan menggunakan kereta. Setelah tanah disukat oleh J.B. Alcolm, cukai mula dikenakan ada ia dadalah lebih baik dibayar dalam bentuk wang dan secara tetap. Cukai tersebut telah mengenakan sebanyak 50 sen bagi seekar purata tanah tersebut sama ada berhasil ataupun tidak.
Semua ketua kampung telah dipanggil ke pejabat pentadbiran British Melaka iaitu Residen Commissioner Melaka untuk menerangkan tentang sistem cukai baru. Selepas mendapat penerangan daripada British, ketua kampung akan menerangkan kepada anak-anak buahnya pula. Ketua kampung Serkam ketika itu ialah Dato Penghulu Dol bin Bidin. Beliau telah mengumumkan mengenai cukai berkenaan di Masjid Serkam selepas solat Jumaat. Setelah mendengar penerangan tersebut, penduduk berasa gelisah. Penerangan itu telah ditentang oleh Tok Andak dan pengikut-pengikutnya. Dato Penghulu Dol telah dikecam penduduk kerana penghulu dikatakan tidak membantah semasa penerangan cukai diterangkan kepada beliau sebelum ini. Beliau juga telah diejek dan disifatkan sebagai tali barut Inggeris. Dato Penghulu tidak mampu membuat apa-apa lagi selain melaporkan kejadian “Peristiwa Jumaat” ke Melaka.
Penduduk Serkam sebulat suara menentang sIstem cukai tersebut dan mereka menganggap bahawa perjuangan mereka itu sebagai perang kerana agama. Tok andak telah memberitahu kepada Penghulu Dol bahawa penduduk serkam tidak akan membayar apa-apa walaupun apapun kemungkinan yang telah berlaku.
Pada keesokan harinya, Dato Penghulu Dol berangkat ke Melaka untuk berjumpa dengan J.B. Alcolm dan menceritakan segala-galanya. Hal ini telah memeranjatkan J.B Alcolm kerana beliau menjangkakan perkara seperti itu tidak akan berlaku. Dato Penghulu Dol meminta Tok Andak untuk berjumpa J.B Alcolm tetapi sebaliknya Tok Andak telah mengumpulkan orangnya di masjid bagi membincangkan kemungkinan yang dilakukan oleh orang Inggeris. Di masjid mereka akan membincangkan strategi untuk menghadapi Inggeris. Oleh itu Inggeris tidak berjaya mengadakan perundingan dengan Tok Andak. Pihak inggeris tidak mempunyai jalan lain selain mengacau orang Serkam dengan menggunakan senjata kerana jalan perundingan tidak dilayan oleh Tok Andak. Inggeris menghantar 24 orang Benggali ke kawasan tersebut.
Tok Andak bersama-sama dengan pengikutnya telah menguatkan pertahanan di kampung itu. Tok andak juga telah melantik seramai 3 orang ketua bagi memimpin pengikut-pengikutnya menetang Inggeris. Mereka ialah Tok Shamsuddin, Jamal, dan Haji Ahmad Gemuk. Mereka bertiga merupakan pendekar yang dipercayai mempunyai ilmu yang cukup tinggi. Tiap-tiap hari askar Sikh yang dipimpin seorang pegawai inggeris dating ke Serkam lalu melepaskan tembakan demi tembakan untuk menakutkan orang di kampung itu. Askar-askar tersebut akan pulang ke tempat mereka pada sebelah petangnya.
Pada hari ketiga, Tok Andak telah merancang satu strategi baru untuk menetang pihak Inggeris. Beliau telah menempatkan beberapa pengikutnya disebelah barat kampung serkam berhampiran dengan Lubuk Buaya. Haji Ahmad Gemuk iaitu ketua yang dilantik Tok Andak memimpin pengikutnya untuk bersedia di tempat tersebut. Meraka menunggu kiri dan kanan lorong jalan dari subuh lagi di hutan. Mereka hanya menggunakan senjata tradisional sahaja dalam penentangan tersebut iaitu keris, tombak, pedang dan lembing.
Lebih kurang 7.30 pagi, kereta kuda pihak Inggeris telah melalui kawasan yang mereka sembunyi lalu Haji Ahmad Gemuk memberi isyarat untuk menyerang kereta kuda tersebut. Askar sikh terus menembak ke arah mereka dan salah satu tembakan yang dilepaskan askat tersebut telah mengenai kaki Haji Ahmad lalu mereka teus berundur. Berita mengenai kaki Haji Ahmad ditembak telah disampaikan kepada Tok Andak. Tok Andak ketika itu bertahan di sebelah baruh berhampiran dengan masjid dan Tok Andak begitu sedih dengan perkara yang menimpa haji Ahmad Gemuk. Kampung Serkam telah diserang inggeris di beberapa bahagian dan tok andak tidak dapat berbuat apa-apa tindakan, lalu berundur ke paya bakau di sebelah laut. Serangan Inggeris itu telah berlarutan sehingga ke petang namun Tok Andak tidak dapat ditangkap juga. Operasi menyerang Kampung Serkam juga dilakukan pada waktu malam.
Pada 1.00 pagi, pihak Inggeris telah pergi terus ke rumah Tok Shamsuddin dan di sana berlaku pergelutan orang kampung dengan askar Sikh. Penentangan ini juga turut disertai oleh golongan perempuan. Dalam pergelutan tersebut tidaklah diketahui siapa antara yang telah cedera. Akan tetapi, Tok Shamsuddin telah ditangkap oleh askar Sikh. Tuan Alcolm telah memerintahkan supaya menembak sesiapa pun yang cuba menghampiri Tok Shamsuddin yang telah diikat. Berita penangkapan Tok Shamsuddin telah disampaikan kepada Tok Andak. Mata-mata Jamal, Tok Sharif dan Haji Manaf juga telah ditangkap oleh Inggeris dan di bawa ke Melaka menaiki kereta kuda.
Tok Andak telah kehilangan orang kanannya dan beliau merasakan beliau tidak dapat meneruskan lagi perjuangan ini. Penduduk Serkam juga telah hilang semangat untuk meneruskan lagi perjuangan tersebut. Pihak Inggeris tetap menyuruh Tok Andak supaya menyerah diri tetapi Tok Andak menyembunyikan dan hal ini menyebabkan Tok Andak menjadi orang buruan Inggeris setiap hari. Melihat kegagalan Inggeris itu, mereka telah menggunakan cara diplomasi untuk memujuk orang Serkam supaya menghentikan perjuangan mereka. Mereka memberitahu penduduk bahawa cukai yang dilaksanakan Inggeris bukannya untuk menyusahkan rakyat tetapi adalah untuk membangunkan negeri dan juga kampung. Mereka telah berjaya memujuk beberapa pengikut Tok Andak dan sebagai akibatnya orang-orang di sekam telah berpecah. Lalu Tok Andak pergi dari Kampung Serkam kerana bagi Tok Andak adalah berbuat demikian daripada menjadi orang buruan Inggeris.
Penghujung tahun 1887, Tok Andak telah bertindak meninggalkan Serkam. Hal ini bertujuan untuk mengagalkan cita-cita Inggeris untuk memungut cukai di Serkam. Hal ini kerana, bagi beliau sekiranya tiada penduduk yang tinggal lagi di kawasan tersebut, maka pihak Inggeris tidak boleh mengutip cukai lagi. Cara seperti ini pernah dilakuakan dahulu iaitu contohnya penduduk di Alor Gajah juga meninggalkan kampung mereka secara beramai-ramai dan menetap di Bukit Senggeh. Tok andak telah lari ke Kesang kerana baginya adalah lebih baik tinggal di bawah kuasa raja Melayu.
Peristiwa penentangan orang Serkam telah sampai kepada Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor ketika itu. Sultan telah mengutuskan seorang wakil untuk berjumpa dengan Tok Andak semasa lawatan baginda ke Tanjung Gading. Tok Andak dan penduduk diserkam telah dihadiahkan sebuah kawasan di Muar dan semuanya telah berhijrah ke tempat tersebut. Di sana juga telah dibangunkan surau yang merupakan tempat Tok Andak mengajar. Tok Andak ingin menjadikan tempat tersebut sama seperti Kampung Serkam yang ada di Melaka. Setelah mengetahui bahawa Kampung Serkam telah dibuka di Johor, ramai orang kampung dari Kampung Serkam di Melaka telah berhijrah ke sana.
Tok andak telah meninggal dunia dan dimakamkan di Jalan Bakri, Muar. Tanah perkuburan tersebut dinamakan Tanah Sa’adiah.
BUGIS DI PERAK
Oleh : Nor Azwaazliza binti Dahari A127225
: Nur Farahdilla binti Mat Daud A127432
PENGENALAN
Seperti yang diketahui , Bugis telah datang ke Tanah Melayu dengan cara-cara yang tertentu terutama sekali melalui penghijrahan ataupun perpindahan apabila timbulnya perselisihan di antara Makasar dengan orang Belanda. Hal ini kerana orang Belanda hendak menjadikan Hindia Timur sebagai milik khas mereka. Pada tahun 1667, Makasar telah masuk ke dalam kawalan orang Belanda kerana orang Belanda telahpun menakluk ke atas Makasar yang telah menyebabkan orang Bugis merayau keluar daripada kawasan tersebut dan berhijrah ke kawasan yang berhampiran dengan Makasar. Orang Bugis yang datang ke Tanah Melayu terkenal dengan anak Raja Lima Bersaudara iaitu Daeng Merewah, Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Chelak ( Daeng Palai ) dan Daeng Kemasi. Kelima-lima saudara ini telah merantau ke negeri-negeri di Tanah Melayu terutama Johor, Selangor, Perak dan lain-lain negeri. Orang-orang Bugis ini telah merantau serta terlibat dalam politik di sesebuah negeri tersebut.
Setelah mangkat "Marhum Sulong" (Raja Radin) pada 1728, adinda Baginda iaitu Raja Muda (Raja Inu) yang bersemayam di Bernam telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-13. Baginda memakai gelaran Sultan Mudzaffar Shah yang ketiga. Baginda kemudiannya telah berpindah ke Berahman Indera iaitu Bota Kanan pada ketika ini. Manakala adinda Baginda yang bernama Raja Bisnu diangkat menjadi Yang di-Pertuan Muda atau Sultan Muda, dan bersemayam di Pulau Tiga, Lambor. Yang di Pertua Muhammad Shah ini mempunyai putera-putera yang bernama Raja Iskandar Raja Kimas, Raja Allauddin dan Raja Bisnu.
Sewaktu pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah III, orang-orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Chelak, Yam Tuan Riau yang kedua, telah membawa orang-orang Bugis dari Selangor, datang menyerang Negeri Perak. Negeri Perak pada waktu ini telah berpecah dua. Dalam situasi ini dipercayai orang-orang Bugis lebih menyebelahi adinda Baginda, Yang di Pertuan Muda dengan disokong oleh beberapa Orang-orang Besar Perak. Yang di Pertuan Muda Muhammad Shah diangkat menjadi Sultan, bergelar Sultan Muhammad Shah. Oleh kerana itu, dari tahun 1742 hingga 1743 Kesultanan Perak berpecah menjadi dua.
Perak terbahagi kepada dua iaitu dari Pachat hingga ke Ulu (utara) di bawah perintah Sultan Mudzaffar Shah III yang bersemayam di Kuala Kangsar dan dari Pachat ke hilir hingga ke Kuala Perak di bawah perintah Sultan Muhamad Shah yang bersemayam di Pulau Tiga. Tetapi tidak beberapa lamanya kemudian kedua adik-beradik berbaik semula. Sultan Mudzaffar Shah yang bersemayam di Kuala Kangsar dijemput balik oleh Sultan Muhammad Shah bersemayam di Berahman Indera.
Dalam tahun 1743 seorang Raja Bugis bernama Daing Selaili bergelar "Haji Besar" menawan beberapa orang Lanun di Pulau Sembilan dan menyerahkan Lanun tersebut kepada Sultan Mudzaffar Shah. Daeng Selili barkahwin dengan adinda Baginda bernama Raja Tengah dan dilantik menjadi Mufti Negeri Perak, kemudian menjadi Orang Besar Perak bergelar Maharaja Lela Tan Lela Putera Panchong Ta' Bertanya. Daing Selaili juga menjadi Pengawal peribadi Sultan.
Setelah Baginda Sultan Mudzaffar memerintah selama 28 tahun (1728-1754), Baginda mangkat pada hari Jumaat, 7 Zulka'edah, 1167 dan bergelar "Marhum Haji Allah" Baginda mangkat di Berahman Indera (Bota) dan dimakamkan di Kampung Selat, Bota Kanan."
Di Perak, Orang Bugis juga terlibat dalam politik dari satu generasi ke generasi yang lain dalam keturunan Bugis di Perak. Bermulanya pendudukan Orang Bugis di Perak adalah apabila Daeng Merewah yang berketurunan Bugis menyerang Perak pada tahun 1728 Masihi iaitu semasa pemerintahan Sultan Alauddin Mughayat Syah (1720-1728). Hal ini kerana, pada mulanya Orang Bugis berminat dengan kekayaan hasil bijih timah di Perak. Selepas Daeng Merewah menyerang Perak walaupun tidak mendapat sebarang kejayaan sekalipun maka Sultan Alauddin Mughayat Syah pula mangkat dan digantikan dengan adiknya iaitu Raja Inu yang bergelar Sultan Muzaffar Syah III pada tahun 1728 Masihi.
Pada tahun 1742, Orang-orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Chelak iaitu adik kepada Daeng Merewah telah menyerang negeri Perak sekali lagi. Hal ini kerana, Orang-orang Bugis itu dipercayai telah membantu dan menyebelahi Yam Dipertuan Muda Muhamad Syah iaitu adinda kepada Sultan Muzaffar Syah III yang hendak merebut kuasa dan menjadi sultan Perak. Atas bantuan dan sokongan Orang-orang Bugis itu, Yam Dipertuan Muda Muhamad Syah pun mengistiharkan dirinya menjadi sultan Perak. Disebabkan itu, negeri Perak mempunyai dua orang Sultan ketika itu serta kawasan pentadbiran tertentu.
Bermulanya pengaruh politik Bugis di negeri Perak adalah semasa Daeng Salili iaitu anak Raja Bugis yang sangat disegani oleh Orang-orang Bugis itu telah datang ke Perak pada tahun 1740. Daeng Salili ini adalah anak kepada Raja Upu Tenderi Burung. Daeng Salili telah bersama dengan Sultan Muzaffar Syah di Kuala Kangsar dan disebabkan itulah Orang-orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Chelak tidak berani untuk menyerang baginda. Jikalau Daeng Salili tidak ada bersama-sama dengan Sultan Muzaffar Syah, dengan senang Orang-orang Bugis dapat menghalau baginda untuk keluar dari Negeri Perak. Daripada ini kita dapat lihat hubungan antara Daeng Salili dengan Sultan Muzaffar Syah yang menjadikan permulaan pengaruh Bugis dalam politik di Perak. Sehubungan dengan itu, Daeng Salili telah menasihati Baginda supaya berdamai dengan Sultan Muhamad Syah menyebabkan Sultan Muhamad Syah mengundur diri daripada menjadi sultan dan mengambil balik gelaran Yang Dipertuan Muda manakala Sultan Muzaffar Syah diakui semula sebagai Sultan yang tunggal di Perak.
Semasa Daeng Salili dalam pelayaran balik dari Mekah setelah menunaikan Fardhu Haji beliau telah singgah di Pulau Sembilan iaitu di Kuala Sungai Perak. Di situ Daeng Salili telah bertemu dengan orang panglima Bugis yang sangat ditakuti oleh orang-orang Belanda yang bernama Nakhoda Hitam. Orang-orang Belanda menganggap Nakhoda Hitam sebagai perompak laut yang sangat kejam dan ganas tetapi sebenarnya Nakhoda Hitam adalah seorang pahlawan Bugis yang sangat dihorati oleh Orang-orang Bugis. Nakhoda Hitam ini terkenal dengan keberaniannya kerana beliau hanya menyerang dan merompak kapal-kapal Belanda sahaja.
Pada awalnya, hubungan antara Daeng Salili dengan Nakhoda adalah tegang tetapi apabila Nakhoda Hitam ternampak keris yang dipakai oleh Daeng Salili itu bersarung emas dan mempunyai panjar Khalid di buntutnya. Hal ini menyedarkan Nakhoda Hitam bahawa Daeng Salili ialah seorang kerabat diraja Bugis maka berdamailah sehingga menjadi sahabat baik antara mereka berdua. Menurut cerita Saudara Ahmad bin Manjang apabila Datuk Bandar membawa khabar kepada Sultan Muzaffar Syah III di Brahman Indera ( Bota Kanan sekarang ) yang mengatakan Daeng Salili dengan Nakhoda Hitam hendak menyerang Negeri Perak dan disebabkan itulah Sultan Muzaffar Syah pergi ke Kota Lama Kanan untuk mengumpul orang-orangnya di situ termasuk orang-orang Temong dan Pelus untuk menahan serangan dari orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Salili dan Nakhoda Hitam. Walaubagaimanapun cerita yang mengatakan bahawa baginda Sultan mengumpul orang-orangnya untuk mempertahankan dari serangan Daeng Salili dan Nakhoda Hitam telah diketahui oleh Daeng salili. Hal ini kerana, Sultan Muzaffar Syah telah salah anggap terhadap kedatangan Daeng Salili dan Nakhoda Hitam di Perak. Daeng Salili tidak ada niat langsung untuk menyerang Negeri Perak justeru Daeng Salili telah mengadap Sultan untuk menerangkan apa hajat mereka datang ke Negeri Perak tersebut. Daeng Salili beranggapan pihak Belanda sengaja mereka-reka cerita bahawa Daeng Salili hendak menyerang Perak. Hal ini berkemungkinan juga pihak Belanda tidak suka kepada Orang-orang Bugis.
Apabila Sultan Muzaffar mendengar penjelasan daripada Daeng Salili dan Nakhoda Hitam maka dengan tidak disangka-sangka Daeng Salili telah tinggal bersama-sama dengan Sultan Muzaffar Syah III dan tidak jadi untuk pulang ke Tanah Bugis sepertimana yang dirancangkan sebelum ini. Lagipun ketika itu Tanah Bugis telah dikuasai oleh Belanda sejak kekalahan Bugis pada tahun 1667.
Tidak berapa lama Daeng Salili tinggal bersama dengan Sultan Muzaffar Syah beliau telah mendapat gelaran Raja Haji Besar di Perak dan beliau juga telah berkahwin dengan adinda Sultan Muzaffar Syah III yang bernama Raja Tengah lalu dilantik menjadi mufti yang pertama di Perak. Sehubungan dengan itu, beliau juga diberi kuasa penuh dalam hal ehwal agama Islam dan hukum-hukum Islam. Hal ini menunjukkan penglibatan orang Bugis di dalam politik di Perak. Kemudian Sultan Muzaffar Syah juga telah memberikan gelaran kepada Daeng Salili dengan gelaran Maharajalela Tan Lela Putera Pancung Tak Bertanya iaitu mempunyai kuasa yang paling tinggi sekali daripada semua kuasa yang ada pada Orang-orang Besar ketika itu. Kuasa tersebut membolehkan beliau menghukum dan memancung sesiapa yang terbabit dengan kesalahan membunuh tanpa memberitahu hal tersebut kepada Sultan.
Setelah berkahwin, Daeng Salili Haji Besar mendapat empat orang anak iaitu yang sulung bernama Daeng Osman, kedua bernama Seri Penghulu Tok Anjang, ketiga bernama Nor Jelisin dan anak yang keempat ialah Tok Bakul yang bergelar Tok Tongkat. Keturunan Daeng Salili ini telah dilantik oleh Sultan Perak menjadi Orang Kaya Temenggong iaitu Orang Besar Empat Negeri Perak.
Pada tahun 1743, Sultan Muzaffar Syah III telah mangkat dan tempat beliau digantikan dengan anak saudara beliau iaitu Raja Iskandar yang sebelum ini menjadi Raja Muda Perak telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang bergelar Sultan Iskandar Zulkarnain. Mengikut Misa Melayu, Sultan Iskandar Zulkarnain adalah seorang Raja yang sangat bijaksana dan Baginda tidak mahu melihat Orang-orang Besar Perak dianggap lemah dan tidak tahu menjalankan dasar pentadbiran yang diarahkan oleh Baginda. Disebabkan itulah apabila Baginda hendak bersemayam di Pulau Indera Sakti, Baginda telah menitahkan Orang-orang Besar iaitu Bendahara Megat Abu Kassim, Temenggong Tan Bantan dan Orang Kaya Menteri Sharif Husain mendirikan istana yang luar biasa bentuk rekaannya namun permintaan tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh Orang-orang Besar lalu mereka pun meletakkan jawatan tersebut.
Orang-orang Besar yang telah meletakkan jawatan tersebut telah digantikan dengan Orang-orang yang baru. Pangkat Bendahara yang disandang oleh keturunan Megat sejak dari Megat Terawis lagi telah diberikan kepada adinda Baginda iaitu Raja Alauddin yang kemudiannya dikenali dengan nama Bendahara Penyegat Hitam dan seorang Bugis bernama Daeng Tok Matim telah dilantik menjadi orang Besar Baginda.
BUGIS DI KEDAH
Oleh : Mohd Farhan bin Jamli A129737
: Chan Kah Yen A127574
Seperti negeri-negeri Melayu yang lain, konflik antara kerabat diraja di Kedah untuk merebut kuasa telah berlaku beberapa kali. Peristiwa paling awal mengenai rebutan kuasa telah berlaku beberapa kali. Peristiwa paling awal mengenai rebutan kuasa dalam kalangan kerabat diraja Kedah diketahui bermula pada tahun 1681 semasa pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1661-1687).
Pada tahun 1681, adinda Sultan Dhiauddin, iaitu Dato Padang Seri Jana telah cuba mengguling saudaranya dengan bantuan orang Bugis. Walaupun sebabnya tidak diberikan dengan jelas tetapi nyatalah ini merupakan percubaan merampas takhta dan percubaan ini gagal. Meskipun selepas tahun 1682, tidak didengar lagi rancangan Dato padang Seri Jana itu, tetapi menurut R. Bonney perkara ini amat menarik dalam konteks perjuangan rebutan kuasa di Kedah iaitu percubaan kerabat diraja mencari bantuan tentera upahan atau sokongan politik untuk menjadi Sultan. Kuasa asing yang pertama terlibat dalam perebutan takhta di Kedah ialah Bugis, dan didapati penglibatan ini akan wujud seterusnya dalam konflik golongan elit.
Seterusnya pula adalah perebutan kuasa di antara kerabat diraja Kedah yang berlaku pada awal abad ke -18. Semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II (1710-1778), baginda menghadapi tekanan daripada adinda tirinya, Raja Nambang. Konflik ini berlaku kerana Raja Nambang mendakwa, beliaulah yang lebih berhak menduduki takhta Kedah. Kedua-dua belah pihak cuba mendapatkan bantuan dari luar. Sultan Muhammad Jiwa II mendapat bantuan daripada Bugis yang dipimpin oleh Daeng Perani, manakala Raja Nambang dibantu oleh Raja kecil dari Siak, Minangkabau. Ini merupakan satu peristiwa penglibatan Bugis dalam hal-ehwal Kedah, dan menjadi medan peperangan di antara orang Bugis dengan Raja Kecil yang sebelum ini telah terlibat dengan dalam perebutan takhta di Johor.
Ketika berada di Selangor, Daeng Perani mendapat surat daripada Sultan Muhammad Jiwa II meminta bantuan. Beliau telah berangkat ke Riau berbincang lima bersaudara. Mereka berlima telah bersetuju dan berangkat ke Kedah mengadap Sultan kedah. Dalam pertemuan ini, Sultan kedah meminta Opu Lima bersaudara menewaskan Raja Nambang dan baginda berjanji akan membayar 15 bahara bijih timah kepada mereka. Peperangan ini tidak diketahui tarikh tamatnya tetapi keadaan menjadi tenang selepas tahun 1724 apabila pasukan Bugis balik ke Selangor dan Raja Kecil berundur ke Siak.
Walau bagaimanapun, dua tahun kemudian ketegangan timbul apabila Raja Nambang dengan bantuan Raja Kecil berjaya mengalahkan Sultan Muhammad Jiwa II. Sekali lagi Opu Bugis Lima Bersaudara kembali membantu Sultan kedah dengan alasan perjanjian antara Sultan kedah dengan mereka belum selesai kerana pada peperangan yang awal Sultan Kedah hanya membayar 3 bahara bijih timah serta Opu Daeng Perani mempunyai seorang isteri di Kedah iaitu adinda kepada Sultan Kedah, Tengku Aishah.
Peperangan berlarutan selama dua tahun. Raja Nambang dan Raja Kechil telah berjaya dikalahkan dalam peperangan ini. Namun Daeng Perani telah terkorban manakala Raja Kechil yang telah kalah, berundur ke Siak. Setelah Perang tamat, Daeng Chelak dan saudaranya Yamtuan Muda Daeng Marewah telah mengebumikan jenazah Opu Daeng Perani. Seterusnya Yamtuan Muda Daeng Marewah telah memohon kepada Sultan Kedah memohon kebenaran pulang ke Riau. Dengan itu, Daeng Marewah dan angkatan Bugis kembali ke Riau.
Dalam buku Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu & Bugis, dan Hikayat Siak dengan jelas menyatakan yang Opu Daeng Perani telah gugur di Kedah dalam pertempuran dengan Raja Kechil Siak. Dalam Tuhfat mencatatkan Al-Nafis:
“Syahadan maka berapa antaranya maka kelengkapan Yang Dipertuan Muda [Opu Daeng Merewah] serta Opu-Opu itu mudik hendak melanggar Kubu Raja Kechil sebelah hulunya pada rumahnya dan apabila sampai ke kota hulu itu maka lalulah berperang yang sangat ramainya dengan gegak gempita berbedil-bedilan dengan meriam dan rentak serta tempik soraknya maka dengan takdir Allah Subhanahu Wa Taala sert adengan sudah sampai janjiNya maka Opu Daeng Perani pun kenalah pelurunya meriam tentang dadanya maka iapun mangkat di atas beranda hgurabnya dengan nama laki kerana waktu ia berperang besar itu bersiar-siar di atas beranda memerintahkan segala orang berperang itu ...”
Salasilah Melayu & Bugis pula mencatatkan gugurnya Daeng Perani di Kedah seperti berikut:
”Syahadan maka Raja Kechil pun fakir, “Baik aku bedil Daeng Perani itu. Jika bertikam atau beramuk terlalu susah melawannya.” Dan setelah ia sudah berfikir itu lalu ia menyuruh cagakkan lela pada serambi rumahnya dihadapkan ke tengah sungai kerana khabarnya Opu Daeng Perani hendak memudikkan ghurabnya ke hulu sampai ke kampong rumah Raja Kechil itu sekali. Maka diisinyalah lelanya itu beberapa pucuk. Maka tiada berapa lamanya mudiklah ghurab Opu Daeng Perani itu ke hulu dengan beberapa perahu. Maka apabila bertentangan dengan rumah Raja Kechil itu belum sempat ghurab itu membedil, maka dibedilnya dahulu dari sampai ke rumah raja Kechil. Dengan takdir Allah Taala serta sampai janjiNya, maka kenalah Opu Daeng Perani di atas beranda ghurabnya itu. Maka Opu Daeng Perani pun rebahlah lalu mangkat.
Namun pada tahun 1769, kedah telah diserang oleh tentera Bugis di Selangor di bawah pimpinan Raja Haji dan disertai 40 orang askar upahan eropah dan dua orang putera diraja Kedah iaitu Tunku Anjang dan Tunku Long Putera yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Tunku Abdullah sebagai Raja Muda. Kedah diserang kerana gagal membayar hutang upah kepada Bugis iaitu 12 bahara bijih Timah semasa Daeng Parani membantu Kedah mengalahkan Raja Menambang pada tahun 1726. Serangan ini berjaya, akibatnya Sultan Muhammad Jiwa II terpaksa berundur ke Perlis dan baginda meneruskan perjuangan serta mengatur strategi baru.
BUGIS DI PAHANG
Oleh: Siti Rohani binti Mohd Ali A126771
Seperti yang tertulis di dalam kitab Sulalatus Salatin, secara ringkasnya raja-raja yang memerintah Pahang adalah berasal dari keturunan Nila Utama ( atau Sang Nila Utama ) iaitu salah seorang daripada tiga putera Raja Suran yang turun di Bukit Seguntang, Palembang. Nila Utama dirajakan di Palembang oleh Raja Palembang sendiri iaitu Demang Lebar Daun dan telah diberi gelaran Seri Teri Buana. Demang Lebar Daun menjadi mangkubuminya atau Perdana Menteri baginda. Raja Suran dikatakan berasal dari anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain yang berasal dari Makaduniah. Raja Iskandar Zulkarnain berkahwin dengan puteri Raja Kida Hindi.
Sang Nila Utama atau Seri Teri Buana telah berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun yang bernama Raden Ratna Cendera Puri dan perkahwinan tersebut telah menggariskan peraturan perhubungan dan ikatan taat setia di antara Raja di suatu pihak dan anak cucu Demang Lebar Daun dan juga rakyat Melayu amnya di suatu pihak. Adalah menjadi kepercayaan dan peringatan bahawa perlanggaran janji atau peraturan tersebut boleh mengakibatkan negeri akan binasa, seperti yang digambarkan dalam riwayat kejatuhan Singapura kerana di langgar Majapahit selepas berlakunya peristiwa pembunuhan anak Sang Rajuna Tapa, tertolaknya Raja Muhammad dari bumi Melaka setelah pembunuhan Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak, peristiwa penghukuman Hang Tuah yang berkesudahan dengan pertarungan Hang Tuah dengan Hang Jebat, kejatuhan Kerajaan Melaka kepada Portugis sesudah terjadi pembunuhan keluarga Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan Seri Nara di Raja Tun Tahir akibat fitnah dan juga tamatnya pemerintahan Raja dan zuriat Sultan Melaka setelah peristiwa pembunuhan isteri Laksamana Bintan ( Megat Seri Rama ) dan pembunuhan Sultan Mahmud (Marhum mangkat dijulang) Selepas itu pemerintahan telah berpindah ke zuriat Bendahara. Semua ini boleh di lihat dalam konteks perlanggaran perjanjian Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana, khususnya menghukum tanpa usul periksa, menghukum dengan berlebihan dan menghukum sambil mengaibkan pihak yang dianggap bersalah.
Perkahwinan di antara Raja Pemerintah dan putera-putera Raja dengan anggota keluarga Mangkubumi (atau Bendahara) menjadi tradisi di antara kedua-dua keluarga ini. Dengan itu terjalinlah ikatan keluarga dan taat setia berterusan antara anggota kedua keluarga tersebut. Putera Seri Teri Buana dengan Raden Ratna Cendera Puri yang tua iaitu Raja kecil Besar dijadikan sebagai ganti Raja dan yang mudanya Raja Kecil Muda dijadikan ganti mangkubumi (Bendahara). Maka dari keturunan masing-masing inilah diteruskan gelaran Raja dan Bendahara.
Seri Teri Buana telah berpindah dari Palembang ke Bintan dan dari Bintan lalu membuka negeri Singapura. Baginda mangkat di Singapura dan di makamkan di Bukit Singapura. Pemerintahan diteruskan oleh anak cucu baginda. Setelah Singapura dilanggar Majapahit, Raja Singapura pada masa itu, Raja Iskandar Shah telah berundur dari Singapura dan membuka pula kerajaan di Melaka.
Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, Raja Melaka ke 7, Pahang yang masih di bawah pemerintahan Siam telah di takluki oleh Melaka dan Rajanya yang bernama Maharaja Dewa Sura telah ditawan. Puteri Raja Siam di Pahang tersebut yang bernama Puteri Wanang (Onang) Seri telah di peristerikan oleh Sultan Mansur Shah dan dengannya baginda beroleh dua orang putera, yang tua bernama Raja Muhammad dan seorang lagi bernama Raja Ahmad. Setelah berlaku peristiwa pembunuhan Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak oleh pengiring Raja Muhammad maka Raja Muhammad telah tidak di terima menjadi bakal Sultan Melaka dan di hantar bagi dirajakan di Pahang bergelar Sultan Muhammad Shah.
Itulah permulaannya Raja-Raja Melayu di Negeri Pahang. Anak cucu baginda Sultan Muhammad Shah, samada dari keturunan pihak laki-laki mahupun dari pihak perempuan yang berkahwin dengan zuriat Raja Melaka yang memerintah Pahang dan Empayar Johor - Pahang - Riau sehingga terputusnya zuriat Sultan Melaka (dengan kemangkatan Sultan Mahmud II - Marhum mangkat dijulang).
Tersebut juga dalam sejarah, diawal zaman pemerintahan Melaka datanglah seorang Raja dari Negeri Pahili di benua Keling bernama Baginda Mani Purindan anak Raja Nizamul Muluk Akbar Shah. Raja ini telah berkahwin dengan Tun Ratna Sandari, anak kepada Tun Perpatih Besar iaitu pangkat ibu saudara pupu kepada Raja Iskandar Shah. Baginda berputrakan Tun Ali (Seri Nara Di Raja) dan Tun Ratna Wati. Tun Ratna Wati diperisterikan oleh Sultan Muhammad Shah di Melaka. Maka sejak itu keluarga Raja dan Bendahara Melaka telah bercampur dengan keturunan Mani Puridan.
Ikatan seterusnya diperkuatkan dengan Tun Ali ( Seri Amar Di Raja) Bendahara Melaka ke 3 berkahwin dengan Raden Anum. Adapun Raden Anum itu adalah puteri Raja Melaka juga iaitu yang bergelar Raja Besar Muda. Kemudian Tun Ali telah berkahwin pula dengan Tun Kudu, anak Bendahara Seri Wak Raja (Tun Perpatih Sedang) iaitu cucu kepada Seri Amar Di Raja dengan Raden Anum. Tun Kudu bekas isteri Sultan Muzaffar Shah adalah kakak Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Dengan Tun Kudu, Tun Ali mempunyai beberapa orang anak; diantaranya Tun Abdullah, Tun Tahir (Seri Nara Di Raja), Tun Mutahir (Bendahara Seri Maharaja), dan Tun Senaja yang diperisterikan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah.
Seri Nara Di Raja Tun Tahir dan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dengan beberapa orang anak mereka telah dibunuh dengan perintah Sultan Mahmud Shah sebelum siasatan rapi dibuat ke atas tuduhan Raja Mendaliar dengan Kitol. Jawatan Seri Nara Di Raja dan Bendahara digantikan dari keluarga yang sama juga. Demikianlah Raja Melaka seterusnya adalah dari keturunan Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah, anak Bendahara Seri Maharaja yang telah dibunuh itu jua. Maka keturunan tersebutlah bersama-sama keturunan Bendahara Paduka Raja Tun Perak menjadi Bendahara-bendahara Melaka dan Johor sehinggalah ke zaman kejatuhan Melaka kepada Portugis ( tahun 1511 ) dan seterusnya hingga tamat pemerintahan zuriat dari Sultan Melaka (dan Pahang) di Johor dengan mangkatnya Sultan Mahmud II di Kota Tinggi, Johor ( Marhum mangkat dijulang ) pada tahun 1699 tanpa meninggalkan zuriat. Pada tahun 1614 di Pahang juga telah tamat pemerintahan zuriat Raja Pahang dari zuriat Sultan Melaka dengan kemangkatan Sultan Abdul Ghafur dan puteranya diriwayatkan kerana dibunuh oleh seorang anggota keluarganya. Sesudah itu maka zuriat Bendahara inilah yang mewarisi takhta Kerajaan wilayah-wilayah yang dahulunya di bawah pemerintahan Raja Melaka di Johor itu.
Bendahara yang mula-mula mewarisi takhta Kerajaan tersebut ialah Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habab( Habib ) Abdul Majid dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah ( Marhum mangkat di Kuala Pahang )
Dari Keturunan Sultan Abdul Jalil Shah IV inilah berkembangnya zuriat Raja-Raja pemerintah Pahang - Johor sekarang dan di Riau, Singapura (pada masa yang lalu) dengan Pahang di letakkan di bawah pemerintahan Bendahara, sementara Johor pula dibawah Temenggong dan Sultannya bersemayam di Riau. Saudara baginda Tun Zainal Abidin pula sebagai Bendahara Terengganu yang kemudiannya memerintah Terengganu sebagai Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
Catatan sejarah mempunyai beberapa versi tentang asal-usul keturunan Tun Habab Abdul Majid ( Marhum Padang Saujana ) dan anakandanya Bendahara Tun Abdul Jalil atau Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV ( Marhum mangkat di Kuala Pahang ). Sulalatus Salatin menyatakan tentang asal usul Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang iaitu dari keturunan Seri Nara Di Raja Tun Tahir (sebelah bapanya) dan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir (sebelah ibunya) yang mana kedua-duanya seramai empat beranak telah di bunuh dengan titah Sultan Mahmud Shah, Melaka akibat di fitnah.
Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV telah berputrakan Tengku Sulaiman yang kemudian dirajakan di Riau bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan tiga orang puteri. Puteri-puteri tersebut ialah Tengku Tengah berkahwin dengan Daeng Parani, Tengku Kamariah berkahwin dengan Raja Kecik Siak dan Tengku Mandak berkahwin dengan Daeng Chelak. Maka dari keturunan anak-anak Raja Bugis (Daeng) tersebutlah datangnya zuriat Raja Pemerintah Selangor sehingga sekarang. Keluarga diraja Johor juga telah bercampur dengan keluarga anak Raja Bugis ini kerana cucu Sultan Abdul Jalil yang bernama Temenggong Abdul Jamal anak Bendahara Tun Abbas telah berkahwin dengan Raja Maimunah anak Daeng Chelak.
Kemudian, setelah Pahang tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Johor - Riau - Lingga maka Bendahara Negeri Pahang pada masa itu iaitu Wan Ahmad anak Bendahara Siwa Raja Tun Ali yang telah berjaya mengambil kuasa daripada kekandanya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir setelah menang didalam peperangan saudara selama beberapa tahun, telah mengistiharkan dirinya, dengan persetujuan pembesar-pembesarnya, sebagai Sultan Pahang bergelar Sultan Ahmad Al – Muadzam Syah. Maka Sultan-Sultan dari zuriat bagindalah yang memerintah Negeri Pahang sampai sekarang
Dengan itu ringkasnya dari satu segi dapat dilihat bahawa pemerintahan Melayu Pahang yang bermula dengan pemerintahan Sultan Muhammad Shah, putera Raja Melaka telah mengalami beberapa perubahan khususnya berpindah dari zuriat Raja kepada zuriat Bendahara walaupun boleh dikatakan dari satu keturunan jua.
BUGIS DI TERENGGANU
Oleh: Maizatul Akmal binti Mohammad A130725
Pengasas Kesultanan Terengganu ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah PuteraTun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis, karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah..Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan diatas tahkta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani. SultanMansor I pula diangkat menjadi pemerintah Terengganu selepas kemangkatan Sultan Zainal Abidin I iaitu kira-kira tahun 1733, pada ketika itu umur Sultan Mansor masih muda dan lebuh dikenali sebagai Raja Kecil. Sultan Mansor kemudiannya berkahwinn dengan seorang puteri yang bernama Raja Bulang iaitu Puteri Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor II dan kemudian bernikah lagi dengan Raja Bakul iaitu Puteri Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Dalam anggaran tahun
1746-1760 Sultan Mansor menghabiskan waktu di Riau untuk menguruskan persaingan kepentingan antara Melayu dan bugis.
Semasa pemerintahan Sultan Mansor I, berlaku satu peristiawa iaitu cubaan untuk merampas negeri oleh orang Bugis dengan cara bertaruh dalam acara laga ayam. Selepas kira-kira tiga bulan berada di Reman, baginda Long Gaffar yang berasal dari Kota Bharu diberitahu bahawa sebahagian dari negeri Terengganu, iaitu dari Kuala Terengganu ke Kemaman telah terserah kepada Bugis kerana kalah dalam pertandingan menyabung ayam. Long Gaffar berasa tidak senang hati dan tercabar yang sekaligus merasa bertanggungjawab terhadap sesama bangsanya yang teraniaya oleh Bugis. Lebih-lebih lagi Terengganu bukanlah kalah dalam peperangan ataupun perebutan kuasa dalam kalangan sesama raja-raja di Terengganu. Oleh itu, selepas berfikir panjang Long Gaffar terus membawa 9 orang hulubalangnya, 20 kati emas dan seekor ayam sabung kesayangannya iaitu `Bakas Racun (ayam ini berwarna putih kapas, ekor seurat berwarna hitam, berparuh helang dan bermata ular), bertolak ke Padang Garung menuju kerumah Tok Mandur Mid (Abdul Hamid) untuk mendapatkan khidmat seorang pakar ayam sabung dan beberapa orang lain sebagai pembantunya untuk membawa barang-barang keperluan baginda ke negeri Heribon Kota Mengkuang (asal nama Terengganu yang diberikan bersempena dengan nama Ceribon di Pulau Jawa kerana dikatakan orang-orang dari Ceribonlah yang mula-mula membuka pertempatan disitu). Kebetulan pada waktu itu Panglima Muda Terengganu juga tiba di Padang Garung kerana mencari ayam sabung untuk menentang ayam Bugis. Lantas beliau di bawa bertemu Long Gaffar untuk bertanya baginda ingin menjual ayamnya ataupun menyertai Panglima Muda Terengganu ke Terengganu untuk mewakilinya melawan ayam Bugis,
``Jika Terengganu kalah maka tergadailah bahagian yang separuh lagi
negeri di bawah takluk dan pemerintahan Tuanku Raja Berjanggut, ia
itu raja Negeri Terengganu dan sebaliknya jika Bugis kalah semua jong berserta dengan muatannya dan separuh dari negeri Terengganu yang telah tergadai dahulu akan dimiliki semula oleh raja Terengganu. Sementara itu raja Terengganu juga akan menyediakan makanan untuk seramai500 orang Bugis selama dalam perjalanan mereka balik ke Pekan (Pahang)”
Bagaimanapun, pihak Bugis telah kalah dan menyebabkan separuh negeri Terengganu yang telah diambil oleh Bugis telah dikembalikan semula kepada baginda berserta 7 buah jong dan segala muatannya juga menjadi milik raja Terengganu.
Selepas itu Sultan Mansur digantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 – 1808 ). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 – 1830 ), Sultan Abdul Rahman ( 1830 ), Sultan Daud ( 1830 – 1831 ), Sultan Mansur II ( 1831 – 1837 ), Sultan Muhammad ( 1837 – 1839 ), Baginda Omar (1839 – 1876 ). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda iaitu Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Mengikut catatan, salah sebuah tempat di Terengganu bernama Setiu. Terbitnya nama Setiu adalah berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis. Peperangan antara Belanda dengan Bugis telah berlaku dalam tahun 1770-an. Dalam peperangan tersebut pihak Belanda telah mendapat kemenangan. Dengan kekalahan Bugis ini menyebabkan ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka. Antara orang-orang Bugis tersebut termasuklah Tok Setiu. Tok Setiu merupakan seorang Panglima Raja Bugis. Antara faktor yang menyebabkan beliau lari selain daripada kalah berperang ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda. Setelah beberapa lama belayar Tok Setiu dan orang-orangnya pun tiba di Terengganu. Negeri Terengganu pada masa itu dibawah pemerintahan Sultan Ahmad II iaitu Sultan Terengganu yang ke-X (1875 hingga 1881). Apabila Tok Setiu sampai ke Terengganu, beliau pun menemui baginda Sultan Ahmad II untuk menumpang tinggal di Terengganu, beliau
menceritakan perihal kedatangannya dan segala halangan semasa dalam pelayaran. Baginda Sultan Ahmad II telah bersetuju dan memperkenankan permohonan Tok Setiu dan orang-orangnya. Lalu Baginda menitahkan kepada Tok Setiu supaya mencari tempat yang sesuai utnuk dibuat perkampungan.
Setelah meninjau kawasan-kawasan di Negeri Terengganu, beliau telah memilih sebuah tempat dan dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu. Disinilah tempat Tok Setiu dan orang-orangnya berkampung dan menjalankan kerja-kerja harian mereka. Pada peringkat awal pendudukan Tok Setiu di Kampung Bukit Setiu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kampung. Dalam pada inilah Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut satu kawasan. Oleh kerana tidak mendapat kata sepakat dan tolak ansur antara mereka berdua, lalu berlakulah peperangan yang amat hebat selama 7 hari 7 malam. Dalam peperangan tersebut pihak Tok Setiu hampir menerima kekalahan. Memandangkan hal yang demikianlah Tok Setiu memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning dari Mukim Batu Bertindan, Bukit Mahsuri. Dengan bantuan yang diberikan oleh Tok Serban Kuning maka pihak Tok Itam telah mengalami kekalahan. Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukanya sebagai ketua di kampungnya dan menyebabkan pengaruh beliau semakin kuat serta pengikutnya bertambah ramai.
Semasa pemerintahan Tok Setiu, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya ialah membuat “tandak-tandak” sungai adalah bertujuan untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah. Pekerjaan penduduk-penduduk pada masa itu hinggalah sekarang ialah bertanam padi dan menoreh getah.
Selain daripada bertugas sebagai Ketua Kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dimana ramai penduduk-penduduknya yang belajar dengannya. Dikatakan bahawa persilatan menjadi pokok utama dalam kehidupan penduduk kampung Bukit Tok Setiu ialah kerana adanya satu temasya pertandingan silat. Temasya ini telah diadakan pada tiap-tiap tahun.
Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya disebabkan oleh fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya yang terletak di bawah sepohon Berangan. Pokok Berangan telah ditebang manakala batu nisan tidak dapak dikesan. Kawasan perkampungan Tok Setiu sekarang telah dipenuhi dengan pokok-pokok getah dan semak samun. Kemasyuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk-penduduk kampung menamakan tempat itu Setiu.
RUJUKAN
Abdullah Zakaria Ghazali, 1997, Istana dan Politik Johor 1835-1885, Yayasan Penataran Ilmu, Kuala Lumpur
Andaya, Barbara Watson, 1979, Perak-The Abode of Grace a Study of An Eighteenth Century Malay State, Oxford University Press, Kuala Lumpur.
Andaya, L. Y. 1975, The Kingdom of Johor, 1641-1728, Oxford University Press, Kuala Lumpur.
Barbara Watson dan Y. Leonard Andaya, 1983, Sejarah Malaysia, Macmillan Pub, Petaling Jaya.
Barbosa, 1918, The Book of Duarte Barbosa, An Account of the countries bordering on the Indian Ocean and their inhabitants A. D.1518, Translated by Mansel Longworth Dames, Part II, The Hakluyt Society, London.
Buyung Adil, 1971, Sejarah Negeri Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Buyung Adil, 1974, Sejarah Negeri Terengganu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Fawzi Basri dan Hasrom Haron, Sejarah Johor Moden 1855-1940 Satu Perbincangan Dari Pelbagai Aspek, Muzium Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Fawzri Basri, 1983, Warisan Sejarah Johor, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur
Gullick JM, History of Selangor,
Kern, R. A. 1993. I La Galigo, Gadjah Mada University Press, Yogyakarta.
Laica Marzuki, 1995, Siri: Bagian Kesadaran Hukum Rakyat Bugis-Makasar, Hasanuddin University Press, Ujung Padang.
Leith, George, 1805, A Short Account of Settlement, Produce and Commerce of Prince of Wales Islands in the Straits of Melaka, J. Booth, London.
Leonard Y. Andaya, 1975, The Kingdom of Johor 1641-1728, Oxford University Press, Kuala Lumpur.
Leonard Y. Andaya, 1987, Kerajaan Johor- Pembangunan Ekonomi dan Politik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Terjemahan Shamsuddin Jaafar.
Md Isa Hj Haron, Pendokumentasian Syair Perang Rokam,
Nordin Hussin, 2001, Melaka and Penang 1780-1830: A Study of Two Port Towns in Strait of Melaka, Vrije Universiteit Amstrdam. (Ph. D. Thesis)
Norhalim Hj. Ibrahim, 1995, Negeri yang Sembilan, Penerbit Fajar Bakti, Shah Alam.
Raja Ali Haji, 1982, Thufat Al-nahfis:The Precious Gift, Oxford University Press, Kuala Lumpur.
R.O.Winstedt, Negri Sembilan: The History, Polity and Beliefs of the Nine States, JMBRAS, Vol. XII.
Shaharom Husain, 1995, Sejarah Johor Kaitannya dengan Negeri Melayu, Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur.
Temubual En Ishak bin Dol, Generasi Ketujuh Tok Langgar di Serkam, Melaka.
Temubual Mejar Bersara Salleh bin Dol, Generasi Ketujuh Tok Langgar di Serkam, Melaka.
Raja Ali Haji, Tuhfat Al-Nahfis, Malaysia Publication, Singapura, 1965, hlm 25-29
Shaharom Husain, Sejarah Johor Kaitannya dengan Negeri Melayu, Fajar Bakti Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1995, hlm 14
:Pustaka BSM Interprise, Kuala Lumpur, 2002, hlm. 56